Cancelo Terkejut Diberitahu Wartawan Nagelsmann Bukan Lagi Pengurus Bayern Tetapi Tuchel

Joao Cancelo nampaknya benar benar terkejut ketika wartawan menyatakan kepadanya bahawa pengurus Bayern, Julian Nagelsmann sebenarnya sudah dipecat.

Bayern Munich membuat kejutan apabila dilaporkan memecat Julian Nagelsmann atas alasan pengurus itu bertanggungjawab sepenuhnya di atas keciciran 10 mata Bayern musim ini. Membuatkan mereka dipintas Borussia Dortmund dalam carta liga.

Fabrizio Romano melaporkan bahawa pengurusan tertinggi Bayern akan mengumumkan pada hari ini tentang pemecatan Nagelsmann.

Dan kelab itu sedia melantik bekas pengendali Chelsea, Thomas Tuchel sebagai pengurus baharu kelab itu.

Nagelsmann sendiri tidak dimaklumkan secara peribadi sebelum ini. Sebaliknya dia cuma mendapat tahu perkara itu menerusi laporan di media.

BILD melaporkan bahawa Nagelsmann tidak akan mengendalikan latihan pasukan lagi.

Sky Jerman pula melaporkan bahawa Thomas Tuchel sudah tinggal di Munich sejak minggu lalu. Kelab itu sudah memulakan langkah untuk memancing bekas pengendali PSG itu kerana tak berpuas hati dengan prestasi Julian Nagelsmann.

Pemain bek sisi yang dibawa masuk Nagelsmann pada pertengahan musim ini secara pinjaman dari Man City, Joao Cancelo terkejut dengan berita itu.

Dia mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Nagelsmann.

Dan pada masa yang sama berharap agar magis Tuchel akan membantunya mendakap UCL bersama Bayern Munich musim ini.

Cancelo berkata: “Apa dia? Saya baru tahu berita itu sekarang ini. Saya baru tahu saya tak akan jumpa Nagelsmann lagi ketika saya kembali ke Munich selepas ini. Dia yang mahukan saya datang ke Bayern. Dan saya berterima kasih kepadanya.”

“Untuk Tuchel, dia menyebabkan saya kalah perlawanan akhir UCL, jadi saya harap dia akan membantu saya memenanginya musim ini.”

Cancelo merupakan pemain yang telah mencari minit permainan di Bayern selepas dia kecewa gagal bermain setiap minggu di Man City.

Namun terdapat juga laporan sebelum ini menyatakan bahawa Nagelsmann kurang berpuas hati dengan prestasinya dan meletakkannya di bangku simpanan. Membuatkan pemain itu agak kecewa.

Bayern malah dikatakan tidak akan menandatangani pemain itu secara tetap berdasarkan prestasi semasanya.

Namun situasi tersebut mungkin akan berubah dengan kehadiran Thomas Tuchel. Siapa tahu kan?

Baca yang lain