Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 bagi menggantikan Victoria, Australia, yang menarik diri tahun lepas.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam kenyataan pada Isnin berkata, tawaran itu merangkumi pelaburan kewangan yang besar menjangkau 100 juta pound (kira-kira RM601 juta) untuk menyokong perancangan bagi penganjuran edisi 2026 itu.
“Susulan undangan rasmi daripada CGF kepada MOM yang juga dikenali sebagai Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia bulan lepas, MOM telah memulakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai kemungkinan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 selepas pembida yang menang iaitu Victoria, Australia menarik diri tahun lepas,” menurut kenyataan itu.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataan sama berkata CGA Malaysia berpandangan kerajaan perlu menimbangkan peluang sekali seumur hidup itu, di samping sokongan serta pelaburan kewangan berkaitan, meneruskan legasi kejayaan Malaysia yang pernah menganjurkan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, dan mengembalikan kemegahan negara dalam arena sukan dunia.
Menurutnya, dengan kemudahan bertaraf dunia sedia ada, Malaysia berupaya menjadi tuan rumah acara antarabangsa seperti Sukan Komanwel yang melibatkan 74 negara dan wilayah Komanwel.
Mohamad Norza berkata, penganjuran berkenaan pasti akan melibatkan perbelanjaan kerajaan yang minimum serta membawa manfaat sosioekonomi yang besar kepada negara.
“Ia juga akan meningkatkan standard sukan Malaysia seperti yang berlaku selepas Sukan Komanwel 1998,” katanya.
Sabtu lepas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan Kabinet akan membuat keputusan sama ada Malaysia berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 dalam masa terdekat.
Hannah berkata, KBS sedang menyediakan satu kertas Kabinet yang merangkumi hasil kajian tentang pelbagai aspek penganjuran sukan tersebut.
Persoalan mengenai Sukan Komanwel 2026 masih menjadi tanda tanya selepas Victoria, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 menarik diri pada Julai tahun lepas disebabkan kenaikan kos penyelenggaraan dari jangkaan awal AUD2.6 bilion (sekitar RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).
Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta bagi pelanggaran kontrak kerana gagal menganjurkan acara berkenaan yang dijadualkan dari 17 hingga 29 Mac 2026.
Malaysia adalah negara Asia pertama menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998. Pada 2010, sukan empat tahun sekali itu kembali ke rantau ini dan berlangsung di India. – Bernama