Carrasco: ‘Pemain Belgium Kecewa Dengan Courtois’

Sebelum ini Thibaut Courtois mengecam pengurus pasukan kebangsaannya kerana bercakap secara terbuka tentang perbualan mereka di bilik persalinan.

Jurulatih Belgium, Domenico Tedesco dengan terbuka menyatakan bahawa dia merayu kepada Courtois untuk beraksi menentang Estonia. Namun pemain itu merajuk dan balik terus ke rumahnya di Madrid kerana kecewa tak dapat menjadi kapten.

Tedesco buat masa ini masih menggilirkan kaptennya. Di mana Lukaku telah menjadi kapten ketika menentang Austria. Tedesco berjanji akan memberikan lilitan kapten kepada Courtois pada aksi menentang Estonia.

Courtois tidak dapat menerimanya. Dan dia terus pulang. Tedesco menafikan Courtois pulang awal kerana cedera. Courtois bertindak balas membidas jurulatih itu dan menyatakan bahawa dia balik kerana ada sakit di kakinya.

“Kami bersama-sama memutuskan bahawa Romelu akan menjadi kapten menentang Austria dan Thibaut esok menentang Estonia,” kata ketua jurulatih Belgium Domenico Tedesco.

“Ianya OK untuk semua orang tetapi selepas perlawanan dia [Courtois] tiba-tiba mahu bercakap dengan saya dan berkata dia akan pulang kerana dia kecewa dan berasa tersinggung.”

“Dan sudah tentu, saya cuba beberapa kali untuk bercakap dengannya: ‘Jangan buat begitu, pada saya, jangan buat begitu kepada kakitangan pasukan, jangan buat begitu kepada pasukan.’ Kerana ia sukar, ia adalah sesuatu yang sukar. keputusan berat yang diambilnya.”

“Sejak awal saya cuba tunjukkan penghargaan yang sepatutnya. Pada pandangan saya dia adalah penjaga gol terbaik di dunia. Saya suka dia sebagai penjaga gol tetapi juga sebagai seorang manusia. Saya terperanjat.”

Bapa Courtois, Thierry telah memberitahu media di Belgium bahawa anaknya telah menarik diri daripada skuad kerana kecederaan. Bagaimanapun, Tedesco menolak dakwaan tersebut.

“Saya harap saya boleh katakan ia kecederaan tetapi saya tidak boleh berbohong. Saya sentiasa cuba melindungi pemain tetapi itu mustahil dalam situasi ini. Saya cuba beritahu dia untuk bertahan selama dua hari lagi.”

Respon Courtois

Courtois kemudian membalas komen Tedesco dalam satu kenyataan yang tegas dan panjang lebar di laman web peribadinya.

“Petang ini saya terkejut mendengar sidang akhbar jurulatih di mana dia memberikan sebahagian dan subjektif kerahsiaan perbualan peribadi kami selepas perlawanan menentang Austria,” tulis Courtois.

“Saya ingin menjelaskan bahawa ini bukan kali pertama atau kali terakhir saya bercakap dengan jurulatih mengenai isu berkaitan bilik persalinan, tetapi ia adalah kali pertama seseorang memutuskan untuk memberitahu perkara ini secara terbuka.”

“Saya amat kecewa dengan perkara ini, tetapi saya ingin menjelaskan bahawa penilaian jurulatih tidak sepadan dengan realiti sebenar.”

“Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah menuntut apa-apa dan saya telah bercakap dengan rakan sepasukan saya Romelu Lukaku untuk menjelaskan sebarang keadaan yang berkaitan dengan situasi ini.”

“Ia bukan masa yang sesuai untuk menyatakan apa-apa mengenai perkara itu, kerana kami mempunyai perlawanan penting esok,” katanya.

“Perlawanan seterusnya adalah pada bulan September dan kita akan lihat kemudian.”

“Lagipun, pada petang semalam saya sudah membuat pemeriksaan medikal untuk lutut kanan saya yang ada masalah. Pasukan perubatan kelab saya sentiasa berhubung dengan staf perubatan pasukan kebangsaan dalam keputusan untuk meninggalkan kem pasukan kebangsaan.”

Tunangnya kemudian memuat naik gambar lutut Courtois berbalut.

Pemain Belgium di belakang pengurus dan kecam Courtois

Seorang lagi pemain senior Belgium, Yannick Carrasco telah mengecam rakan sepasukan antarabangsanya Thibaut Courtois selepas laporan pada hari Isnin mengatakan dia telah keluar dari kem antarabangsa Belgium di tengah-tengah perbalahan mengenai lilitan kapten.

Carrasco turut mendedahkan kesemua pemain Belgium yang lain sangat kecewa dengan tindakan Courtois itu.

Carrasco menyatakan beberapa pemain lama dalam kem Belgium ketika ini masih tidak bercakap dengan Courtois kerana sangat kecewa dan terkejut dengan tindakannya.

“Kami lebih memahami apa yang berlaku,” kata pemain tengah itu memberitahu RTBF.

“Kami mengadakan pertemuan dengan jurulatih, yang jelas memberitahu perkara tersebut kepada kami.”

“Kami, pemain yang lebih senior, belum mempunyai peluang untuk bercakap dengan Thibaut. Tetapi kami kecewa dengan reaksinya.”

“Namun akhirnya nanti, dia adalah ahli penting pasukan, dia tetap salah seorang daripada tiga kapten dalam pasukan ini. Armband itu hanyalah untuk ketetapan.”

“Anda perlu menunjukkan bahawa anda seorang pemimpin dan kapten dengan keperibadian anda sendiri. Dia memilih untuk pergi. Sama ada dia malu atau tidak, kita tidak tahu.”

‘Tetapi salah satu sebab dia pergi juga adalah kerana lilitan kapten. Sekarang sudah jelas.”

Ia bukan kali pertama skuad Belgium berpecah. Sebelum ini mereka terbang pulang secara berasingan daripada Piala Dunia 2022, selepas De Bruyne dan Jan Vertonghen bertelagah berhubung dengan komen bintang Man City itu bahawa skuad itu ‘terlalu tua’.

Vetonghen kecewa De Bruyne menganggap pemain pemain pertahanan mereka sudah terlalu perlahan untuk berkejaran dalam padang. Kemudian dia menyindir De Bruyne dengan kenyataan: “Mungkin juga kami teruk dalam serangan sebab kami dah terlalu tuan bukan?”