CEO Kedah Nasihatkan Alistair Edwards Semak Semua Fail Sebelum Tuduh Sanusi Cakap Tak Berasas

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman, Zulkifli Che Harom meminta Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menyemak beberapa fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

Semalam Alistair Edwards menafikan bahawa JDT berhutang dengan KFA untuk yuran perpindahan Akhyar Rashid seperti yang didakwa presiden KFA.

Zulkifli berkata:

“Saya ambil maklum berkenaan satu hantaran media sosial JDT, JOHOR Southern Tigers yang dikeluarkan oleh Alistair Edwards, Pengarah Teknikal Johor Darul Ta’zim FC bertarikh 19 November 2021.”

“Untuk makluman Alistair, beberapa isu perlu dipertimbangkan melalui kesemua kronologi berkaitan kes berkenaan seperti berikut:

i. Kes KFA dan Akhyar di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC);
ii. Kes KFA dan JDT di Jawatankuasa Rayuan FAM.

Walaupun pertikaian di antara KFA dan Akhyar berhubung dengan kontrak pemain telah diputuskan dan selesai antara kedua-dua pihak, KFA masih lagi berhak untuk menuntut pampasan bagi kos latihan dan pembangunan Akhyar dari JDT melalui Jawatankuasa Rayuan FAM.

Kenyataan Alistair berkenaan KFA tidak perlu yuran pembangunan dan tiada tuntutan dari KFA, perkara ini adalah tidak benar sama sekali memandangkan berlakunya proses perbincangan dan KFA masih menunggu satu tawaran pampasan daripada JDT bersesuaian yang akan dipersetujui oleh kedua-kedua pihak.

Setiap tindakan yang diambil oleh KFA berhubung perkara ini adalah berdasarkan kepada nasihat guaman. KFA akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut dari masa ke semasa.

Saya menasihati Alistair supaya menyemak semula segala fail serta memahami setiap keputusan berkaitan dengan kes tersebut sebelum mengeluarkan kenyataan menuduh Presiden KFA membuat tuduhan tidak berasas terhadap JDT.”

JDT Nafi Hutang Kedah Yuran Pembangunan Akhyar Rashid, Tetapi KFA Yang Pulangkan Cek RM100 Ribu

JDT menyatakan bahawa mereka terkejut dengan dakwaan tidak berasas daripada Presiden Kedah FA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan yuran perpindahan Akhyar Rashid.

Sanusi sebelum ini mendakwa bahawa JDT masih belum membayar sepenuhnya yuran perpindahan Akhyar Rashid.

Selin itu Sanusi turut menuduh JDT telah memeram Akhyar Rashid di bangku simpanan sehingga dia jadi pengkaq [main buruk]. Walaupun Sanusi tidak menamakan secara terus pemain tersebut.

Sebelum perlawanan suku akhir Piala Malaysia semalam, Sanusi berkata: “Tentunya sebagai presiden Kedah FA saya berharap KDA FC akan menang. Walaupun seri satu sama atau dua sama, kita menang la. Sebab gol tempat lawan itu dikira double – yang dalam 90 minit yang pertama tu.”

“Saya harap dengan semangat jitu dan semangat kental, dengan azam yang tinggi di kalangan pemain pemain, pegawai pegawai, jurulatih pasukan Kedah. Kedah akan dapat menewaskan JDT di kampung halaman mereka sendiri.”

“Berjaya menyekat kemenangan JDT di Kedah sebelum ini adalah kemenangan bagi Kedah FC. Kerana kita pasukan yang kononnya pasukan yang dilanda masalah pembayaran gaji – tetapi kita berjaya menyekat kemaraan satu pasukan yang dilihat begitu kaya.”

Selain itu Sanusi menjangkakan budget tahunan JDT adalah sekitar RM100 juta berdasarkan apa yang dimiliki pasukan itu sehingga boleh memeram pemain seperti Akhyar Rashid.

“Budget tahunan mereka RM100 juta la kot, saya pun tak tau mereka membelanjakan berapa. [Tetapi] nampak macam kayalah. Mereka boleh beli pemain kita dan simpan dengan bangku simpanan je.”

“Tawarkan gaji mahal mahal, sudah tentulah orang nak pergi kan? Lepas tu pergi simpan budak tu. Budak tu mereka simpan lama lama jadi penkaq la. Inipun satu budaya pengurusan yang tak baguslah dalam industri bola sepak kita.”

“Mana mana pemain dari team lain yang bagus, dia beli kemudian dia simpan. Pengkaq habis budak budak. Bahasa Kedah pengkaq la.”

“Jadi tak boleh. Pemain pemain ni kalau mereka tak main 2 atau 3 game mereka start pegkaqlah.”

