Chelsea Dan United Hubungi Werner Mahu Sailang Liverpool

Sebelum ini Timo Werner dikaitkan dengan Liverpool. Malah pemain tersebut juga dikatakan berminat untuk bergabung dengan Jurgen Klopp.

BILD melaporkan Bayern Munich menarik diri daripada persaingan kerana diberitahu bahawa Werner mahu ke Liverpool.

Walaubagaimanapun, Liverpool telah menyatakan bahawa mereka perlu mempertimbangkan sekali lagi perpindahan tersebut. Ini kerana impak kewangan dihadapi kelab pada ketika ini.

Liverpool meminta Werner untuk menunggu sedikit masa bagi mereka memikirkan tawaran terbaik kepada pemain itu.

Peluang itu telah digunakan oleh Chelsea dan Man United untuk masuk line.

Chelsea dan United masuk

Manchester United dan Chelsea dilaporkan telah menghubungi ejen Timo Werner mengenai perbincangan prospek kemungkinan boleh menandatangani penyerang yang menjadi rebutan itu.

Menurut ketua editor  Bild, Christian Falk, di Twitter, kedua-dua kelab telah bergilir-gilir bercakap dengan pihak Werner.

Namun begitu, penyerang Jerman tersebut dilaporkan masih menunggu tawaran dari Liverpool.

Chelsea masih memburu penyerang utama di dalam pasukan mereka selepas gagal mendapatkan pemain seperti Edinson Cavani.

Man United sebelum ini gagal mendapatkan Erling Braut Haaland. Dan mereka melihat Timo Werner sebagai pilihan yang sangat bagus untuk menjadi penyerang utama mereka.

Penyerang RB Leipzig tersebut boleh ditandatangani dengan nilai klausa pelepasan £52 juta. Beliau boleh bermain di kesemua posisi di zon serangan.

Menjadikan beliau sebagai pemain yang dianggap serba boleh di dalam arena bola sepak pada hari ini.

Beliau telah menjadi salah satu prospek terpanas dalam bola sepak Eropah selama beberapa tahun, dan sudah menyatakan minatnya mahu berpindah ke Liga Perdana Inggeris. Malah Werner musim ini sudah menghadiri kelas Bahasa Inggeris.

Beliau merasakan masanya sudah tiba untuk beliau mencari cabaran baharu di dalam kariernya.

Hanya £52 juta

Ketua pengarah RB Leipzig memberikan lampu hijau bahawa kesepakatan boleh dicapai dengan nilai £52 juta yang dianggap harga lelong untuk pemain sebagus Werner.

Timo Werner memberitahu kelab bahawa beliau tidak akan menandatangani kontrak lanjutan. Oleh sebab itu beliau berada dalam senarai untuk dijual daripada pergi secara percuma.

Werner telah menjaringkan 88 gol dalam 150 penampilan untuk Leipzig. Pada usianya yang baru 24 tahun, Werner sudah memahatkan namanya dalam skuad kebangsaan Jerman.

Beliau jelas ada masih banyak ruang untuk meningkatkan lagi kemampuannya.

Sebelum ini Timo Werner menyatakan beliau tidak begitu memikirkan perpindahan ke Liverpool kerana sukar untuk menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama yang ada Mo Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino.

Namun selepas itu beliau mengubah keputusannya dan sudah beberapa kali membincangkan tentang Liverpool secara terbuka.

Chelsea dan Man United pastinya sedar bahawa sebelum ini Werner menyatakan beliau mengutamakan pasukan yang bermain di UCL.

Mereka pastinya berharap dapat meyakinkan Werner bahawa mereka mampu untuk mara ke UCL pada musim hadapan. Kedua dua pasukan masih dalam persaingan untuk ke UCL.