Cal Kepada William Carvalho: ‘Sertai Benfica, Maka Kau Manusia Paling Keji Dan Jijik’

Bekas pegawai Sporting Lisbon, Miguel Cal telah membuka mulutnya tentang situasi William Carvalho yang dilaporkan sedang berunding dengan Benfica.

Menurut Miguel Cal, William Carvalho akan menjadi manusia paling keji dan jijik jika meneruskan rundingan itu dan memeterai kontrak dengan seteru utama mereka itu.

Perseteruan dalam bola sepak adalah perkara yang memiliki suhu panas berbeza. Ada perseteruan yang sangat tegang seperti Boca Juniors dan River Plate, Celtic dan Rangers, dan tak kurang juga Real Madrid – Barcelona dan Man United – Liverpool dan banyak lagi.

Namun tetap ada pemain yang ingkar dengan tradisi dan melukakan hati peminat dengan pergi menyertai seteru langsung kelab mereka. Misalnya Sol Campbell yang meninggalkan Spurs untuk ke Arsenal.  Ashley Cole ke Chelsea, Fabregas ke Chelsea, serta RvP ke Man United — juga bekas pemain Arsenal.

Michael Owen juga mencemar legasinya sendiri dengan menyertai Man United.

Tetapi Miguel Cal telah menggunakan terma insan paling jijik kepada William Carvalho jika pemain itu menyertai Benfica.

Sporting dan Porto merupakan dua kelab yang bermusuhan sejak sekian lama. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Sporting dilihat lebih meningkat naik.

William Carvalho kini beraksi untuk Real Betis. Namun pengurus Benfica, Jorge Jesus mendesak pengurusan tertinggi untuk mendapatkan Carvalho secepat mungkin, dalam usaha mereka mengejar Sporting dalam persaingan liga.

Lebih menyakitkan hati jika perkara itu berlaku, Jorge Jesus merupakan bekas pengurus Sporting Lisbon. Yang kembali semula ke Portugal dengan mengambil alih jawatan pengurus Benfica pada tahun lalu.

William Carvalho meninggalkan Sporting Lisbon pada 2018 menyertai Real Betis. Ia agak mengejutkan kerana selepas Euro 2018, nama William Carvalho dikaitkan dengan kelab seperti Arsenal.

Ketika di Betis, nama William Carvalho meningkat naik sekali lagi dan menarik minat kelab Portugal, Benfica. Adakah Carvalho akan menyertai Benfica dan melanggar tradisi?

Miguel Cal berkata: “Dia sebelum ini pernah berlatih di kompleks Sporting, dan kelab sentiasa membuka pintu untuknya datang pada bila bila masa. Pada 2018, ketika dia meninggalkan kelab dia memberitahu saya, dia sayangkan kelab ini.”

“Para penyokong Sporting tak pernah berniat mahu mencederakannya. Jadi Betis pada masa itu masih perlu membayar yuran perpindahan.”

“Dengan kesempatan pertama [kembali ke Portugal semula], sanggupkah kamu kembali ke sini dan menyertai Benfica? Ini adalah melibatkan seorang yang sayangkan Sporting dan sayangkan penyokong Sporting? Dengan banyak lagi kelab lain yang kamu boleh pilih untuk bermain,” kata Cal.

“Tak kiralah apa sahaja, ianya satu kekecewaan yang teramat sangat apabila mendengar opsyen yang dipilihnya.”

“Saya bercakap dengan dia sekali sebelum ini, dan dia sekali lagi memberikan kata kata indah kepada kelab kami. Jika kamu tiba tiba setuju ke Benfica, maka kamu adalah manusia paling jijik dan keji William oi.”

Buat masa ini masih belum ada pengumuman rasmi tentang perpindahan William Carvalho ke Benfica.

Kisah pemain menamatkan kontrak kerana Presiden Kelab yang celupar

Pada 2018, seramai 7 pemain Sporting Lisbon menamatkan kontrak mereka atas alasan keselamatan. Mereka menganggap kelab tidak menghormati kontrak para pemain.

Segalanya bermula selepas insiden serangan ultras di pusat latihan. Kira-kira 50 penyokong samseng ini telah menyerang pemain dan staf di pusat latihan.

Mereka menyebabkan banyak kerosakan pada fasiliti dan di bilik persalinan. 20 saspek ditahan oleh pihak polis selepas itu. Paling mengecewakan apabila salah seorang pemain terbaik mereka, Bas Dost cedera di kepala kerana serangan itu.

Konflik di Sporting Lisbon ini lebih kerana sikap penyokong dan Presiden kelab. Penyokong mereka memang mulut lancang dan kerap menggunakan media sosial menyerang pemain mereka sendiri.

Hal ini diburukkan lagi apabila pada April, Presiden kelab Bruno De Carvalho telah mengkritik pemain-pemain mereka di media sosial selepas kekalahan di tangan Atletico.

Para pemain kecewa dengan kenyataan dan kutukan oleh Carvalho dan membuat kenyataan mempertahankan diri. Mereka menyatakan mereka sentiasa komited 100% untuk pasukan.

Para pemain turut membidas Presiden kelab yang terlalu bermulut lancang, sepatutnya beliau menunjukkan sikap kempimpinan lebih baik. Tetapi presiden menuding kesalahan kepada pemain sepenuhnya.

Kenyataan Presiden kelab telah memarakkan lagi api kemarahan penyokong yang mengambil langkah menyerang pemain di pusat latihan. Para pemain kemudian menuduh Presiden kelab sebagai pro kepada penyokong ultras yang radikal ini. Hal ini dinafikan oleh beliau.

Inilah padahnya apabila api amarah membakar diri dan hilang pertimbangan.

Rui Patricio, William Carvalho, Gelson Martins, dan Bruno Fernandes memutuskan untuk menyertai Ruben Ribeiro, Bas Dost dan Daniel Podence, menamatkan kontrak mereka serta merta.

Sporting hilang pemain yang memiliki harga tinggi di pasaran. Mujur selepas itu mereka berjaya memujuk Bruno Fernandes untuk menandatangani semula kontrak dengan mereka.

Agak menarik kerana pemain seperti Rui Patricio dan juga Daniel Podence pada hari in menjadi bintang di EPL. Harga Podence jauh lebih tinggi daripada pasaran ketika itu kerana peningkatan prestasi.