Benzema Sah Tidak Beraksi Dalam Piala Dunia 2022 Kerana Kecederaan

Karim Benzema disahkan terlepas Piala Dunia 2022. Pemenang Ballon d’Or 2022 itu mengalami kecederaan paha semasa sesi latihan untuk pasukan kebangsaan Perancis.

Benzema yang baru sahaja meraikan namanya termasuk dalam senarai pemain pasukan kebangsaan Perancis untuk Piala Dunia 2022.

Namun kini penggempur sensasi Real Madrid itu terpaksa melupakan aksi di Piala Dunia 2022.

Kecederaan melanda Benzema ketika sesi latihan bersama Perancis. Dia terpaksa menamatkan latihan awal. Beberapa jam kemudian, Benzema dilaporkan bakal terlepas aksi awal Perancis.

Ia disusuli laporan terbaru yang menulis bahawa Benzema terlepas aksi Piala Dunia 2022.

Ini selepas doktor pasukan meramalkan bahawa Kecederaan itu memerlukan tempoh pemulihan tiga minggu.

Didier Deschamps memutuskan untuk menyisihkan Benzema. Menambahkan lagi senarai kecederaan pemain mereka yang sedia ada.

Beberapa hari lalu, Christopher Nkunku cedera dan terpaksa pulang awal.

Sebelum itu nama nama seperti Kimpembe, N’golo Kante, Paul Pogba dan Mike Maignan antara mereka yang disahkan sudah terlepas aksi kerana kecederaan.

Deschamps mengumumkan berita sedih dari kem Perancis itu dengan berkata:

“Saya sangat sedih untuk Karim yang menjadikan Piala Dunia ini sebagai matlamat utamanya.”

“Walaupun tamparan baharu ini untuk pasukan Perancis, saya mempunyai kepercayaan penuh terhadap pasukan saya,” kata Deschamps kepada laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF).

“Kami akan melakukan segala-galanya untuk menghadapi cabaran besar yang menanti kami,” tegas beliau dalam usahanya mahu mempertahankan kejuaraan bersama Perancis.

Benzema kemudian memuat naik hantaran di Twitter berkata dia terpaksa berundur demi pasukan. Benzema mahu seseorang yang layak mengisi tempatnya.

Benzema berkata: “Dalam hidup saya, saya tak pernah berundur, namun kali ini saya terpaksa berundur kerana saya harus memikirkan tentang pasukan saya seperti mana yang selalu saya lakukan.”

“Jadi itulah alasan kenapa saya harus meninggalkan pasukan untuk memberikan tempat saya kepada orang lain yang boleh membantu kumpulan kita ini beraksi dengan baik dalam Piala Dunia.”

“Terima kasih di atas semua kata kata sokongan.”

Karim Benzema sememangnya bergelut dengan kecergasannya pada awal musim ini. Namun dia yakin akan dapat tampil cergas bersama Perancis.

Malangnya, Benzema harus akur dengan kecederaan terbarunya.

Perancis antara pasukan pilihan dalam edisi kali ini selaku juara bertahan.

Baca yang lain