Bielsa: ‘Bola Sepak Adalah Sukan Milik Rakyat, Itulah Satu Satunya Perkara Yang Orang Tak Berkemampuan Boleh Miliki Dahulu’

Pengurus Uruguay Marcelo Bielsa menjelaskan kenapa bola sepak pada hari ini semakin kurang menarik. Menurut Bielsa, bola sepak itu adalah sukan milik marhaen atau orang ramai.

Namun kini orang ramai merasakan bahawa peranan mereka dalam bola sepak semakin tidak penting kerana bola sepak hari ini lebih mementingkan nilai komersial dan dikuasai oleh wang. Selain itu akses kepada bola sepak juga semakin terhad kepada mereka yang berkemampuan sahaja.

Bielsa akui bola sepak menarik lebih banyak tontonan pada hari ini, tetapi keseronokan bola sepak adalah tidak sama seperti dahulu.

Bielsa berkata begitu sebelum aksi Brazil dan Uruguay baru baru ini. Di bawah Bielsa, Uruguay telah bermain beberapa bola sepak terbaik dalam kejohanan itu, memenangi semua perlawanan peringkat kumpulan mereka untuk mendahului Kumpulan C.

Dan kemudian menewaskan Brazil di suku akhir menerusi penentuan sepakan penalti.

Namun pengurus legenda itu akui bimbang, apabila bola sepak semakin dikomersialkan dan wang mula menguasai sukan itu, bola sepak yang kurang menarik akan digunakan.

Bercakap dalam sidang akhbar CONMEBOL, Bielsa berkata: “Bola sepak mempunyai lebih ramai penonton tetapi semakin kurang menarik. Apa yang menjadikan permainan ini permainan terbaik di dunia pada masa lalu, tidak diutamakan pada hari ini.

“Tidak kiralah, berapa ramai audien yang menonton bola sepak secara statistik, jika anda tidak memastikan apa yang orang tonton adalah sesuatu yang menyenangkan, ia hanya akan memberi manfaat kepada perniagaan. Kerana perniagaan hanya mengambil berat tentang berapa ramai orang yang menontonnya.

“Namun dalam masa beberapa tahun lagi, pemain pemain yang berhak untuk ditonton akan kurang ditonton dan sukan ini semakin kurang menyeronokkan. Peningkatan jumlah tontonan ini pun berakhir.”

Bielsa menjelaskan lagi kebimbangannya, dengan mengatakan bahawa apabila bola sepak menjadi lebih mudah untuk diakses melalui klip dan sorotan dalam talian, ia membuatkan bola sepak kehilangan identiti sebenar.

Kini semakin ramai yang menjadi ‘mat highlight’ kerana lebih selesa melihat rangkuman gol dan aksi menarik sahaja.

Dia menambah: “Bola sepak bukan hanya lima minit acara kemuncak. Bola sepak adalah lebih daripada itu, ia adalah ekspresi budaya, ia adalah cara pengenalan identiti sesuatu masyarakat.”

“Mungkin ramai peminat Uruguay ketika ini hanya menyaksikan highlight perlawanan pasukan kebangsaan mereka. Namun itu tidak selari dengan prinsip asas yang membuatkan kita jatuh cinta dengan bola sepak.

“Rasanya kita harus mengabaikan semua senario yang dicadangkan kepada kita, di mana kontroversi, tuduhan, dan mencari siapa yang bersalah kini menjadi satu obsesi yang memburukkan lagi atmosfera bola sepak,” kata Bielsa bila bercakap tentang peranan media yang suka mengutamakan kontroversi untuk digariskan berbanding dengan menggariskan pemain yang hebat seperti Endrick, baru 17 tahun sudah menarik minat kelab eropah.

Ini kerana budaya bola sepak hari ini yang mencari kontroversi untuk ‘dijual’ kepada audien.

Bielsa walaubagaimanapun akur bahawa, bola sepak hari ini sudah dikuasai kapitalis. Dan menutup akses kepada ramai golongan rakyat biasa yang tidak mampu membayar langganan bola sepak yang sangat mahal.

“Bola sepak itu yang asalnya milik rakyat biasa yang kini sudah menjadi harta komersial.

“Kenapa? Kerana rakyat yang tidak berkemampuan dan miskin ada akses yang sangat terhad untuk membeli apa yang boleh menggembirakan mereka. Kerana mereka tiada wang untuk membelinya.

“Jadi bola sepak yang asalnya percuma untuk orang ramai yang menjadikannya dulu sangat popular. Kerana ini adalah antara beberapa perkara yang orang tidak berkemampuan mampu miliki. Malangnya pada hari ini, ianya tidak begitu.

“Tetapi cuma saya sahaja yang mahu bercakap soal ini. Kerana orang lain akan mengkritik saya. Mungkin kamu [wartawan] juga harus menggariskan perkara ini. Tetapi saya boleh bayangkan kalau kamu bukan sebahagian daripada perniagaan ini, kamu tak akan tanya saya hal seperti ini.

“Atau mungkin kamu sebahagian daripada perniagaan ini, sebab itu kamu tanya saya supaya saya mulai bercakap tentang perkara ini.

“Saya percaya media dihalang daripada mendengar suara daripada orang yang lantang seperti saya. Kerana ini akan memberikan impak kepada umum. Kamu dengar pendapat saya hanya kerana saya pengurus Uruguay. Jika saya bukan seorang pengurus, kamu mungkin tak ada masa untuk mendengar pandangan saya.

“Namun kamu sebagai wartawan dengan profesion yang kamu ada, kuasa media yang mampu memanipulasi segalanya sampai keadan maksimum. Kenapa kamu tidak melancarkan siasatan sendiri untuk mendedahkan penipuan ini.