Braithwaite: Kisah Flop Middlesbrough Menjadi Pemain Terkaya Barca, Ada Syarikat Bernilai €250 Juta

Martin Braithwaite mungkin merupakan salah seorang pemain Barcelona yang paling mengejutkan dalam sejarah kelab, dengan kejayaannya menyarung jersi Barcelona pada era Lionel Messi. Tetapi lebih mengejutkan apabila mengetahui bahawa dia merupakan salah seorang pemain terkaya kelab.

Braithwaite menyediakan payung sebelum hujan. Dia sendiri sedar bahawa kerjaya pemain bola sepak boleh berakhir pada bila bila masa. Lebih lebih lagi untuk pemain sepertinya. Lalu dia membina perniagaan yang mampu menjamin masa depannya dan keluarga dengan wang yang dia ada.

Perjalanan kariernya bermula dari Middlesbrough ke Barcelona — merupakan impian luar biasa yang menjadi kenyataan buat Braithwaite. Dia turut berjaya meyakinkan Koeman untuk dikekalkan, ketika kelab memutuskan bahawa Luis Suarez pula dipancung keluar pada masa itu. Malah Tom Flight sendiri menyatakan bahawa keajaiban karier Braithwaite ini tidak mampu dijelaskan oleh saintis sama sekali.

Braithwaite bergabung dengan Barca pada Februari 2020. Beliau beberapa kali dikritik peminat sendiri sebagai pemain yang bernasib baik kerana berjaya menjadi pemain Barca. Beberapa persembahannya menjadi bahan jenaka seluruh peminat. Dia malah digelar Lord Braithwaite.

Rekod lampaunya, dia digelar flop di kelab Middlesbrough, kini dia bermain untuk salah sebuah kelab terbesar di unia.

Dia menjadi pemain yang sentiasa berada dalam senarai untuk dijual kepada kelab lain dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Namun buat masa ini, masih tiada kelab mahukannya. Barcelona agak sukar mencari pembeli pemain itu, dan mereka mempertimbangkan untuk meminjamkan Braithwaite ke kelab lain untuk meringankan bil gaji pemain. Itupun kelihatan masih gagal terlaksana setakat ini.

Braithwaite mungkin kurang bergaya aksinya di atas padang. Namun di luar padang dia merupakan pemain Barcelona kedua terkaya di Barcelona. Sebelum ini, hanya Lionel Messi yang lebih kaya daripadanya – dengan Messi ada kontrak €1.3 juta seminggu di Barca — sebelum terpaksa dilepaskan sebagai ejen bebas.

Kini jadi pemain terkaya di Barca

Dengan Messi yang sudah tiada lagi bersama Barca, maka Braithwaite secara rasminya adalah pemain terkaya Barca sekarang ini. Dia memiliki kekayaan bak Ismeth Ulam Raja satu ketika dahulu.

Bagaimana Braithwaite menjadi begitu kaya?

Kekayaan Braithwaite terhasil dari beberapa pelaburan yang sangat baik. Segalanya bermula pada tahun 2017 dia melabur €850,000 dalam perniagaan hartanah, dan pelaburan itu sangat menguntungkannya.

Kebijaksanaan beliau dalam melabur dibantu oleh penasihat kewangan yang bagus membuatkan beliau menuai hasil lumayan. Pemain antarabangsa Denmark itu tidak memerlukan wang tajaan peribadi yang banyak untuk menjadi kaya.

Braithwaite kini memiliki perniagaan yang bernilai €250 juta. Bekas penyerang Boro, yang hanya menjaringkan sembilan gol dalam 40 permainan ketika bermain di utara Yorkshire itu dahulu, juga memiliki perniagaan butik pakaian dengan isterinya dan memiliki sebuah restoran makanan mewah di Barcelona.

Selain menghasilkan banyak wang sendiri, beliau seorang yang berhati mulia. Dia ingin membantu mewujudkan jutawan dalam komuniti kulit hitam di Amerika juga. Bercakap di panel saluran Yahoo Finance baru-baru ini, penyerang itu berkata, “Kami ingin mengajar orang tentang kebebasan dari segi kewangan dan kekuatan yang mereka miliki.”

“Kami mempunyai begitu banyak perkara yang ingin kami lakukan dan sentiasa mempunyai mindset untuk memberi semula kepada mereka yang memerlukan.”

Bercakap mengenai usahanya di AS, penyerang itu memberitahu The Philadelphia Inquirer, “Saya sentiasa ada pasukan [perniagaan] di Amerika ini, dan saya rasa mungkin itulah sebabnya pemikiran saya mungkin lebih Amerika: bermimpi besar, melakukan perkara yang luar biasa, menuliskan gol.

“Di Denmark, kami memiliki sistem yang luar biasa melindungi rakyat. Semua orang baik baik sahaja. Tidak ada lagi yang mereka mahukan. Di Amerika, itu bukan perkara yang sama.”

Braithwaite sang jutawan yang luar biasa

Forbes pernah menulis ruangan khas memuji Braithwaite dalam menguruskan kewangannya. Pada 2020, Braihwaite dan bapa saudaranya yang merupakan seorang usahawan, Philip Michael, telah meneroka peluang perniagaan di AS.

Bercakap kepada Philip Michael: “Nombor 1, kamu sentiasa harus mahu menginspirasikan dan memperkasakan orang lain di sekeliling kamu untuk mengejar impian mereka. Martin adalah bukti hidup perkara itu.”

Philip Michael sendiri memulakan perniagaannya dengan wang yang kecil. Perniagaan pertamanya hanya bermodalkan €100 masa dia masih sekolah. Kini dia dan Braithwaite menjadi pemilik perniagaan hartanah yang mampu melabur di negara kapitalis agung seperti AS.

Mereka mahu melahirkan lebih ramai jutawan dari kalangan generasi milenium. Seterusnya, Braithwaite mahu membantu golongan kulit hitam di Amerika agar lebih ramai yang kaya. Kerana jurang di antara kaum kulit hitam di Amerika sangat besar sekitar 7%. Dan mereka mahu membantu merapatkan jurang tersebut.

Pada 2017, Michael dan Braithwaite melabur dengan wang sekitar €850k. Pada akhir 2020, syarikat mereka ada aset bernilai €10.2 juta dan €60 juta lagi prospek keuntungan daripada projek yang terus aktif.

Mereka melabur dalam sektor pembinaan perumahan mampu milik. Pada masa yang sama kualiti rumah mereka dijamin berkualiti dengan rumah yang setara, dengan harga jauh lebih rendah,

Dengan kekayaan luar biasa dimilik Braithwaite, mungkin dia boleh membantu Barcelona membayar tunggakan gaji pemain? Siapa tahu, Barca menjadikan syarikat Braithwaite sebagai penaja khas? Dan syarikat Braithwaite boleh menggunakan wajah pemain Barca dalam imej koporat syarikatnya?

Belum tahap billionaire

Walaupun kaya raya dia dikenali dengan sikap yang merendah diri. Dan dia pernah menafikan dia sudah menjadi billionaire. Kerana menurutnya, nilai kekayaan yang dilaporkan oleh media adalah merujuk kepada aset syarikatnya.

Tetapi dia berharap akan berada dalam senarai billionaire Forbes pada suatu hari nanti.