CEO Liga Perdana Inggeris, Richard Masters memberitahu bahawa Chelsea akan mengetahui nasib mereka tidak lama lagi kerana siasatan ke atas kelab itu sudah berada di fasa akhir serta hampir selesai.
Richard Masters telah mengemas kini maklumat terkini kepada peminat mengenai penyiasatan oleh Liga Perdana terhadap Chelsea di atas potensi pelanggaran kewangan ketika era Roman Abramovich menjadi pemilik kelab itu.
Oligarki Rusia-Israel, Abramovich, 57, memiliki The Blues antara 2003 dan 2022, sehinggalah dia hilang kelayakan sebagai pengarah kelab itu selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Apabila konsortium pimpinan Todd Boehly membeli Chelsea pada Mei 2022, mereka melaporkan sendiri kes sejarah maklumat kewangan yang tidak lengkap semasa memegang jawatan Abramovich.
The Guardian dan Biro Kewartawanan Penyiasatan kemudian melaporkan bahawa dokumen yang bocor menunjukkan bagaimana Abramovich didakwa menggunakan syarikat luar negara untuk membuat transaksi kepada ejen dan sekutnya, yang nampaknya menguntungkan Chelsea.
Bayaran yang didakwa ini dikatakan bernilai berpuluh juta pound dan ianya melanggar peraturan kewangan jika tidak diisytiharkan secara rasmi.
Premier League bertindak di atas laporan Todd Boehly
Pemilik baharu Chelsea melaporkan diri mereka kepada UEFA dan Liga Perdana apabila mereka mendapati pembayaran ini mencurigakan, dan pada Julai 2023, UEFA mendenda The Blues €10 juta (£8.6 juta) kerana ‘menyerahkan maklumat kewangan yang tidak lengkap’ antara 2012 dan 2019.
Pemilik baharu di Stamford Bridge, Todd Boehly telah menyerahkan sendiri dokumen itu selepas menyatakan kebimbangan mengenai beberapa transaksi terdahulu daripada pengurusa lama yang mereka temui semasa proses pengambilalihan.
Kebimbangan mereka adalah mengenai beberapa pembayaran kepada entiti yang berbeza yang berkaitan dengan pemindahan wang dan yang tidak termasuk dalam laporan tahunan Chelsea di bawah peraturan kewangan.
Siasatan tersebut mengkaji potensi hubungan antara entiti luar pesisir dan mereka yang terlibat dalam perpindahan.
Mail Sport melaporkan pada 2023 bagaimana pembayaran yang dibuat oleh Chelsea kepada bapa kepada pertahanan Denmark, Andreas Christensen, yang ditandatangani dari Brondby pada 2012, dijangka menjadi sebahagian daripada siasatan tersebut.
Kes tersebut didedahkan kepada umum oleh akhbar Denmark Politiken pada 2018, yang memetik dokumen ‘Football Leaks’ – mendakwa kelab itu menyogok Sten Christensen sebagai pemantau kepada perkembangan anaknya itu yang membantu untuk memudahkan perpindahan ke Chelsea.
Seterusnya Chelsea telah membayarnya lebih. daripada £650,000 dalam tempoh empat tahun ketika Sten masih menjadi jurulatih penjaga gol di Brondby.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sekatan daripada Liga Perdana Inggeris ke atas Chelsea. Bercakap kepada BBC, Rihard Masters memberikan maklumat terkini mengenai siasatan itu apabila disoal talkSPORT menjelang musim Liga Perdana Inggeris yang akan bermula.
“Apa yang kita bincangkan adalah sesuatu yang bersejarah. Ia adalah rumit di mana kelab ada bercakap dengan kami tentang perkara yang telah berlaku di bawah pemilikan sebelumnya.
“Apa yang boleh saya katakan ialah siasatan sedang mencapai kesimpulan. Tetapi sehingga ia berbuat demikian, saya tidak boleh mengatakan apa yang akan berlaku seterusnya.
Imbas kembali pada 2023 selepas laporan Guardian dan Biro Kewartawanan Penyiasatan mendakwa, jurucakap Chelsea berkata: “Dakwaan ini adalah melibatkan kes sebelum pemilikan semasa kelab. Ia berdasarkan dokumen yang kelab tidak ditunjukkan dan tidak berkaitan dengan mana-mana individu yang berada di kelab itu.
“Semasa pembelian kelab, pemilik [Todd Boehly] semasa menyedari kemungkinan laporan kewangan yang tidak lengkap mengenai sejarah transaksi ketika pemilikan kelab sebelum ini. Sejurus selepas pembelian selesai, kelab secara proaktif melaporkan sendiri perkara ini kepada semua pengawal selia bola sepak yang berkenaan.
“‘Selaras dengan prinsip teras kumpulan pemilikan kelab iaitu mengamalkan pematuhan dan ketelusan sepenuhnya, lantas kelab telah secara proaktif membantu pengawal selia yang berkenaan dengan penyiasatan mereka dan akan terus berbuat demikian.
Bagaimanapun, komen Richard Masters yang terbaru ini membuatkan penyokong Chelsea bimbang kerana ramai merasakan kesimpulan siasatan yang akan berlaku menjelaskan mengapa The Blues begitu aktif dalam jendela perpindahan baru-baru ini.
Mereka sudah menjangkakan bahawa kelab itu sekurang kurangnya akan dikenakan larangan perpindahan selepas ini. Sambil yang lain menyatakan bahawa Premier League tak akan memberikan simpati kepada Chelsea terutama sekali kes yang melibatkan pemilik dari Rusia, Roman Abramovich yang dianggap musuh kerajaan UK.
Masters kemudian mengesahkan bahawa siasatan ke atas City juga hampir selesai. Namun pendakwaan ke atas kelab itu hanya boleh dibuat paling awal pada awal tahun 2025. Hal ini kerana, kes itu masih perlu didengarkan di mahkamah, dan proses pendengaran itu dijangka pada pertengahan September ini.