Chelsea Akan Tolong Misha Agar Tidak Buat Kesilapan Dalam Membuat Keputusan

Enzo Maresca menyatakan bahawa dia dan staf kejurulatihannya akan membantu Mykhailo Mudryk. Dia berpendapat bahawa pemain itu membuat terlalu banyak kesilapan dari segi membuat keputusan dalam permainan.

Maresca menganggap Mudryk pemain yang berkualiti dan tiada langsung masalah dari sudut teknikal. Cuma dari aspek membaca permainan dan pemikiran di atas padang pemain itu jelas memerlukan bantuan.

Mudryk antara nama yang dianggap ‘kebal’ dalam era Todd Boehly. Kerana sebelum ini Maresca sudah diberitahu bahawa dia tidak boleh menjual atau menyisihkan 3 pemain bernilai €100 juta kelab itu iaitu, Mudryk, Caicedo dan Enzo Fernandez.

Mauricio Pochettino sebelum ini turut diberitahu tentang polisi yang sama tentang 3 pemain tersebut. Mujurlah Maresca masih ada keyakinan bahawa pemain itu akan memberikan impak selepas ini setelah mereka membantunya.

Maresca berkata: “Kami akan membantunya untuk berubah. Kebanyakan kesilapan yang dia lakukan bukannya dari aspek kualiti, tidak! Sebaliknya kesilapan kesilapan itu adalah tentang membuat keputusan dalam permainan. Kami akan bantu Misha.”

Peminat Chelsea dan juga penulis sukan BBC, Tom Overend setuju dengan pandangan Maresca. Kerana menurutnya, memang ada pemain yang sangat bagus namun mereka kurang dalam membuat keputusan dalam permainan.

Overend berkata: “Saya suka mendengarnya. Ada pemain yang bagus di luar sana dengan keupayaan membuat keputusan yang lebih baik, mereka akan menonjol.”

Chelsea menang aksi pertama play off Liga Persidangan Eropah berdepan dengan Servette. Dua gol Chelsea adalah menerusi penalti oleh Nkunku dan gol oleh Noni Madueke.