PSG sebelum ini pernah menghubungi Real Madrid menyatakan bahawa kelab itu sedia untuk menjual Mbappe kepada mereka.
Ianya selepas Mbappe berterusan enggan menandatangani kontrak baharu dengan kelab di Paris itu.
Walaupun PSG tidak suka dengan Real Madrid dalam situasi Mbappe, namun mereka merasakan bahawa Real Madrid calon terbaik untuk membeli Mbappe bagi mengelak kehilangan pemain itu secara percuma.
Jendela perpindahan kali ini adalah peluang terakhir PSG menjual Mbappe atau pemain itu pergi secara percuma jika tidak melanjutkan kontraknya sebelum akhir musim ini.
Lantas PSG menghantar satu email menyatakan bahawa kelab itu sedia menerima bidaan €250 juta daripada Real Madrid yang ibarat klausa pelepasan – mereka akan terus jual Mbappe ke Madrid.
Mana tidaknya, Mbappe memang disyaki tiada masalah untuk menyertai Real Madrid. Jadi PSG terdesak mahu menjualnya ke sana setelah pemain itu menolak untuk berpindah ke Al Hilal yang sanggup membayar €300 juta untuk mendapatkan Mbappe dengan setahun kontrak sahaja.
Malangnya melihat email tersebut sudah cukup membuatkan Florentino Perez dan lembaga pengarah Real Madrid ketawa – menurut laporan GOAL.
Ini kerana mereka tidak percaya PSG benar benar meminta €250 juta daripada Madrid untuk mendapatkan Mbappe. Dan mereka tahu Mbappe sudah menyatakan dia tak mahu ke Al Hilal.
🚨🎖️| Real Madrid is not willing to pay PSG’s asking price of €250m for Mbappe. @AranchaMOBILE pic.twitter.com/U9x3RQ0XtK
— Madrid Xtra (@MadridXtra) July 28, 2023
Real Madrid pula lebih rela menunggu pemain itu datang secara percuma ke kelab itu pada musim hadapan.
Seterusnya, Real Madrid dikatakan sudah meletakkan had maksimum untuk perbelanjaan membeli pemain. Mereka ada had €175 juta sahaja untuk seorang pemain bertaraf ‘Mbappe’. Ini termasuk bonus dan pakej gaji.
Had perbelanjaan itu diperketatkan kerana Real Madrid kini menambah hutang baharu untuk pembangunan semula Santiago Bernabeu. Kemudian Real Madrid menggunakan polisi membangunkan pemain muda sedia ada berbanding menjual mereka untuk membeli bintang luar.
Setakat ini hanya Jude Bellingham yang dibeli dengan pakej keseluruhan sekitar €100 juta. Dengan bayaran asas dikatakan €85 juta.
PSG berunding semula dengan Mbappe
Beberapa minggu lalu, PSG dilaporkan kembali menjernihkan hubungan dengan Mbappe selepas pertemuan gentleman antara Mbappe dan Nasser Al Khelaifi.
Membolehkan pemain itu diserap semula ke dalam pasukan utama dan terlibat dalam aksi sulungnya musim ini.
Nasser secara terbuka membayangkan bahawa Mbappe kini semakin cair hatinya untuk setuju melanjutkan kontrak dengan PSG – bagi membolehkan pemain itu tidak pergi secara percuma.
Dalam klausa itu kelak turut dimasukkan klausa pelepasan €250 juta untuk Mbappe meninggalkan Mbappe bila bila masa jika ada yang sanggup membayarnya.
Namun difahamkan Mbappe tidak menerima kontrak terlalu panjang di PSG. Isu durasi kontrak masih menjadi perkara yang hangat dibincangkan kedua dua pihak.
PSG memerlukan keajaiban luar biasa untuk meyakinkan Mbappe melanjutkan kontrak sehingga 4 atau 5 tahun.
Real Madrid dikatakan memantau situasi ini dengan rapat. Jika benar Mbappe melanjutkan kontrak dengan PSG lebih daripada 2025, mereka akan mencari pemain lain.
Namun jika kontrak Mbappe sehingga 2025 sahaja, maka Real Madrid mungkin akan menunggu pemain itu datang secara percuma sekali lagi.