‘Bukan Mudah Nak Pintas Negeri Sembilan’

Ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan mengakui bukan mudah untuk merampas kedudukan pendahulu Liga Premier 2021 ketika ini yang masih menjadi milik Negeri Sembilan FC di mana memerlukan kerja keras semua pemain untuk terus berjuang mengekalkan rekod bersih tanpa kalah.

Meskipun hanya dibezakan satu mata sahaja dengan Negeri Sembilan FC untuk berada di tangga kedua liga, beliau menyifatkan setiap perlawanan yang dihadapi bukan mudah dan apa sahaja boleh berlaku untuk menidakkan misi pasukan bagi menghuni kedudukan teratas.

Dengan empat kemenangan dan satu seri yang diraih setakat ini, semestinya Sarawak United ingin terus memburu mata bagi meraih kemenangan ke atas Selangor FC 2 pula dalam aksi keenam Liga Premier petang ini.

Namun, Elavarasan mengingatkan kepada anak buahnya untuk tidak pandang mudah kemampuan skuad kendalian Michael Feichtenbeiner yang dijangka akan memberi tentangan sengit di mana mereka juga sememangnya enggan lagi terus tersungkur selepas tewas kepada Perak FC II, Jumaat lalu.

“Semestinya kita mengharapkan untuk memintas kedudukan Negeri Sembilan, tetapi kita tahu bukan mudah dan fokus utama sekarang adalah untuk memastikan kita terus dapat mengutip mata dalam setiap perlawanan.

“Macam Selangor FC 2, walaupun pemain-pemain mereka muda, tetapi cabaran juga untuk kita sebab kita tahu bagaimana semangat yang ada dalam diri pemain muda untuk mereka memberi tentangan kepada kita.

“Untuk pemain saya, banyak lagi usaha yang perlu kami lakukan dan saya sentiasa ingatkan kepada mereka bukan senang untuk kita raih kemenangan dalam setiap perlawanan, dan saya boleh jangkakan perlawanan malam esok memang sukar”, jelasnya.

Dengan pindaan jadual Liga Malaysia yang menyaksikan pasukan Liga Premier akan berdepan empat aksi pada bulan Ramadan, bekas pengendali Felda United ini menegaskan pasukannya tidak berdepan masalah untuk melakukan persediaan yang lebih konsisten bagi menghadapi perlawanan.

Apa yang pasti ketika ini, beliau mahu barisan pemain tetap mengutamakan tahap kecergasan yang terbaik untuk memastikan tiada lagi kecederaan membelenggu pasukannya khususnya pada bulan Ramadan nanti.

“Untuk saya, tiada masalah pun nak bermain empat perlawanan dalam bulan Ramadan kerana semua pasukan pun berdepan situasi yang sama, jadi tiada apa perlu dirisaukan.

“Cuma untuk sekarang ini, ada beberapa pemain juga berdepan kecederaan, jadi kita kena bersedia dengan perkara-perkara seperti itu untuk memastikan tahap kecergasan pemain tetap di tahap terbaik”, tambahnya.

Selain perlawanan Selangor FC 2 menentang Sarawak United FC pada petang ini, baki dua lagi perlawanan adalah melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT II) dan PDRM FC, manakala Skuad Projek FAM-MSN pula akan menerima kunjungan Kuching City FC.

Sumber: MFL Official

Baca yang lain

Xavi Nekad Tinggalkan Barca

Xavi Hernandez menyatakan bahawa dia sudah nekad mahu meninggalkan Barcelona pada akhir musim ini. Xavi beberapa bulan lalu mengesahkan dia sudah mencapai