Brentford 4 Manchester United 0: Ten Hag Telan Kekalahan Kedua Berturut Turut

Manchester United turun berkunjung ke Brentford untuk menebus kekalahan mengejut mereka pada hari pertama EPL di tangan Brighton.

Man United akhirnya menurunkan Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama mereka.

Namun separuh masa pertama adalah malapetaka buat Manchester United. Skuad bimbingan Erik Ten Hag melakukan segala kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga mereka ketinggalan 4-0 pada separuh masa pertama. Setiap on target Brentford berakhir dengan gol.

Brentford di hadapan pada seawal minit ke-10, apabila Da Silva merembat melepasi De Gea yang seharusnya melakukan penyelamatan dengan lebih baik. De Gea ditewaskan di near post.

Tidak lama selepas itu Brentford, 2 gol di hadapan. Kali ini Manchester United melakukan kesilapan pada fasa build up. De Gea sekali lagi menjadi duri dalam daging untuk gol tersebut. Di mana De Gea yang memang ada isu dengan ball playing, kali ini gugup dan tidak dapat menganalisis ancaman daripada tekanan pasukan lawan.

De Gea menghantar bola kepada Eriksen yang ditekan pemain lawan dan kehilangan bola. Dan Jensen tak melepaskan peluang untuk menewaskan De Gea.

Manchester United terus bergelut untuk mendapatkan rentak mereka. Brentford kemudian memberikan mimpi ngeri untuk Man United. Ben Mee dengan mudah memenangi duel berdepan pemain yang jauh lebih rendah daripadanya, Lisandro Martinez. Mee menanduk masuk bola ke gawang terbuka. Kredit kepada Toney yang mencipta assist.

Man United cuba mendapatkan rentak mereka. Dan cuba mencari gol pertama untuk mencetuskan kebangkitan.

Man United kehilangan bola di kawasan kotak penalti lawan. Brentford melancarkan serangan balas dengan hantaran terus kepada Toney. Pemain itu dengan cepat menghantar kepada Mbuemo yang berlari mengatasi Luke Shaw. Mbeumo menewaskan De Gea dengan bola rendah untuk gol keempat pada minit ke-35.

Brentford masuk ke bilik persalinan dengan 4 gol tanpa balas.

Pada separuh masa kedua, Erik Ten Hag membuat 3 pertukaran terus. Mengeluarkan Lisandro Martinez, Luke Shaw dan juga Fred. Ten Hag memasukkan Tyrell Malacia, Raphael Varane dan Scott McTominay.

Manchester United mendapat peluang terbaik mereka pada minit ke-52. Dalot melakukan hantaran tinggi dengan sungkitan yang ditanduk Ronaldo. Namun tandukan pemain veteran itu agak tinggi.

Perlawanan kemudian berlangsung dalam keadaan agak seimbang. Man United lebih banyak mengatur serangan namun hasilnya masih menghampakan. Ten Hag memutuskan untuk memasukkan Anthony Elanga menggantikan Jadon Sancho.

Minit ke-65, akhirnya Man United mendapat sepakan penjuru pertama mereka.

De Gea yang agak rileks pada separuh masa kedua kemudian diancam percubaan jarak jauh pada minit ke-80. Namun kali ini penjaga gol asal Sepanyol itu berjaya menangkap bola kemas.

Seminit kemudian, bekas pemain Brentford, Christian Eriksen mendapat peluang keemasan di hadapan gol, namun voli beliau tidak tepat.

Pada minit ke-81, pemain gantian Brentford, Onyeka merampas bola daripada Scott McTominay yang cuai, mujur mereka tidak dihukum oleh Brentford. McTominay dilayangkan kad kuning.

4 minit kemudian Brentford hampir menambah gol tetapi Maguire menghadang percubaan pemain lawan. Kemudian De Gea tampil cemerlang menafikan satu lagi percubaan deras daripada lawan.

Ten Hag melakukan pertukaran terakhir pada minit ke-87 dengan mengeluarkan Christian Eriksen dan memasukkan Donny Van De Beek.

Tamat perlawanan Brentford mencipta kemenangan bersejarah 4-0 ke atas pasukan paling berjaya dalam sejarah EPL iaitu Manchester United.

Aksi seterusnya Manchester United akan berdepan Liverpool di Old Trafford.