Cancelo Kutuk City Dan Guardiola Sebagai Tak Reti Berterima Kasih

Joao Cancelo terus terbuka menyatakan ketidakpuasan hatinya kepada Guardiola dan Manchester City. Dia mendakwa kelab itu tidak melayan dia dengan adil.

Cancelo menafikan dia seorang pemain yang bermasalah. Namun seringkali menjadi mangsa keadaan kerana Pep Guardiola menggunakan kuasanya sebagai pengurus.

Joao Cancelo sebelum ini dilaporkan tidak sehaluan dengan Guardiola kerana pemain itu dikatakan tidak menerima sistem penggiliran pemain yang dilakukan pengurus itu.

Guardiola meminta kesemua pemain menghormati polisinya yang suka melakukan penggiliran pada skuad.

Tetapi Cancelo merasakan dia tidak boleh menerima apabila dia disisihkan  di bangku simpanan lebih lebih lagi dalam perlawanan besar seperti ketika menentang Arsenal.

Cancelo dikatakan bertelagah dengan Pep Guardiola di pusat latihan dan mengancam untuk meninggalkan kelab itu.

Cancelo juga dilihat tidak mahu memanaskan badannya ketika pemain simpanan lain memanaskan badan ketika aksi menentang Wolves.

Semua itu menjadi antara sebab kenapa Guardiola mulai hilang sabar dan melepaskan pemain itu.

Dia kemudian dipinjamkan ke Bayern Munich. Di sana dia gagal mendapatkan kontrak tetap. Cancelo pergi ke satu lagi musim pinjaman di Barcelona.

Kini pemain itu benar benar berharap dia akan terus kekal di Barca kerana dia sudah tidak ada hati lagi untuk kembali ke Man City.

Bercakap kepada A Bola, Cancelo berkata: “Saya mahu terus kekal di Barcelona untuk musim hadapan dan bertarung untuk merebut kejuaraan liga. Hasrat saya sudah jelas.

Bercakap tentang laporan menuduh dia seorang pemain bermasalah dan toksik, pemain itu berkata: “Ada berita tidak benar ditulis tentang saya ketika saya di Manchester City. Saya tidak pernah menjadi rakan sepasukan yang teruk.

“Saya ingat lagi, ada sekali tu, saya dirompak dan diserang di rumah saya sendiri. Dan hari keesokannya saya bermain di Emirates menentang Arsenal. Perkara perkara seperti ini kamu tak akan lupa. Saya tinggalkan isteri dan anak saya bersendirian di rumah, mereka dalam keadaan terkejut selepas kejadian itu. Semuanya saya lakukan demi untuk bermain untuk Manchester City.

“Di Manchester City, mereka agak tidak berterima kasih untuk bercakap perkara seperti ini tentang saya. Kerana saya telah menjadi pemain penting mereka.”

Cancelo pernah dituduh dia terperasan dirinya terlalu bagus berbanding rakan sepasukan yang lain, membuatkan dia tidak boleh menerima apabila diarahkan duduk di bangku simpanan dengan rakannya yang lain bermain di kesebelasan utama.

Cancelo menambah: :”Saya tidak pernah merasa diri lebih bagus daripada mana mana rakan sepasukan saya. Itu cuma pandangan seorang pengurus.

“Mereka ingat ni sebab Guardiola ada  kuasa yang lebih berbanding saya apabila berkata sesuatu.

“Saya memilih untuk memberitahu kebenaran. Saya tidak pernah berbohong.”

Kenyataan Cancelo ini benar benar mengejutkan kerana dia masih lagi pemain Manchester City. Ianya isyarat jelas bahawa dia sudah tidak mahu lagi bermain untuk City dan Guardiola.

Kontrak semasa pemain itu masih panjang iaitu sehingga 2027. Agak menarik untuk melihat respon Pep Guardiola selepas ini.

Cancelo masih perlu kembali ke Man City selepas ini dan menunggu sama ada Barcelona benar benar boleh mendapatkannya secara tetap.

Berdasarkan situasi kewangan Barca, amat sukar untuk melihat Barca mendapatkan pemain itu. Kecuali Man City rela melepaskannya dengan pakej rahmah dan dia menerima pengurangan gaji.

Baca yang lain