Brentford Pening Tak Dapat Jual Toney

Sebelum ini pengurus Brentford, Thomas Frank menjangkakan bahawa Ivan Toney akan meninggalkan kelab itu dan dibeli oleh kelab besar. Nama Ivan Toney dikaitkan dengan beberapa kelab termasuk Chelsea, Man United dan Arsenal.

Ini selepas pemain itu setuju untuk menangguhkan perpindahannya ke kelab besar selepas musim debut EPL yang cemerlang.

Brentford benar benar jual mahal ketika kelab kelab di EPL mahukan pemain itu. Mereka menganggap Toney sebagai bakat luar biasa yang harus pergi dengan harga luar biasa.

Pada par musim kali ini, Brentford sudah menandatangani Igor Thiago sebagai langkah persiapan kehilangan Ivan Toney. Namun pemain itu pula mengalami kecederaan serius pada aksi pra musim.

Brentford bagaimanapun dikatakan masih kekal dengan polisi bahawa mereka akan menjual Ivan Toney. Tetapi isu dia sekarang, tiada kelab yang membida untuk Toney.

Hal ini kerana tanda harga yang diminta oleh Brentford terlalu tinggi. Misalnya musim lalu, Thomas Frank dengan terbuka menyatakan bahawa Toney harus berharga sekitar harga Declan Rice setelah Arsenal membayar £105 juta untuk pemain itu.

Brentford juga turut menyatakan bahawa Toney adalah pemain yang bernilai £100 juta. Tetapi masalah berlaku apabila pemain itu kemudian digantung daripada bola sepak kerana terlibat pertaruhan haram dalam bola sepak.

Kelab seperti Arsenal menangguhkan minat mereka ke atas Toney kerana tempoh 8 bulan adalah lama untuk pemain profesional tidak beraksi.

Toney kemudian kembali semula ke padang pada Januari. Menurut Sky Sports, Brentford kekal dengan pendirian bahawa pemain itu masih £100 juta dan kelab yakin Toney berjaya mengekalkan tahap kecergasan dan fizikalnya.

Namun kelab kelab besar di England terutamanya mulai kurang berminat untuk merisik Toney akibat tanda harga tak masuk akal.

Brentford kini berdepan dengan masalah, kerana menurut Sky Sports, mereka terdesak untuk melepaskan Toney kerana peraturan Keuntungan dan Kemapanan Liga Inggeris atau bahasa mudahnya peraturan FFP.

Brentford perlu mengelakkan diri mereka daripada menanggung rugi yang besar atau berdepan dengan hukuman seperti pemotongan mata. dan sekatan perpindahan.

Keadaan menjadi lebih buruk kerana Ivan Toney masih tak melanjutkan kontrak di kelab itu. Dan dia boleh pergi secara percuma pada 1 Julai 2025 nanti.

Pengurusan Brentford dikatakan kecewa dan hairan kenapa tiada kelab yang serius mahukan Toney ketika mereka sedia untuk menjual pemain antarabangsa England itu.