Bukan Arsenal Atau Liverpool, Aguero Pilih Manchester United Ancaman Terbesar Man City Dalam Perebutan EPL

Sergio Aguero memberikan amaran kepada Manchester City bahawa musuh sebandar kelab itu, Manchester United merupakan kelab yang masih berpeluang untuk merampas kejuaraan pada musim ini dari tangan mereka.

Menariknya Aguero langsung tidak menyebut Liverpool atau Arsenal dalam senarai pasukan yang boleh menghadirkan ancaman kepada City dalam usaha kelab itu mempertahankan kejuaraan EPL di Etihad.

Aguero sentiasa percaya, berdasarkan pengalamannya, Man United adalah sebuah pasukan yang tidak akan pernah mengalah dalam persaingan kejuaraan.

Musim jelas masih panjang dan dia percaya Erik Ten Hag dan pemain pemainnya mampu bangkit dan kemudian boleh bergelar juara jika Man City terlena dibuai khayalan.

“Manchester United akan menjadi salah satu ancaman terbesar Manchester City dalam mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini,” tegas Aguero.

“Kamu tak boleh terlena walaupun United berada di kedudukan mereka sekarang musim ini.”

Skuad Ten Hag ketika ini dibelenggu masalah kecergasan dan kecederaan. Dan apabila pemain pemain utama mereka cergas kembali kelak dan mendapat pasukan penuh mereka kembali, maka Aguero menjangkakan pada masa itu, United akan memasuki gear tinggi dalam persaingan.

Baru baru ini, dengan skuad tempang dan barisan muda mereka, Man United tetap berjaya membawa pulang 1 mata dari Anfield. Malah hampir memenangi perlawanan itu jika tidak kerana Alisson.

Walaupun Arsenal musim lalu menjadi pesaing City sehingga ke minggu minggu terakhir persaingan. Namun bekas pemain kebangsaan Argentina itu memilih Spurs sebagai satu lagi pasukan yang akan memberikan saingan kepada City.

Sebelum ini Jose Mourinho turut mengeluarkan nama Arsenal daripada persaingan kejuaraan musim ini. Dan Aguero kelihatannya melihat perkara yang sama dengan The Special One.

Aguero malah merasakan Spurs adalah ancaman yang lebih bahaya daripada The Gunners pada musim ini. Spurs memulakan musim ini sangat cemerlang.

Namun begitu, mereka berdepan dengan beberapa siri kekalahan pada November terutama sekali selepas kecederaan beberapa pemain utama termasuk James Maddison.

Tetapi, pada Disember mereka sudah kelihatan bangkit semula. Dan Aguero melihat Spurs akan terus mengejar Man City bersama sama dengan Manchester United.

Menurut Aguero, Spurs yang ada pada hari ini sangat berbeza. Kerana mereka sudah berevolusi bersama sama dengan corak taktikal moden oleh pengurus berkeinginan tinggi untuk menang iaitu Ange Postecoglou yang memiliki kegilaan seperti Guardiola iaitu bola sepak menyerang.

“Saya juga fikir Spurs adalah pesaing kejuaraan. Mereka telah banyak meningkat naik di bawah Ange Postecoglou,” tegas penjaring gol terbanyak sepanjang zaman untuk Man City itu yang terkenal dengan momen AguerOooOooOoo.

Dan pasukan yang ketiga dalam senarai pesaing kejuaraan bersama City menurut Aguero adalah Newcastle. Pasukan miliki PIF Arab Saudi ini memiliki kualiti yang tidak harus dipandang rendah kata Aguero walaupun mereka ada musim yang agak turun naik setakat ini.

Ianya berlaku kerana Newcastle berdepan dengan krisis kecederaan yang agak teruk. Apabila pemain pemain mereka kembali cergas sepenuhnya kelak, maka kekuatan sebenar Newcastle akan terserlah.

“Walaupun ada turun naik musim ini, Newcastle juga akan berada di kelompok yang akan memberikan persaingan.”

Manchester City kini berada di Arab Saudi untuk aksi Piala Dunia Kelab 2023. Di mana mereka sudah mengesahkan tempat di final pada awal pagi esok. Lawan mereka adalah Fluminese dari Brazil.

Ini adalah peluang untuk mereka bergelar juara dunia buat pertama kali dalam sejarah kelab itu.