Bengang Diprovokasi Bosnya, Bekas Pemain Azzurri Ini Kembali Selepas Digantung 12 Tahun

Ketika Francesco Flachi dikenakan hukuman penggantungan 12 tahun pada 2010, ketika itu dia masih bergelar pemain Brescia dan sudah pun berusia 34 tahun.

Flachi dianggap bakat yang hebat pada masa itu, lahir daripada sistem pembangunan Fiorentina.

Ramai menganggap ianya adalah pengakhiran kepada keriernya. Namun tidak! Kerana pemain tersebut kembali semula selepas menjalani hukuman penggantungan tersebut selama 144 bulan lamanya.

Dia dikenakan hukuman ketika itu kerana positif barang terlarang, iaitu k o k a i n. Itu adalah kali kedua dia kantoi membuatkan FIGC mengenakan hukuman sangat berat kepadanya.

Flachi mencatatkan rekod lebih 100 aksi dalam Serie A dalam kariernya. Pernah dipanggil ke kem kebangsaan Itali pada 2014 untuk aksi persahabatan berdepan Iceland. Namun dia tak pernah membuat penampilan untuk Azzurri di atas padang.

Kali pertama dia tertangkap positif barang terlarang adalah pada 2007. Membuatkan dia ditamatkan kontrak oleh Sampdoria. Ini kerana dia ketika itu digantung 2 tahun. Tiada apa yang Flachi boleh lakukan kerana kelab berhak menamatkan kontraknya atas kesalahan itu.

Kembali semua dan digantung lebih lama

2 tahun selepas penggantungan itu, dia kembali beraksi bersama dengan Empoli, sebelum menyertai Brescia yang pada masa itu beraksi dalam Serie B.

Dan kali ini dia kantoi sekali lagi dalam ujian rawak dibuat ke atas pemain. Dan FIGC memutuskan untuk menjatuhkan hukuman penggantungan 12 tahun kepadanya.

Namun selepas 12 tahun dia benar benar kembali semula ke atas padang. Ketika ini usianya sudah 46 tahun.

Ketika dia digantung, Flachi pernah menjadi jurulatih pasukan remaja divisyen 5 iaitu Signa 1914 yang berdekatan dengan kampungnya di Florence.

Bengang diprovokasi

Tahun lalu, Flachi pernah mendedahkan bagaimana provokasi daripada bosnya iaitu presiden Signa, Andrea Bellerini membuatkannya bertekad untuk kembali beraksi semula.

“Andrea selalu memprovokasi saya. Dia cakap: ‘Kamu dah tak boleh bermain dah, kamu tu dah terlalu tua’. Saya tak pernah beraksi bola sepak 11 pemain secara penuh untuk tempoh 12 tahun ini. Namun saya adalah manusia yang bola sepak itu hidup dalam emosi diri saya. Ianya perkara yang saya rindukan.”

“Saya tahu saya pernah melakukan kesilapan dan saya sudah pun dihukum kerananya. Dan saya juga tahu saya dah tak sepantas dulu lagi. Namun saya boleh memainkan peranan saya untuk membantu pemain pemain ini percaya kepada diri mereka,” kata Flachi.

Flachi turut mahu memberitahu para pemain muda yang pernah dilatihnya tentang betapa indahnya bola sepak.

“Saya nak mereka fahami sendiri tentang keindahan bola sepak. Mereka tidak boleh membuangnya dari hidup mereka begitu sahaja.”

Minggu lalu, Flachi membuat debut semula selepas menjalani penggantungannya. Ianya hanya 4 tahun daripada harijadinya ke-50. Flachi mewakili pasukan utama Signa. Di mana dia sudah berlatih bersama dengan mereka selama 5 bulan.

Flachi dan rakan rakannya beraksi menentang Prato 2000 dan seri 2-2. Flachi beraksi 30 minit pada masa itu. Dia mengakui dia menerima sokongan daripada bekas pengurusnya di Sampdoria iaitu Walter Novellino.

Selepas tamat perlawanan, Flachi berkata: “Hari ini menandakan hari penamatan penggantungan 12 tahun saya. Ini adalah kelahiran semula untuk saya. Dan ini juga bukti bahawa saya telah dibina semula.”

“Kalau kamu tanya saya, apa yang saya rasa? Pertamanya saya rasa seram sejuk, saya tak tidur sepanjang minggu ini kerana tekanan.”

“Namun sekarang ini saya sangat gembira. Saya ucapkan terima kasih kepada semua orang yang membuatkan saya terasa kembali seperti dahulu menjadi pemain bola sepak.”