Cathy Freeman: Kisah Kegigihan Orang Asli Australia Sehingga Menang Emas Olimpik

Cathy Freeman merupakan bekas perlari Australia. Beliau signifikan dengan acara sederhana jauh iaitu 400 meter dan 200 meter. Beliau juga beberapa kali menyertai acara 100 meter sebagai sebahagian kuartet acara 4 x 100 meter.

Jika anda mencari kisah seorang atlet yang sarat dengan kegigihan melawan cabaran dan bangkit daripada beberapa kegagalan, maka kisah Cathy Freeman antara naskah untuk anda.

Nama beliau mashyur ketika sukan olimpik diadakan di bumi kelahirannya, Australia pada tahun 2000. Lebih indah lagi, Freeman adalah atlet berketurunan orang asli Australia yang sebelum ini terasing daripada pandangan dunia.

Kejayaan di pentas dunia dan Olimpik telah menjulang nama Cathy Freeman sebagai atlet berbangsa Australia asli yang pertama memenangi emas di arena antarabangsa, dan yang paling berjaya setakat ini.

Awal Penglibatan

Cathy Freeman lahir pada 16 Februari 1973 di Queensland, Australia hasil perkahwinan Norman Freeman dan Cecelia. Cathy sangat rapat dengan semua adik beradiknya.

Ayah dan ibunya bercerai ketika Cathy berusia 8 tahun. Tahun yang sama Cathy memenangi pingat emas pertama dalam acara sukan antara sekolah.

Keupayaan luar biasa Cathy Freeman telah membuatkan beliau berjaya mendapat biasiswa daripada koleh Farholme. Pada usia mudanya, beliau berhadapan dengan isu perkauman yang teruk.

Cathy seorang yang kental. Beliau sentiasa membiarkan pencapaian luar biasa beliau di trek bercakap untuk beliau.

Karier awal

Selepas beberapa kali memenangi kejohanan remaja di Australia, Cathy akhirnya ditawarkan masuk ke Sekolah Antarabangsa Korablyn. Sekolah elit yang menempatkan ramai atlet muda berbakat.

Di sana, pembangunan bakat atletik Cathy di bawah kendalian jurulatih olahraga ternama Mike Danila. Sebelum itu, Cathy berlatih secara peribadi dengan ayah tirinya, Bruce Barber.

Karier beliau meningkat mendadak dan dipilih mewakili Australia dalam acara balapan di sukan Komanwel, Auckland 1990.

Beliau memenangi emas dalam acara 4 x 100 meter ketika itu. Itulah kali pertama orang asli Australia memenangi emas di peringkat antarabangsa.

Ke Melebourne

Pada 1990, Cathy lebih serius dalam membangunkan dirinya dan berpindah ke Melbourne untuk menyertai latihan lebih intensif.

Beliau diperkenalkan kepada jurulatih baru beliau Peter Fortune. Jurulatih yang akan mengubah hidup beliau selepas ini. Fortune telah menjadi jurulatih Cathy untuk sepanjang baki karier beliau.

Pada 1990, Cathy terpilih mewakili Australia untuk kejohanan junior dunia di Plodiv, Bulgaria. Cathy mara ke separuh akhir 100 meter dan menamatkan tempat ke-5 dalam acara 400 meter.

Cathy kemudiannya menyertai acara yang sama di Seoul pada 1992. Beliau menyertai acara 200 meter dan memenangi emas dalam acara tersebut.

Debut Olimpik tersekat di pusingan kedua

Tahun yang sama, Cathy menyertai Olimpik pertama beliau. Namun hanya mara hingga ke pusingan ke-2.

Terlalu banyak perkara yang harus diperbaiki Cathy Freeman dari segi lariannya serta disiplin latihan. Beliau menjadikan kekalahan itu sebagai motivasi untuk berjaya.

Tahun 1994, adalah tahun yang cemerlang dan telah membuka mata dunia kepada bakat muda ini. Cathy menang emas dalam acara 200 meter dan 400 meter, Sukan Komanwel Kanada 1994.

Cathy juga membantu Australia menang perak dalam 4 x 100 meter dalam temasya yang sama. Ia telah meningkatkan keyakinan Cathy.

