Burnley Terkejut Kehilangan Wood Selepas Newcastle Bayar Klausa Pelepasan £20 Juta

Newcastle tidak mahu banyak songeh apabila membayar klausa pelepasan Chris Wood untuk membolehkan pemain itu menjadi milik mereka.

Wood adalah sasaran Eddie Howe selepas kecederaan yang menimpa Callum Wilson. Pemain tersebut akan disisihkan selama dua bulan.

Tiada apa yang boleh dilakukan Burnley apabila pemain memutuskan untuk mengaktifkan klausa pelepasa £20 juta yang terkandung dalam kontraknya.

Chris Wood perlu menyelesaikan urusan medikal di Newcastle sebelum diumumkan secara rasmi.

Chris Wood merupakan penyerang penting Burnley yang kini turut bersaing dalam mengelakkan zon penyingkiran.

Burnley hanya berkelebihan perbezaan jaringan berbanding Newcastle. Di mana Burnley berada di tangga ke-18, Newcastle di tanggan ke-19 dalam zon penyingkiran.

Adakah ini salah satu langkah serampang dua mata daripada Newcastle? Dalam usaha mereka mengisi squad depth, mereka turut cuba melemahkan pesaing untuk penyingkiran?

Chris Wood merupakan penyerang yang sangat berpengalaman di Liga Inggeris.

Eddie Howe sebelum ini menggariskan bahawa, mereka sangat tumpul di hadapan gol sehingga tersingkir daripada Piala FA di tangan pasukan dari liga bawahan, Cambridge United.

Newcastle sebelum itu dikatakan sudah menghantar bidaan £30 juta untuk mendapatkan penyerang B-20 perancis. Namun ditolak oleh Reims.

Sumber Sky Sports menyatakan, walaupun Newcastle sudah mendapatkan Wood, mereka masih berunding untuk mendapatkan Ekitike. Newcastle juga dikatakan berhadapan persaingan daripada kelab EPL yang lain, namun tidak disebut nama tersebut.

Pundit, Paul Merson menegaskan bahawa, Newcastle perlu melengkapkan perpindahan Chris Wood sebelum aksi sesama pasukan zon penyingkiran – Watford – dalam perlawanan yang akan berlangsung pada Sabtu.

Akibat kehilangan penyerang mereka secara mengejut. Burnley terus berusaha mencari pengganti Wood. Burnley sama sekali tidak merancang menjual Wood dan tidak menjangka sama sekali akan ada pasukan yang sanggup membayar £20 juta klausa pelepasan Wood.

Burnley berusaha mendapatkan penyerang baharu, terutama sekali dari kalangan kelab kelab di England untuk memudahkan urusan mereka.

Wood bakal menjadi pemain kedua ditandatangani Newcastle pada era pemilikan konsortium Saudi yang kaya raya iaitu PIF.

Sebelum ini mereka sudah mengesahkan pembelian Kieran Trippier dari Atletico Madrid.

Ramai juga peminat Newcastle menganggap pembelian ini agak mahal dengan mengambil kira usia Wood yang sudah 30 tahun.

Mereka mempersoalkan kredibiliti bahagian rekrut pemain Newcastle pada ketika ini?

Sebelum ini beberapa pemerhati pasaran perpindahan pemain memang sudah menjangkakan Newcastle agak bergelut untuk mendapatkan bintang ternama Eropah – tanpa menawarkan harga terlalu tinggi.

Ini kerana Eddie Howe bukan pengurus yang berprofil tinggi yang boleh menarik nama seperti Mbappe.

Jika mereka mahukan seseorang pemain bintang, mereka pastinya perlu menawarkan kontrak luar biasa.

Eddie Howe sendiri sudah meluahkan kesedihannya apabila kelab kelab lain sudah meletakkan harga berbeza untuk Newcastle berbanding kelab lain.

Biasalah tu, kelab kaya kan. Tak percaya tanya Manchester United. Kalau mereka bid selalunya harga terus ke arah negara Benayoun perginya.

Newcastle tidak mahu tersingkir dari EPL musim ini. Selaku kelab terkaya di dunia, takkan mereka nak bermain di Liga Kejuaraan pada musim hadapan?

Newcastle boleh berbelanja sehingga £165 juta dalam jendela perpindahan Januari ini kerana status akaun FFP mereka sangat sihat walafiat. Dapat kat owner kedekut sebelum ni, iaitu Mike Ashley, itulah kelebihannya juga kan.

Dengan perpindahan Wood £20 juga dan Trippier kira kira £12 juta. Jadi setakat ini mereka sudah membelanjakan £32 juta. Masih ada £132 juta lagi untuk dibelanjakan.