Berbatov: Siapa Yang Dapat Kejar Liverpool?

Bekas penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov ditanya tentang, adakah beliau setuju musim ini dibatalkan dan Liverpool tidak diberikan kejuaraan?

Menurut beliau, tidak kira liga musim ini dibatalkan ataupun dimansuhkan, skuad bimbingan Jurgen Klopp berhak mendapat kejuaraan liga.

Berbatov menambah, adalah tidak adil jika liga dibatalkan dan kejuaraan liga Liverpool ditarik balik.

Ini kerana, masalah yang berlaku pada hari ini adalah wabak koronavirus, di mana Liverpool tidak ada berbuat apa apa kesalahan tentangnya.

Berbatov menganggap The Reds sangat berhak untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini. Berbatov berpandangan, adalah sangat tak adil jika liga dimansuhkan dan Liverpool tak diberikan trofi kejuaraan.

Siapa lagi dapat kejar?

Malah beliau juga yakin, Liverpool sudah tidak mampu dikejar mana-mana pasukan ketika ini dengan jurang mata 25 mata daripada Manchester City yang berada di tangga kedua.

Hanya dua kemenangan yang memisahkan The Reds daripada kejuaraan pertama mereka selepas 30 tahun.

“Kita semua merindui bola sepak. Saya sudah melihat beberapa pemain bercakap dan meminta apakah solusi semua ini.”

“Belgium sudah menamatkan liga mereka. Dan mereka cuma ada baki 1 perlawanan, maka kamu boleh fahami kenapa mereka boleh berbuat demikian.”

“Namun di Liga Perdana Inggeris, masih ada 9 pusingan lagi untuk dimainkan.”

Berbatov mengakui mendengar ramai yang bercanggah pendapat tentang liga musim ini.

“Saya ada nampak beberapa orang meminta musim ini dibatalkan. Ada yang berbelah bahagi nak memberikan Liverpool kejuaraan jika musim ini dibatalkan.”

“Ada juga yang berpendapat, jika liga disambung, pemain akan berisiko cedera kerana bermain terlalu banyak perlawanan. Apa sahaja keputusannya, pastinya tidak begitu digemari ramai pihak.”

“Ada juga pihak yang mencadangkan memberikan Liverpool kejuaraan liga. Dan jujurnya, mereka berhak memenanginya, selepas cara permainan yang mereka pamerkan, takkan ada siapa yang mampu mengejar mereka.”

“Cara mereka bermain bola sepak dengan mengasilkan gaya tersendiri menunjukkan betapa jauh mereka berada di hadapan.”

“Ya, mereka berhak memenangi liga musim ini. Ianya pelik, dan tidak adil, jika musim ini dimansuhkan dan tidak ada piala kepada Liverpool. Mereka pasti akan sangat kecewa.”

“Mereka yang membuat keputusan di bahagian pengurusan Premier League sedang berhadapan dengan perkara yang mereka tak pernah lalui sebelum ini.”

“Dan mereka pun berbagi pendapat tentang, apa yang harus dilakukan.”

“Saya nak musim ini ditamatkan dengan bola sepak. Tetapi, sudah pastilah keselamatan setiap orang adalah keutamaan.”

Dalam perkembangan sebelum ini, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin juga berpendapat bahawa Liverpool berhak untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris.

Dan mereka tetap akan juara walaupun apa cara sekalipun untuk menyimpulkan musim ini.

Menurut Ceferin, jika liga diteruskan, Liverpool pasti akan juara dengan memerlukan 2 kemenangan sahaja lagi. Dan jika liga ditamatkan awal, Liverpool juga berhak juara dengan jurang mata yang mereka miliki.

UEFA mahu melihat musim ini ditamatkan bukannya dimansuhkan. UEFA dan FIFA memberikan kelonggaran kepada setiap liga untuk menyusun jadual dan cara mereka mereka menamatkan liga tanpa perlu risau akan permulaan musim baharu.

EPL juga sudah menegaskan bahawa, rakan kongsi EPL sebulat suara menyokong musim ini harus ditamatkan termasuk piala domestik. Ini untuk menjaga intergriti pertandingan.