Menang perak

Pada temasya Olimik 1996, Cathy telah memberikan saingan sengit kepada atlet pilihan Marie-Jose Perec dalam acara 400 meter.

Cathy mengekori rapat Perec dan menang perak dengan mencipta rekod baru Australia dengan catatan 48.63 saat.

Cathy terus meningkatkan kemampuan beliau. Hasilnya, pada Kejohanan Dunia di Athens, 1997 Cathy menang emas 400 meter. Itulah kejuaraan dunia pertama beliau di dalam sejarah! Cathy adalalah Juara Dunia!

Kecederaan

Sayangnya, selepas itu Cathy berehat panjang untuk musim 1998 kerana kecederaan. Ianya berlaku ketika Cathy sedang menikmati peak beliau.

Dan Cathy hanya kembali semula ke trek pada tahun 1999.

Tahun 1999 menjadi tahun penting untuk Cathy mempersiapkan diri untuk Olimpik 2000 di bumi kelahirannya.

Cathy telah menjadi atlet ikonik di Australia. Beliau telah menjadi kesayangan peminat sukan di negara tersebut. Dalam temasya Olimpik Sydney 2000, nama Cathy Freeman dicanang sebagai potensi besar memenangi emas dalam 400 meter.

Sebelum ke Sukan Olimpik Sydney, Cathy berjaya memenangi kejohanan dunia acara 400 meter pada 1999. Ini yang menjadikan beliau antara peserta pilihan.

Nama Cathy menjadi antara atlet berpengaruh di dunia ketika itu.

Emas 400 meter Sydney

Hari yang ditunggu pun tiba. Cathy Freeman sebelum itu diberikan penghargaan untuk menyalakan obor kejohanan Olimpik. Sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran beliau ketika kecil dahulu.

Cathy berbangga menjadi orang asli Australia yang berdiri megah membawa obor dan menyalakannya. Negara Australia telah menjadi terlalu sinonim dengan ‘orang putih’ yang asal mereka satu ketika dahulu dari Britain.

Cathy mara ke final acara 400 meter dan bertemu semula dengan seteru beliau di trek 400 meter iaitu Marie-Jose Perec.

Cathy berjaya memenangi emas olimpik untuk negaranya. Menjadikan beliau orang asli Australia pertama menang emas dalam sukan Olimpik.

Ramai yang terharu dengan pencapaian wanita ‘besi’ ini. Kisahnya dari kecil yang ditekan dengan masalah perkauman telah berubah kepada kisah seorang atlet yang menyatukan seluruh Australia untuk membanggakan pencapaian beliau.

Cathy seorang yang gigih. Dari muda lagi beliau komited dengan latihan dan seorang yang sangat berdisplin. Penglibatan beliau dalam dunia olahraga genap sedekad diakhiri dengan emas di temasya sukan tertinggi di dunia.

Sukan Olimpik 2000 adalah sukan terakhir di mana beliau boleh bersaing dengan ‘peak’ beliau. Dan Cathy Freeman melakukannya dengan sangat baik. Cathy juga mara ke final acara 200 meter namun gagal memenangi podium.

Karier beliau kemudian semakin menurun kerana faktor usia dan beliau bersara dengan bangga pada 2003 selepas mewakili Australia dalam beberapa kejohanan.

Ini termasuk acara 4 x 400 meter di Sukan Komanwel Manchester 2002. Beliau dan rakan-rakannya menang emas.

Cathy Freeman menjadi atlet yang memiliki nilai komersil yang sangat tinggi dengan tajaan ekslusif daripada Nike.

Daripada seorang kanak-kanak yang tidak mampu memiliki kasut larian (running shoe) dan kasut spike sendiri, Cathy dilaporkan memiliki aset kekakayaan bernilai $4 juta pada 2017.

Baca yang lain

Xavi Nekad Tinggalkan Barca

Xavi Hernandez menyatakan bahawa dia sudah nekad mahu meninggalkan Barcelona pada akhir musim ini. Xavi beberapa bulan lalu mengesahkan dia sudah mencapai