Bruno Fernandes: ‘Guardiola Pengurus Terbaik Dunia, Namun Klopp Paling Mempengaruhi Saya Dalam Bola Sepak’

Bruno Fernandes menganggap Pep Guardiola sebagai pengurus terbaik di dunia ketika ini. Pada masa yang sama mengakui bahawa Jurgen Klopp adalah jurulatih yang dia minati kerana semangat serta dedikasi pengurus itu.

Bruno Fernandes yang merupakan kapten Manchester United, meluangkan masa untuk sesi bual bicara dengan A Bola, portal sukan berpengaruh di Portugal.

A Bola memetik kata kata seorang jurulatih yang memujinya dan meminta dia meneka.

A Bola: “Apabila saya bacakan anda petikan ayat ini: ‘Ketika Bruno menguasai bola, kamu tahu sesuatu akan berlaku’, adakah kamu tahu siapa yang keluarkan kenyataan ini?”

Bruno dengan pantas menjawab: “Saya rasa itu encik [Roberto] Martinez [pengurus Portugal].

A Bola menyatakan bahawa jawapan Bruno Fernandes adalah salah.

“Bukan itu daripada Pep Guardiola, pengurus pasukan seteru kamu,” tegas A Bola.

Kemudian Bruno Fernandes baru ingat. Dan dia menambah: “Ya saya baru teringat. Tapi Martinez pun ada cakap benda yang serupa. Saya tidak akan berbohong dan berkata ‘ya, ia bagus’.

“Tidak, ia hebat! Sebab kita sekarang bercakap tentang jurulatih terbaik di dunia, Pep Guardiola, tanpa sebarang keraguan.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia telah menjadi jurulatih terbaik di dunia. Dia mungkin jurulatih yang paling banyak mengubah permainan bola sepak.

“Pada masa kini, semua orang mahu menjadi Guardiola, tidak perlu menyembunyikannya. Semua pasukan, dari divisyen kedua hingga pertama, semua orang cuba bermain seperti City dan semua orang cuba mencari dinamik yang ada pada City, kerana mereka mempunyai hasil dan kejayaan.

“Bagi saya, mendapat pujian daripada jurulatih seperti Guardiola adalah sesuatu yang menakjubkan, kerana, seperti yang saya katakan, kita bercakap tentang jurulatih yang saya sangat hargai dan bagi saya, hari ini, adalah jurulatih terbaik di dunia.

A Bola kemudian menegaskan: “Bukan sahaja Guardiola, Jürgen Klopp sendiri telah memuji anda, malah kamu sebenarnya menerima pujian daripada hampir semua jurulatih pesaing kamu.:

Bruno terkesima mendengarnya sambil membandingkan personalitinya mungkin lebih kepada Jurgen Klopp. Seorang yang bersemangat setiap kali melibatkan bola sepak.

Dan Bruno Fernandes berkata: “Kita bercakap tentang seorang jurulatih yang merupakan salah seorang yang paling saya hargai iaitu Jurgen Klopp, kerana intensiti yang dibawanya ke perlawanan dan semangat yang dia ada untuk bola sepak.

“Saya fikir apa yang dia lakukan sekarang adalah satu lagi demonstrasi betapa dia sangat meminati bola sepak. Dia merasakan, jika dia tidak berada pada tahap terbaik, dia tidak memberikan yang terbaik untuk permainan.

“Dan saya berfikir sedikit seperti itu juga, dengan cara yang sama seperti dia, mungkin. Dia adalah jurulatih yang mengubah dinamik Liverpool, yang membawa harapan kepada kelab.

“Jika kita lihat, Klopp adalah jurulatih yang mungkin paling sedikit memenangi gelaran daripada sepatutnya dan, walaupun begitu, mencapai yang paling banyak dari segi keghairahan dunia bola sepak, keghairahan peminat, transformasi yang dibawanya ke sebuah kelab.

“Dia masih berjaya memenangi gelaran besar, dia memenangi Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan beberapa piala lain.

“Tetapi hadiah terbesar yang akan diambilnya dari tahun-tahun ini ialah percikan api, semangat dan dinamik baharu yang dibawanya dan yang membuatkan Liverpool sekali lagi percaya kepada semangat menjadi juara, dapat bertarung untuk gelaran, menjadi antara yang terbaik.

“Itu sesuatu yang tiada siapa yang akan ambil dari Klopp. Kita sekarang bercakap tentang jurulatih lain yang benar-benar mempengaruhi minat saya untuk bola sepak.”

Baca yang lain

UEL: Liverpool Rasminya Tersingkir

Liverpool berkunjung ke markas Atalanta dengan membawa defisit 3 gol dari Anfield. Misi mereka adalah menjaringkan 3 gol dan cuba mengelak bolos.