“Saya tengok dia main malam tu, nak masuk kotak penalti pun dia tak boleh. Berlegar di tengah tu je dia. Kasihanlah budak tu. Dia seorang pemain yang sangat berkalibar dan berkebolehan semasa bersama Kedah.”

“Tetapi apabila dia berpindah ke pasukan lain kerana dorongan tawaran gaji yang lebih besar, akhirnya dia tidak mendapat minit permainan yang cukup untuk meningkatkan prestasi akhirnya dia mengalami kepengkaran. Istilah saya untuk orang orang ini.”

Kemudiannya, Sanusi menuduh JDT masih belum membayar yuran perpindahan Akhyar Rashid yang melanggar kontrak, sambil menyindir bahawa, pasukan sekaya JDT, kenapa culas membayar hutang kepada kelab miskin.

“Ada kes tu, ada kes yang telah diselesaikan di peringkat AFC berkaitan perpindahan pemain dan perlanggaran kontrak dalam syarat syarat kontrak. Sepatutnya pasukan yang ambil dia tu kena bayar kepada Kedah. Tapi tak bayar bayar. Kenapa tak bayar? Kata kaya sangat. Dia suruh saya pergi ke sana untuk selesaikannya. Saya tak nak pergi.”

“Saya kata bukan salah saya, siapa salah, dia la datang jumpa [saya].Kan?”

“Kita miskin tetapi kita ada maruah. Jangan anggap pasukan miskin ini boleh diratah ratah begitu sahaja.”

“Saya cakap ni pasal bola tau, bukannya berkaitan politik. Di padang bola ni kita sama rata. Saya presiden KFA, dia [TMJ pemilik kelab JDT.”

“Ni ada orang yang pertikaikan kenapa saya bercakap kepada anak raja macam tu macam ni. Saya kata saya bercakap bukan dengan anak raja, saya bercakap dengan [atas kapasiti] pemilik JDT dan saya selaku presiden KFA.”

“Jangan tuduh saya derhaka pula. Main bola macamana kalau dikira derhaka tak derhaka? Kalau tidak, nak skor gol pun nak angkat sembah dulu. Mampuslah kita. Nak lawan macamana. Kan?”

“Main bola cara bola la. Janganlah ambil hati pula kan? Padang bola adalah padang bola. Jangan heret bola masuk ke istana.”

Isu tersebut mendapat respon daripada JDT pada hari ini, di mana JDT menerusi Pengarah Teknikal, Alistair Edwards menyatakan JDT sangat terkejut.

JDT: Sanusi buat tuduhan melulu dan tak berasas

JDT sebelum ini pernah membuat bayaran RM100 juta. Lebih daripada angka RM75,000 yang diarahkan oleh FAM dibayar oleh JDT kepada Kedah untuk yuran pembangunan pemain tersebut.

Namun KFA tidak berpuas hati dengan bayaran tersebut dan mahu mencabar keputusan FAm tentang perkara berkenaan.

Alistair dalam siaran media rasmi JDT berkata:

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terkejut dengan tuduhan tidak berasas oleh presiden Kedah FA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai JDT tidak menjelaskan bayaran selepas menandatangani seorang pemain.”

“Untuk rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memutuskan bahawa yuran pembangunan pemain sebanyak RM75,000 perlu dibayar oleh mana-mana kelab yang menandatangani Akhyar Rashid selepas pemain itu menamatkan kontrak beliau dengan Kedah. JDT bersetuju untuk membayar lebih dan telah mengeluarkan sekeping cek kepada Kedah sebanyak RM100,000 pada 31 Disember 2018.”

“Cek ini bagaimanapun telah dipulangkan oleh Kedah kerana mereka mahu membuat rayuan berkenaan perkara ini.”

Alistair seterusnya menegaskan bahawa mahkamah Timbang Tara memutuskan untuk membatalkan arahan yang dibuat oleh FAM kepada mereka.

“Mahkamah Timbang Tara kemudiannya telah membuat keputusan bahawa yuran pembangunan itu tidak diperlukan dan membatalkan keputusan yang dibuat oleh FAM.”

“Tidak ada keputusan selanjutnya atau tuntutan yang dilakukan Kedah terhadap JDT. Niat kami adalah jelas dan kami ingin menasihati Presiden Kedah FA yang juga Menteri Besar supaya tidak membuat tuduhan tidak berasas.”

Baca yang lain

Xavi Nekad Tinggalkan Barca

Xavi Hernandez menyatakan bahawa dia sudah nekad mahu meninggalkan Barcelona pada akhir musim ini. Xavi beberapa bulan lalu mengesahkan dia sudah mencapai