Dalam setiap sidang media Manchester United, terdapat satu soalan yang tidak pernah keluar dari mulut tetapi soalan itu terus berlegar dalam semua pemikiran ramai. Ia satu persoalan pendek yang sering kali sukar dijawab:
“Berapa lama semua ini akan mengambil masa?”
Sama ada bersama Ruben Amorim, Bruno Fernandes, Omar Berrada, atau Sir Jim Ratcliffe, perbualan akhirnya akan menjurus kepada masa yang diperlukan untuk mengembalikan kegemilangan Manchester United.
Menurut Ratcliffe, United kini hanyalah sebuah kelab yang “biasa-biasa”. Amorim, sebagai ketua jurulatih terbaru telah diberi tanggungjawab untuk membaiki pasukan ini. Namun, dengan United kini berada di tangga ke-12 dan masih belum mencatat kemenangan secara berturut-turut, ramai tertanya-tanya adakah Amorim mampu mengubah keadaan?
Cabaran Awal Amorim
Sejak awal ketibaannya, Amorim sudah menegaskan bahawa dia datang dengan satu idea.
“Saya rasa anda akan melihat satu idea. Anda mungkin suka atau tidak, saya tidak tahu. Tetapi anda akan melihat sesuatu. Anda akan merasakannya.”
Kemenangan tipis 1-0 ke atas Fulham baru-baru ini sedikit meredakan tekanan tetapi ketidaktentuan masih menyelubungi pasukan Amorim. Beliau dikenali sebagai seorang jurulatih yang tegas dan berani tetapi bagaimana dia mahu menerapkan falsafahnya di United masih menjadi persoalan utama.
Amorim kini sudah mengendalikan 17 perlawanan dan tempoh sebenar yang diperlukan untuk melihat hasilnya masih tidak dapat dipastikan. Lebih membimbangkan tiada jaminan projek ini akan membawa kejayaan.
Apakah sebenarnya yang cuba dilakukan oleh Amorim?
Falsafah Bola Sepak Amorim
Salah satu perubahan terbesar yang diperkenalkan Amorim ialah formasi 3-4-3, yang mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong dan pemerhati. Walaupun ada yang menyarankan supaya United kembali ke formasi empat pertahanan yang lebih tradisional, Amorim tetap teguh dengan ideanya.
Beliau bukan sekadar ingin mengubah formasi tetapi juga mahu membina struktur dan identiti yang jelas. Ia sesuatu yang hilang dalam pasukan United yang sebelum ini bermain dalam corak serangan balas yang kucar-kacir.
Sebagai contoh, kemenangan 4-1 Sporting CP ke atas Manchester City pada November lalu menunjukkan potensi sebenar sistem Amorim apabila diberikan masa dan sumber yang mencukupi. Di Sporting, beliau mengambil masa 4 tahun untuk membentuk pasukan yang kukuh bertahan dan tajam menyerang. Namun, beliau sedar tidak semua elemen kejayaannya di Lisbon boleh diterapkan di Old Trafford.
Taktikal: Lebih daripada Sekadar Formasi
Amorim menegaskan bahawa orang ramai tidak seharusnya terlalu fokus kepada formasi yang digunakan tetapi lebih kepada apa yang cuba dilakukan oleh pemain di atas padang.
“Orang ramai bercakap tentang 3-4-3 atau 4-3-3. Tetapi bagi saya, Manchester United bukan tentang sistem atau formasi, ia tentang karakter pemain dan bagaimana mereka melihat kelab ini.”
Falsafahnya bukan sekadar memilih sistem yang “sempurna”, tetapi membina satu pasukan yang fleksibel dan mampu menyesuaikan diri mengikut keperluan perlawanan.
Contohnya, ketika menentang Fulham, United menggunakan formasi berbeza dalam situasi yang berlainan:
- Ketika menekan tinggi: United bermain dalam bentuk 4-4-2. Seorang attacking midfielder naik ke atas untuk menyokong Rasmus Hojlund.
- Ketika bertahan kebawah: Mereka bertukar kepada bentuk 5-2-3 untuk menutup ruang di bahagian tengah.
