Paris Saint-Germain (PSG) baru baru ini secara terang terangan menyatakan bahawa mereka mahu mengejar tandatangan Lionel Messi.
Kenyataan itu dianggap tidak sopan oleh calon Presiden El Barca, Joan Laporta. Dia malah mengancam akan melaporkan PSG kepada FIFA sekiranya dia dipilih secara rasmi sebagai Presiden Barcelona nanti.
Kelab Ligue 1 dikaitkan dengan keinginan untuk menandatangani Lionel Messi apabila kontraknya tamat pada bulan Jun 2021. Manchester City dan Inter Miami juga berminat untuk mendapatkan tandatangan pemain Argentina itu.
Walaubagaimanapun, pengarah sukan PSG Leonardo dengan beraninya memberi komen terbuka kepada umum mengenai keinginan kelab untuk mendapatkan Messi bagi memperkuatkan skuad bimbingan Mauricio Pochettino.
Walaupun Messi sudah bebas untuk berbincang dengan mana mana pasukan sebagai ejen bebas – kerana kontraknya kurang enam bulan – Laporta tetap menganggap PSG biadap.
Laporta menegaskan beliau akan cuba memastikan Barcelona berjaya menambat Messi untuk terus kekal di kelab selepas ini, jika beliau terpilih menjadi presiden.
Laporta berkata: “Barcelona mesti membuat proposal yang baik yang akan diterima Messi. Itu bergantung pada kelab. Kita akan menjadi semakin sukar jika masa terus berlalu.”
“Dia bebas untuk berunding dengan kelab lain sekarang dan Barcelona belum memiliki presiden. PSG tidak menghormati Barcelona kerana mereka secara terbuka mengatakan mereka akan menandatangani Lionel Messi,” tambah Laporta.
Laporta menambah, di Barcelona mereka tidak boleh membiarkan perkara seperti itu dibuat.
“Komen itu datang dari kelab dan ianya jelas melanggar peraturan. Kita tidak pernah membiarkan kelab kami dan memberikan kenyataan mengganggu kelab lain. Dalam kes ini, kita mesti berbincang dengan UEFA dan FIFA untuk mengelakkan tindakan tersebut,” tambah Laporta.
“Dalam bola sepak kita kena saling menghormati. Kami menghormati PSG. Dan kami menyeru agar mereka pun menghormati kami bukannya membuatkan kami tidak stabil.”
Agak ironi kerana sebelum ini Barcelona juga menggunakan pendekatan yang sama ketika cuba memancing Coutinho sehingga mereka mengeluarkan kenyataan meminta maaf secara rasmi.
Dalam pernyataannya, Leonardo mengatakan Lionel Messi dialu alukan datang ke Paris, kerana PSG berusaha meyakinkan pemain itu untuk pindah. Dia berharap perpindahan Messi ke PSG akan benar-benar berlaku.
Itu yang membuatkan Laporta benar benar bengang.
Barcelona Presidential Candidate Laporta Criticizes Leonardo Over Recent Comments Regarding Messi https://t.co/r9VbKESzIK
— PSG Talk 💬 (@PSGTalk) January 25, 2021
“PSG mesti menjauhkan diri (dari membicarakan tentang Messi). Ini bukan tempat untuk kelab lain untuk membicarakan Messi. Pada masa ini, tidak ada presiden di Barcelona yang dapat mengambil tindakan ke atas sikap tidak sopan ini [kerana masih tidak ada presiden],” tambah Laporta.
Peluang Lionel Messi untuk meninggalkan Barcelona cukup terbuka. Lebih-lebih lagi, ketika ini Barca masih menghadapi masalah kewangan yang serius, jadi sukar untuk menawarkan gaji yang tinggi kepada La Pulga.
Pada 2017, PSG berjaya mendapatkan Neymar dari Barcelona walaupun kelab itu cuba sedaya upaya mahu mengekalkan Neymar.