CEO Melaka United Kecewa Tindakan MFL: “Ia Hanya Akan Menjejaskan Masa Depan MU”

Pemilik merangkap CEO Melaka United (MU), Datuk Wira Justin Lim kurang bersetuju dengan tindakan MFL menyingkirkan Melaka United daripada 2 liga utama Malaysia iaitu Liga Super Malaysia dan Liga Premier.

Justin Lim menganggap tindakan itu akan membuatkan Melaka United hilang pendapatan dan pelabur yang berpotensi.

Justin Lim mendedahkan bahawa sebenarnya, pada ketika ini sudah ada beberapa pelabur pelabur dan kesatria putih yang berminat membeli Melaka United dan menyelamatkan kelab tersebut.

Beliau turut mengeluh tentang nasib para pekerja dan pegawai yang bertugas di kelab itu.

Dipetik dari laman sosial rasmi Melaka United, Datuk Wira Justin Lim berkata:

“Saya berpendapat bahawa keputusan ini hanya akan menjejaskan lagi masa hadapan kelab bola sepak Melaka kerana pasukan ini sudah tiada lagi punca pendapatan jika tidak beraksi di Liga Malaysia, apatah lagi buat masa ini terdapat pelabur-pelabur dan kesatria putih yang berminat untuk membeli Melaka United FC untuk menyelamatkan kelab bola sepak Melaka.”

“Malang sekali, keputusan MFL ini mungkin akan memberi impak yang sebaliknya yang mana akan menjejaskan lagi masa hadapan pekerja-pekerja dan pegawai-pegawai.”

Seterusnya beliau menyatakan bahawa pihaknya sedang mencari penyelesaian dalam usaha menentukan hala tuju kelab itu dalam masa terdekat.

Justin Lim menambah: “Walaupapun, kami telah melakukan yang terbaik dalam usaha untuk mendapatkan lesen dan dari keputusan ini kami akan menilai semula keseluruhan situasi sebelum mengumumkan hala tuju kelab dalam masa terdekat”.

Semalam, CEO Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata rayuan Sarawak United FC dan Melaka United FC ditolak Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB), selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2022 dalam satu mesyuarat sebelum ini.

Stuart berkata ianya sekali gus menyaksikan keputusan dilakukan oleh First Instance Body (FIB) pada 12 Okt lepas, adalah kekal.

Sebelum ini, Pengerusi Pelesenan Kelab MFL FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata Melaka United gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Jun dan Ogos tahun ini.