Berbatov: “Saya Rasa Sancho Terperasan Dia Sangat Penting”

Bekas pemain Man United, Dmitar Berbatov terkenal dengan komen jujurnya. Dan terbaru dia memberikan pandangan tentang situasi Jadon Sancho di Man United.

Pemain itu kini tidak sehaluan dengan pengurusnya. Dan kini direhatkan daripada pasukan utama kerana mengecam pengurusnya sendiri sebagai berbohong serta menjadikannya kambing hitam sejak dulu lagi.

Kenyataan itu dibuat Sancho selepas kekalahan Man United di tangan Arsenal. Di mana Ten Hag selepas tamat perlawanan menjawab persoalan daripada wartawan tentang kenapa tiada Scott McTominay atau Jadon Sancho dalam skuad yang dia bawa. Adakah mereka cedera?

Ten Hag pada itu menjelaskan: “Tak, hanya McTominay yang agak sakit, namun Sancho dia tidak berada dalam pasukan kerana prestasinya di pusat latihan tidak memuaskan.”

“Dia tidak mencapai standard yang kelab mahukan semasa berlatih. Itulah sebabnya dia tidak berada di sini.”

Kenyataan itu menggambarkan bahawa Sancho ada masalah disiplin ketika berlatih. Dan pemain itu pantas membidas Ten Hag sambil menyatakan kenyataan itu dibuat untuk menjadikannya kambing hitam di sebalik kekalahan di tangan Arsenal. Dan Sancho menyatakan sebenarnya ada alasan lain dia tidak diturunka.

“Jangan percaya sepenuhnya dengan apa anda baca. Saya berlatih dengan sangat baik sebelum ini namun tetap tidak dipilih. Saya yakin ada alasan lain di sebaliknya. Saya sentiasa menjadi kambing hitam sejak dulu lagi,” tegas pemain itu.

Dia kemudian diarahkan meminta maaf atau dia terus digantung daripada tugasan. Dia kini diarahkan berlatih berasingan dan dilarang menggunakan fasiliti pasukan utama termasuk dewan makan. Sancho masih enggan meminta maaf.

Manakala Ten Hag semalam menyatakan bahawa dia tidak mahu memberikan sebarang komen tentang pemain yang tidak berada dalam pasukan mereka pada masa ini. Merujuk kepada Sancho yang masih diasingkan daripada pasukan utama.

Berbatov kemudian membidas Sancho, menganggap tindakan pemain itu keterlaluan. Dan dia berpendapat, Sancho terperasan bahawa dia sangat penting dalam pasukan United, dan mahukan kad ‘superstar treatment’ sama seperti yang Mbappe dapat di PSG atau ketika dia di Dortmund.

Namun hakikatnya Sancho sejak menyertai Man United hanyalah pemain biasa yang tidak konsisten.

Itu yang membuatkan pemain itu mahu menjadi diva di dalam kelab tersebut. Malangnya dia harus ingat Ten Hag sangat benci dengan kuasa pemain yang melebihi pengurus.