Piala Dunia sentiasa dibayangi dengan drama, kisah hero, kisah penuh inspirasi, kontroversi dan bermacam lagi.
Salah satu nama yang paling kontroversi dalam sejarah Piala Dunia adalah Byron Moreno. Pengadil dari Ecuador yang menggalas tugasan itu di Korea-Jepun 2002.
Rasanya ramai peminat bola sepak dunia mengenali nama ini terutama sekali peminat Azzurri. Di Malaysia pastinya ramai peminat Azzurri selain daripada pasukan seperti Perancis, Jerman, Brazil dan England.
Korea Selatan vs Itali – 2002
Pada 8 Jun 2002, di Daejon Korea Selatan berlangsung perlawanan peringkat 16 pasukan terakhir untuk Piala Dunia 2002. Korea Selatan bangga kerana tak tersingkir awal dalam temasya di bumi sendiri dan terus mara ke peringkat 16 akhir.
Byron Moreno dipilih mengadili perlawanan yang akan menjadi tumpuan jutaan manusia di muka bumi termasuk 42,000 penyokong di dalam stadium pada ketika itu.
Ini adalah perlawanan under dog dan juga pasukan tuan rumah yang menjadi wakil Asia, Korea Selatan bertemu jagoan dunia, Itali.
Itali ketika itu memiliki nama-nama besar termasuk Fabio Cannavaro, Del Piero, Christian Vieri, Pippo Inzaghi, penjaga gol sensasi Buffon dan ramai lagi. Tak cukup dengan itu, Itali turut diketuai oleh kapten lagenda Paolo Maldini.
Sebelum itu, Korea Selatan mengejutkan Poland 2-0, seri dengan USA 1-1 serta kemenangan luar biasa 1-0 ke atas Portugal.
Itali tertekan dengan pengadilan Moreno
Itali masih tampil sebagai pasukan pilihan bak langit dan bumi walaupun tanpa Nesta yang cedera dan Cannavaro yang digantung perlawanan.
Menjadi orang ke-23 di dalam padang adalah Byron Moreno. Sebelum ini tidak ada siapa pun kisah pasal beliau.
Dari awal perlawanan lagi, Itali nampak tertekan dengan pengadilan Byron Moreno. Moreno menghadiahkan penalti kepada Korea Selatan pada awal perlawanan.
Namun gagal disempunakan Ahn Jung Hwan. Kemudian Christian Vieri menjaringkan gol pendahuluan untuk Itali. Ramai penyokong tergamam dan mulai menggigit jari.
Namun Itali melepaskan bolos pada lewat perlawanan dan membuatkan perlawanan diheret ke masa tambahan. Peraturan gol emas digunakan ketika itu.
Byron Moreno melayangkan kad kuning kedua untuk Totti kerana diving dan ia juga silap. Totti jelas dibentes di dalam kotak penalti.
Damiano Tommasi kemudiannya menjaringkan gol emas untuk Itali. Game over? Tak lagi!
Moreno membatalkan jaringan itu kerana ofsaid, kali ini penjaga garisan pula mengangkat bendera. Ia keputusan yang silap juga.
Ahn Jung Hwan kemudian telah menjaringkan gol emas untuk Korea Selatan. Itali tersingkir dengan penuh kontroversi.
Pengurus Itali, Giovanni Trappatoni menuduh ia adalah konspirasi untuk mengekalkan pasukan tuan rumah di dalam kejohanan.
La Gazzetta dello Sport melabel ia sebagai pengadilan terburuk dalam sejarah.
Sepanjang perlawanan Byron Moreno melakukan terlalu banyak keputusan yang meragukan meskipun Sepp Blatter mempertahankan kualiti pengadilan Moreno.
Selepas Piala Dunia 2002
Persatuan Bola Sepak Ecuador menyatakan mereka malu dengan kualiti pengadilan Moreno yang sangat teruk dalam perlawanan tersebut. FA Ecuador telah mengambil tindakan menggantung Moreno daripada tugasan.
