Chelsea Dianggap Buat Tindakan Pelik Umum Penamatan Tajaan Oman Air

Chelsea dianggap mengambil tindakan tidak masuk akal dan aneh apabila mengumumkan penamatan tajaan Oman Air, sedangkan kelab itu berusaha sedaya upaya mengelak kesalahan FFP.

Chelsea baru baru ini mengumumkan mereka rugi £90 juta sebelum cukai untuk 12 bulan yang berakhir pada 30 Jun lalu.

Pakar kewangan bola sepak menjelaskan bahawa kelab itu perlu menjana £100 juta daripada penjualan pemain pada jendela perpindahan akan datang untuk memastikan mereka kekal mengikut piawaian FFP.

Kegagalan mereka memastikan akaun FFP mereka sihat akan memberikan impak kepada penyertaan mereka dalam pertandingan eropah. Namun kedudukan semasa kelab itu menunjukkan mereka masih bergelut untuk mara ke mana mana pertandingan eropah musim hadapan.

Mereka melepaskan peluang untuk mara menerusi slot Piala Liga. Di mana mereka kalah di tangan Liverpool pada aksi final.

Itulah sebabnya Chelsea dikatakan telah mengambil keputusan yang tidak masuk akal menamatkan tajaan oleh Oman Air yang memberikan mereka tajaan sekitar £2 juta setahun.

Chelsea akan tanpa beberapa penaja mereka pada musim hadapan. Mereka masih belum ada penaja untuk depan jersi mereka, dan juga tajaan penerbangan rasmi.

The Telegraph melaporkan isu tajaan ini timbul daripada pihak Oman Air berbanding dengan Chelsea.

Ini kerana syarikat tersebut menanggung kerugian 25% pada tahun 2023.

Beberapa minggu selepas mengumumkan tajaan ke atas Chelsea, CEO Oman Air, Abdulaziz Al Raisi yang bertanggungjawab memastikan tajaan ini dimeterai telah dipecat.

Oman Air dikatakan tidak gembira dengan beberapa keputusan yang diambil Abdulaziz. Juga agak mengejutkan kerana mereka mahu menamatkan kerjasama dengan Chelsea. Walaupun bukan mudah untuk memeterai perjanjian dengan kelab EPL seperti Chelsea.

Chelsea kini berusaha untuk mendapatkan lebih banyak tajaan mega untuk dibawa masuk ke kelab itu.

Baca yang lain