FFF dilaporkan mahu memberikan tekanan kepada Real Madrid untuk melepaskan Mbappe menyertai tugasan Olimpik di Paris.
Walaupun Real Madrid dan Mbappe masih belum mencapai kesepakatan secara rasmi, namun FFF sudah menjangkakan Real Madrid akan menjadi destinasi Mbappe seterusnya.
Baru baru ini, Mbappe menyatakan bahawa dia berminat untuk bermain di Sukan Olimpik yang akan dianjurkan di negaranya.
Namun Mbappe menyerahkan perkara itu kepada jurulatih pasukan utama dan skuad belia Perancis. Jika mereka memberikan lampu hijau, dia sudah berjanji akan mengotakan janjinya bahawa dia akan bermain jika dia diperlukan.
Real Madrid pula dilaporkan tidak berminat untuk melepaskan mana mana pemain pasukan utama mereka ke Sukan Olimpik di Paris memandangkan Euro dan Copa America turut dilangsungkan dalam rehat musim panas.
Pendirian Mbappe yang berminat menyertai skuad Perancis ini menarik perhatian FFF. Dan mereka mahu Real Madrid melepaskan pemain itu untuk mewakili negaranya.
Presiden FFF, Philippe Diallo berkata: “Kylian Mbappe menyatakan minatnya untuk menyertai. Saya kesal dengan polisi Real Madrid yang menutup pintu ramai pemain yang berimpian beraksi di Olimpik.
“Kami di FFF akan melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan. Jika perlu untuk kami berjumpa dengan Florentino Perez di Madrid, kami akan lakukannya.
“Saya tak perlukan tekanan dari pihak luar untuk memikirkan bahawa Kylian Mbappe akan bermain di Olimpik. Itu akan menjadi kelebihan sangat besar untuk pasukan kami.
🚨🎙️Philippe Diallo (FFF President): "I regret Real Madrid’s position of closing the door on a dream of many players. If we have to go and see Florentino Perez in Madrid, we will do it." pic.twitter.com/lfn8ljWFNm
— KMZ (@KM10Zone) March 20, 2024
“Jelas sekali, memiliki pemain terbaik di dunia untuk bermain aksi di tempat sendiri pasti akan menjadi satu kelebihan yang kuat.
Real Madrid pastinya tidak akan menghalang Mbappe bermain di Euro. Namun untuk melihat pemain itu bermain di Olimpik tidak lama selepas itu, ianya bukan perkara yang difikirkan Real Madrid pada masa ini.
Ini kerana mereka tidak mahu Mbappe cedera kerana terlalu banyak digunakan – sebelum dia sempat melakukan debut, jika kelab benar benar berjaya mendapatkannya.
Mbappe akan menjadi ejen bebas selepas tamat musim ini. Beliau masih tidak berminat membincangkan soal Real Madrid. Kerana masih fokus kepada PSG.
Namun banyak laporan menyebut bahawa Real Madrid adalah pilihan utama Mbappe. Beberapa tahun lalu, PSG meraikan kejayaan melanjutkan kontrak Mbappe setelah pemain itu dikaitkan dengan Real Madrid.
Kini PSG harus akur bahawa Real Madrid memenangi tandatangan Mbappe.