Dalam satu perlawanan domestik di antara Liga Deportiva Universitaria de Quito menentang Barcelona Sporting Club, Moreno memberikan 6 minit masa tambahan. Ada yang menyifatkan ia keterlaluan. Ada yang menduduh Moreno mahu meraih undi untuk menjadi perwakilan di Quito. Daripada 6 minit, Moreno melanjutkan masa itu menjadi 13 minit.
Moreno melayangkan 3 kad merah yang kesemuanya dinilai oleh FA Ecuador sebagai keputusan lemah dan digantung tugasan sekali lagi. Moreno membuat keputusan untuk bersara dari pengadilan dan menjadi pundit tv. Dia menceraikan isterinya dan mendampingi wanita yang jauh lebih muda.
Moreno hidup dalam dunia glamor di kaca tv. Di kampung halamannya, Moreno hidup serba mewah.
Moreno ke penjara
Pada September 2010, Moreno telah terbang ke Lapangan Terbang JFK di New York untuk menguruskan pertunangannya. Pada masa yang sama Moreno mahu menyelesaikan penceraian dengan isterinya.
Ketika cuba melepasi pemeriksaan kastam, Moreno nampak sangat gelisah. Pegawai kastam Lapangan Terbang JFK memeriksa badan Moreno dan mendapati ada objek keras di bahagian perut, belakang dan paha.
Rupa-rupanya Moreno cuba menyeludup 6 kg heroin yang dimuatkan dalam 10 paket.
Pada Januari 2011, dia mengaku bersalah dan berhadapan dengan hukuman sehingga 10 tahun. Peguam Moreno menyatakan Moreno ada masalah hutang yang teruk.
Teman wanitanya pula baru keguguruan. Moreno juga mengakui dia telah melakukan perkara bodoh untuk cuba membayar hutang dan berjanji tidak akan mengulanginya.
Moreno hanya dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun 6 bulan. Ketika di penjara Moreno sangat disenangi oleh pegawai penjara.
Dia aktif mengetuai penganjuran pertandingan bola sepak. Dia bermain dan juga menjadi pengadil.
Moreno dilaporkan sangat rajin menawarkan khidmat cuci pakaian, menggosok baju (iron), membersihkan bilik tahanan lain.
Semuanya dilakukan Moreno untuk mendapatkan duit tambahan. Yang menjadi pengadil bola tu, tak tahulah.
Dia diberikan pengiktirafan sebagai banduan terbaik oleh warden. Ini yang telah menyokong pembebasan lebih awal seperti yang diminta oleh peguamnya.
Keluarga Moreno sangat memerlukan dia. Moreno dibebaskan hanya selepas 26 bulan di dalam penjara.
Di hadapan hakim, Moreno meminta maaf kepada semua orang dan berharap segala dosanya akan diampunkan oleh Tuhan.
Namun di Itali, Moreno tidak pernah mendapat kemaafaan di sana. Gigi Buffon, ketika ditanya wartawan tentang komen beliau ketika Moreno ditahan kerana heroin.
Buffon menjawab: “6 kilo dadah? Dia sudah membawanya pada 2002. Tapi bukan dalam seluar dalam, ianya dalam sistem pengadilan dia.”
Baru-baru ini Maldini yang dianggap pemain paling tenang dalam padang pun boleh naik angin dengan Moreno.
“Saya seorang yang tak suka marah-marah mempertikaikan keputussan pengadil. Namun pada hari itu agak mustahil untuk tidak marah dengan pengadil.”
🇮🇹⚽️ ¡Cómo olvidar que Gianluigi Buffon criticó duramente a Byron Moreno🇪🇨 cuando cayó preso! pic.twitter.com/n0Zh93Ahy7
— DIRECT FÚTBOL (@directfutbolec) June 19, 2020