Blatter Salahkan Platini, Perancis & Jet Pejuang Punca Qatar ‘Rampas’ Hak Penganjuran Daripada Amerika Syarikat

Bekas presiden FIFA, Sepp Blatter menyalahkan Michel Platini dan Perancis sebagai punca Qatar dipilih menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Peranan Michel Platini dan Perancis dalam pemilihan Qatar dikaitkan oleh Sepp Blatter dengan pembelian pesawat pejuang Qatar dari Perancis.

Kenyataan itu disampaikan Sepp Blatter dalam temu bual bersama media Switzerland, Tages-Anzeiger, hanya beberapa minggu sebelum sepak mula Piala Dunia 2022.

Blatter berkata: “Pemilihan Qatar sebagai tuan rumah adalah satu kesilapan, dan saya menerima tanggungjawab itu kerana saya adalah Presiden FIFA ketika itu.”

Bekas Presiden FIFA yang berusia 86 tahun itu sememangnya diwarnai kontroversi ketika dia menjadi presiden FIFA. Antaranya adalah berkaitan pemilihan Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022.

Namun sebelum ini Blatter tak pernah mengakui ada kecurangan dalam perkara itu. Sehinggalah sekarang akhirnya dia mengaku.

Tepat pada 2 Disember 2010, Qatar memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2010.

Bagaimanapun, sejak kejayaan dalam hak penganjuran itu,sehingga kini, status Qatar sebagai tuan rumah masih menjadi tumpuan.

Bukan sahaja berkaitan dengan isu cuaca, dan tarikh penganjuran yang dipilih, ianya turut melibatkan isu berkaitan dengan diskriminasi pekerja asing.

Tak lupa juga negara majoriti Islam itu turut tidak disenangi oleh puak Barat kerana peraturan ketat tentang larangan L  G BT.

Namun Blatter tidak mahu membincangkan isu pelangi ataupun pencabulan hak asasi manusia berkaitand dengan buruh tersebut, kerana dia menumpukan kepada skala negara itu yang dianggapnya terlalu kecil untuk menganjurkan Piala Dunia.

Bagaimana Qatar boleh terpilih? Blatter menyatakan segalanya berlaku kerana berlaku perubahan mengejut pada saat akhir berkaitan dengan pemberian hak tuan rumah Piala Dunia 2022.

Sepp Blatter menyebut Michel Platini sebagai orang yang menjadi dalang kepada perkara itu.

Michel Platini merupakan presiden UEFA dari 2007 hingga 2015. Peranan ini menjadikan beliau dianggap sebagai tokoh penting dalam menjadikan Qatar tuan rumah Piala Dunia 2022 ketika itu.

“Undi Michel Platini adalah penentu dalam memberikan status tuan rumah Piala Dunia Qatar, ia adalah benar. Dan, sudah tentu, terdapat persoalan besar mengenai wang,” kata Sepp Blatter.

Sepp Blatter menyatakan perancangan sebenar adalah untuk memberikan status penganjuran Piala Dunia iaitu Piala Dunia 2018 dan 2022 kepada dua negara besar itu.

“Yang pertama ke Rusia pada 2018 dan yang kedua ke Amerika Syarikat 2022,” kata Sepp Blatter.

Seperti yang diketahui, Rusia memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018. Namun untuk Piala Dunia 2022 ia tidak jadi diberikan kepada Amerika Syarikat.

Menurut Sepp Blatter, sebelum kongres FIFA 2010 dalam menentukan status tuan rumah, Michel Platini menghubunginya dan menyatakan rancangan untuk memberikan tuan rumah kepada Amerika Syarikat tidak akan berjaya.

“Beliau (Michel Platini) ketika itu baru sahaja bertemu Presiden Perancis ketika itu, Nicolas Sarkozy, yang juga baru bertemu putera raja Qatar,” kata Sepp Blatter lagi.

Menurut Sepp Blatter, inilah yang kemudiannya menjadi punca Qatar kemudiannya berjaya mendapat status sebagai tuan rumah Piala Dunia.

Blatter dijemput makan makan di istana Presiden Perancis, Nichola Sarkozy. Dan ketika itu Sarkozy memberitahu Platini: “Lihat apa yang kamu akan dapat kalau Qatar terpilih menjadi tuan rumah.”

Blatter menyatakan dia terpinga pinga dengan perubahan rancangan itu. Dan akhirnya Platini menukar undiannya kepada Qatar.

“Enam bulan selepas pertemuan itu, Qatar kemudian membeli pesawat pejuang dari Perancis pada harga 14,600 juta dolar AS,” kata Sepp Blatter.

Sepp Blatter percaya bahawa pemilihan Qatar sebagai tuan rumah mempunyai “peranan” untuk Michel Platini, yang juga melibatkan pembelian pejuang itu untuk memihak kepada Perancis.

Baca yang lain