Bersungguh Nak Dengar Tips Taktikal Hentikan Messi, Sekali Simeone Suruh Berdoa Je

Kieran Trippier telah mendedahkan bahawa jurulatih Atletico Madrid Diego Simeone hanya mempunyai satu ayat nasihat apabila dia datang untuk cuba menghalang Lionel Messi.

Pemain pertahanan Newcastle dan England, Kieran Trippier telah mendedahkan betapa sukarnya untuk bertahan menentang Lionel Messi selepas menentang legenda Argentina itu dalam La Liga bersama Atletico Madrid.

Trippier menghabiskan tiga tahun di liga utama Sepanyol bersama Atletico tetapi berkata pengurus Diego Simeone pun buntu apabila tiba kepada perrancangan untuk cuba menghentikan Messi.

“Kamu tak boleh bermain terlalu bersih,” kata Trippier ketika mendedahkan cara dia berdepan dengan Messi.

Kemudian dia mendengar taklimat daripada Simeone kepada para pemain pertahanan cara untuk menghentikan Messi.

Ternyata Simeone pun buntu dan cuma mampu meminta para pemainnya berdoa agar hari itu tidak dibuli Messi.

Messi ternyata tiada ubat untuk menghentikannya. Dia pemain yang unik. Oleh sebab itu untuk bertahan menentang Messi, para pemain tidak perlu memikirkan terlalu banyak tentang taktikal.

Cuma melakukan perkara asas bertahan untuk cuba mengurangkan impaknya.

“Ia lucu kerana jelas Simeone adalah pengurus [dan] mereka berdua adalah warga Argentina. Malah dia akan berkata sebelum taklimat, pada dasarnya cara untuk menghentikan Messi adalah dengan ‘berdoa’.”

“Kerana kamu tidak boleh berbuat apa-apa. Kamu tidak boleh mengatur atau merancang untuk menghalangnya kerana dia begitu unik.”

Trippier adalah sebahagian daripada pasukan Atletico yang menjulang gelaran La Liga 2020-21 semasa beliau bersama pasukan Simeone dan berkata dia belajar banyak perkara yang luar biasa daripada bermain di negara baharu dan liga baharu.

Bagi Trippier, dia berharap akan ada lebih ramai pemain pemain Inggeris yang berkelana ke liga negara lain untuk menimba pengalaman baharu.

“Mudah-mudahan akan ada lebih ramai lagi pemain Inggeris melakukannya kerana saya belajar banyak pengalaman bermain di luar sana bersama Simeone,” tambahnya.

“Saya belajar banyak tentang diri saya juga. Pergi keluar dan nikmati permainan, pergi dan nikmati kehidupan di Sepanyol, makanan, cuaca. Ia adalah beberapa tahun yang luar biasa.”

Baca yang lain