- Ketika lawan menghampiri kotak penalti: United bertahan dalam bentuk 5-4-1 untuk menyekat gerakan lawan.
Ketika mengawal bola, United cuba membina serangan dari 4-2. Seorang bek-tengah naik ke atas dan seorang pemain sayap membantu di bahagian serangan. Walaupun masih terdapat kelemahan dalam pelaksanaan sistem ini, Amorim lebih menekankan kepada pembinaan corak permainan yang boleh diulang dan diperbaiki dari semasa ke semasa.
Kesukaran yang Dihadapi
Walaupun Amorim mempunyai visi yang jelas, terdapat beberapa cabaran utama yang menghalang United daripada segera menjadi pasukan yang dominan:
- Skuad yang Tidak Seimbang
- United memiliki kombinasi pemain muda yang masih belajar. Pemain veteran yang mula merosot prestasinya. Sekumpulan pemain sokongan yang tidak cukup berkualiti.
- Berbeza dengan kelab lain yang semakin menekankan aspek fizikal dan kecergasan, United masih ketinggalan dalam aspek ini.
- Kesukaran dalam Perpindahan Pemain
- Polisi perpindahan United selama beberapa tahun terakhir tidak konsisten. Ia menyebabkan Amorim mewarisi skuad yang tidak serasi dengan bola sepak moden.
- Kekurangan kreativiti di bahagian tengah dan ketidakmampuan pemain serangan untuk bermain mengikut sistemnya menyukarkan proses perlaksanaan.
- Tiada ‘New Manager Bounce’
- Berbeza dengan kebanyakan pengurus baharu yang sering membawa lonjakan prestasi dalam jangka pendek, Amorim belum menunjukkan perubahan drastik dalam keputusan perlawanan.
- Kemenangan ke atas pasukan besar seperti Liverpool dan Manchester City menunjukkan bahawa idea taktikalnya berkesan, tetapi kekalahan kepada pasukan seperti Bournemouth dan Brighton menunjukkan ketidakkonsistenan yang masih membelenggu pasukan.
Adakah Amorim Terlalu Degil?
Dalam keadaan sekarang, ada yang berpendapat Amorim terlalu keras kepala dan enggan mengubah sistemnya untuk mendapatkan hasil yang lebih pantas.
Namun, jurulatih itu percaya, untuk keluar dari kegelapan United perlu melalui tempoh pembelajaran yang sukar.
Manchester United bukan sahaja perlu berubah secara taktikal, tetapi juga secara mental dan fizikal. Sebagai contoh, kekalahan kepada Nottingham Forest menunjukkan betapa lemahnya pasukan dalam membina serangan melalui hantaran pendek. Ia sesuatu yang Amorim cuba perbaiki.
Amorim memilih untuk menetapkan asas permainan yang kukuh terlebih dahulu, walaupun dia akan mengalami beberapa keputusan yang buruk.
“Jalan keluar terbaik adalah dengan terus melaluinya.”
Berapa Lama Ini Semua Akan Mengambil Masa?
Persoalan ini masih sukar dijawab.
Dengan keadaan kewangan kelab yang tidak stabil, Amorim tidak boleh mengharapkan perpindahan pemain bernama besar untuk menyelesaikan masalah dalam sekelip mata. Namun, pembelian Patrick Dorgu menunjukkan kelab sedang berusaha menyelesaikan masalah.
Banyak lagi aspek perlu diperbaiki, termasuk:
- Meningkatkan hubungan antara bahagian-tengah dan serangan yang kini kurang dinamik.
- Menjadikan Hojlund atau Joshua Zirkzee sebagai penyerang utama yang berkesan dalam sistem Amorim.
- Memastikan pemain lebih disiplin secara posisi dalam perlawanan yang sukar.
United di bawah Amorim masih seperti sebuah lukisan yang belum siap. Ia memerlukan masa untuk menjadi karya agung. Jika dia mahu memecahkan kitaran “kemajuan yang menjanjikan tetapi akhirnya mengecewakan” seperti yang dialami pengurus sebelumnya, pemain United perlu berani mencuba sesuatu yang belum pernah mereka lakukan sebelum ini.
Kerana kunci lama tidak akan membuka pintu yang baru.