Catch Me If You Can: Kisah Pemalsu Cek & Identiti Legenda Yang Lari Ke Sana Ke Sini

Filem Catch Me If You Can merupakan filem arahan Steven Spielberg yang ditayangkan pada 2002. Filem ini juga filem berbentuk dokumentari dan autobiografi tentang Frank Abagnale Jr (Leonardo Di Caprio) yang menjadi penipu / conman paling agung.

Filem ini berdasarkan kisah benar yang berlaku sekitar 1960-an. Di mana genrenya adalah drama, jenayah dan komedi.

Frank Abagnale Jr merupakan seorang lelaki yang pakar dalam pemalsuan dokumen untuk membolehkannya menjadi apa sahaja yang dia suka termasuk menjadi juruterbang dan doktor.

Filem ini bergerak dengan plot mengundur ataupun imbas kembali. Di mana seorang lelaki yang di dalam tahanan FBI menceritakan detik bagaimana dia boleh berada di sana.

Frank Abagnale dijemput oleh Carl Hanratty – ejen FBI – lakonan Tom Hanks. Namun Frank cuba melarikan diri, cuma dia tak berdaya kerana lemah.

Frank Abagnale disabitkan dengan kesalahan yang melibatkan penipuan bernilai jutaan dollar AS. Dia bukan sahaja pakar dalam memalsukan cek. Malah pakar dalam memalsukan identiti.

Cerita mulai bermula dengan kisah Frank Abagnale yang merupakan seorang pelajar pintar. Ayahnya memiliki perusahaan yang berjaya, isteri yang lawa dan anak yang bijak.  Frank Abagnale Jr banyak belajar tentang pemalsuan dokumen daripada ayahnya yang kerap bermain memanipulasi cek dan surat pajakan.

SPOILER ALERT KEPADA YANG BELUM MENONTON!

Belajar dari rumah

Dia mula mengasah bakatnya dalam dunia penipuan identiti ketika di sekolah menengah. Di mana dia berjaya memperdaya rakan sebaya di sekolah barunya bahawa dia adalah guru pengganti yang mengajar bahasa Perancis.

Ayahnya tidak menegur malah tergelak ketawa mengetahui kelakuan anaknya.

Ibunya kemudian curang dan berskandal dengan kawan ayahnya. Frank orang yang pertama tahu perkara itu namun tak memberitahu ayahnya kerana tahu kesannya, pasti ibu bapanya akan bercerai.

Tetapi, ibu dan ayahnya tetap bercerai. Dan dia diminta untuk memilih sama ada mahu tinggal bersama ayahnya ataupun ibunya. Frank memutuskan untuk melarikan diri.

Hidup dengan cek

Frank hidup dengan cek cek yang diberikan ayahnya. Akhirnya cek itu habis dan dia dihalau daripada rumah sewa. Dia mulai tersepit dan memalsukan cek. Dia berjaya memalsukan cek itu berdasarkan ilmu yang dia ‘pelajari’ dengan pemerhatian ke atas ayahnya dahulu.

Frank kemudian menyamar menjadi copilot di sebuah syarikat penerbangan ternama di AS, Pan America. Menerusi institusi tersebut, Frank dapat memalsukan cek sehingga $USD 2.8 juta. Lebih mudah, wanita di sebuah kaunter (lakonan Elizabeth Bank) terpikat dengannya.

Leonardo DiCaprio as Frank Abagnale and Elizabeth Banks as bank teller in the Steven Spielberg movie “Catch Me If You Can”

Hal ini dapat dihidu oleh FBI. Carl Hanratty sebenarnya sudah bersemuka dengan sasarannya. Namun dia ditipu Frank yang menyamar menjadi perisik bernama Barry Allen dari Secret Service.

Lalu Frank menyatakan bahawa orang yang dikehendaki Carl sudah melarikan diri. Beberapa minggu selepas itu barulah  Carl sedar bahawa Barry Allen adalah nama watak dalam komik Flash.

Lama kelamaan kerjanya menjadi semakin halus dengan adanya mesin khas. Frank kemudian mendapat tahu bahawa sasarannya bukanlah lelaki dewasa. Namun seorang pemuda 20-an.

Setelah bosan menjadi pilot, Frank kembali bertukar profesion menjadi seorang doktor bernama Frank Conners. Dan dia mendampingi Brenda Strong lakonan Amy Adams dan mahu menikahinya.

Frank menipu keluarga Brenda bahawa dia pun penganut Lutherian dan lulusan Havard. Banggalah ayah dan ibu Brenda. Ketika majlis pertunangan, Carl telah memburu Frank. Dan sekali lagi dia melarikan diri.

Brenda pula mulai bekerjasama dengan FBI dan itulah yang membuatkan hubungan Frank dengan gadis itu berakhir. FBI mengepung seluruh bandar kerana mahu mencari Frank. Dan Carl terus dimalukan oleh Frank.

Selepas mengejar ke sana ke sini sampai ke Perancis, akhirnya Carl berjaya menangkap Frank. Mereka membuat perjanjian agar Frank membantu Carl dalam mempelajari tentang cek palsu terutama sekali yang dihasilkan oleh Frank.

Apa yang Carl tahu, Frank memang pakar melarikan diri dan dia berbohong untuk kelangsungan hidup dan mahu membuatkan ayah dan ibunya bangga.

Salah satu ayat Frank dalam filem ini: “Keep pushing that lie, keep pushing till you make it true” – teruskan pembohongan itu, teruskannya sehingga kamu menjadikan ia satu kebenaran.”

Frank diekstradisi ke AS dan dalam perjalanan dia mendapat tahu bahawa ayahnya sudah meninggal dunia. Dia marah dengan Carl yang menipunya. Frank sekali lagi melarikan diri dari Carl dan pergi ke rumah ibunya.

Segalanya berakhir

Malangnya, dia merasakan segalanya dah berakhir. Ibunya sudah bahagia dengan suami baharunya yang merupakan skandal dia dulu. Mereka ada seorang anak. Dan dia berkata: “Ianya dah berakhir.”

Ketika itu Carl menangkap Frank sekali lagi.

Carl seringkali memandang rendah kepada Frank dengan berkata “You just a kid”.

“I am not your kid,” balas Frank.

Satu babak yang menarik apabila Carl menyedarkan Frank bahawa sebenarnya dia bukan melarikan diri daripada FBI tetapi dia lebih banyak melarikan diri daripada dirinya sendiri.

Akhirnya mereka bekerjasama dan menyelesaikan banyak kes cek palsu. Frank menjadi pakar dalam mencipta cek anti pemalsuan dan bekerja di sebuah firma dengan gaji mencecah jutaan dollar setahun.

Frank dan Carl bersahabat baik selepas itu.

Filem ini memaparkan kisah seorang pemuda yang sangat tenang dalam berhadapan dengan tekanan. Sentiasa relaks walaupun kita yang menontonnya cemas.

Walaupun filem ini banyak benda yang kita tak patut ikut, tetapi tetap banyak inspirasi di dalamnya. Kisah seorang manusia yang menjadikan segalanya di dunia ini menjadi sangat mudah dan terus hidup.

Daripada mencipta cek dengan stiker mainan kapal terbang sehinggalah dia membeli mesin khas. Dia sentiasa bergerak selangkah di hadapan musuhnya.

Seterusnya, jangan sesekali memandang rendah dengan lawan kita.