Benzema Umum Persaraan Antarabangsa: “Kisah Kita Dah Berakhir”

Pemenang Ballon d’Or 2022 dan antara no.9 terbaik di dalam sejarah, Karim Benzema mengumumkan persaraannya daripada peringkat antarabangsa.

Benzema sebelum ini tidak dapat menyertai Perancis dalam kempen  Piala Dunia 2022. Ianya selepas Benzema mengalami kecederaan sebelum Piala Dunia bermula.

Namun namanya tidak disingkirkan oleh Didier Deschamps daripada senarai pasukan mereka.

Jadi, Perancis yang berdepan masalah kecederaan boleh menggunakan khidmat Benzema pada aksi final. Malangnya Didier Deschamps memutuskan untuk tidak memanggilnya.

Benzema kemudian dijemput untuk hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan Perancis dan dia juga dijemput untuk sama sama meraikan kejayaan Perancis jika mereka juara.

Tetapi Benzema menolak jemputan tersebut.

Perancis tewas dalam aksi final Piala Dunia 2022 dengan kekalahan pada penentuan sepakan penalti.

Argentina membawa pulang Piala Dunia ketiga dalam sejarah mereka.

Sehari selepas kekalahan pasukan Perancis, Benzema mengumumkan persaraannya daripada arena bola sepak antarabangsa. Ia juga merupakan tarikh harijadi Karim Benzema yang ke-35 tahun.

Dalam kenyataannya Benzema berkata: “Saya telah berusaha dan belajar daripada kesilapan sepanjang karier saya untuk sampai ke tahap yang saya ada hari ini. Dan saya bangga dengannya.”

“Saya telah menulis cerita saya sendiri dan kisah kita berakhir di sini.”

Pengumuman itu benar benar mengejutkan ramai pihak. Kerana menurut mereka Benzema masih lagi berada dalam prestasi terbaiknya.

Malah dia merupakan no.9 terbaik yang Perancis ada pada hari ini. Perancis masih ada kempen kelayakan Euro selepas ini dan Benzema juga berpeluang untuk beraksi dalam Euro akan datang.

Benzema sebelum ini menjadi nadi pasukan kebangsaan Perancis dalam Euro 2020 dan Piala Negara Negara Eropah. Dia tampil semula ketika itu selepas 6 tahun dibekukan daripada panggilan kebangsaan.

Piala Dunia 2022 dianggap impian menjadi kenyataan buat Benzema ketika dia tersenarai dalam panggilan. Malangnya dia terpaksa menarik diri daripada kecederaan.

Dan kemudian Deschamps memutuskan untuk tidak menggunakan status Benzema yang masih didaftarkan untuk beraksi dalam aksi final, meskipun Benzema sudah kembali cergas dan bermain dalam perlawanan latihan Real Madrid.

 

Baca yang lain