Chelsea Rampas 3 Mata Dari Man United Menerusi 2 Gol Cole Palmer Masa Kecederaan

Chelsea melayan kunjungan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris untuk aksi pertengahan minggu.

United berusaha untuk mengejar slot Liga Juara Juara Eropah untuk musim hadapan. Sementara Chelsea mahu berada di 10 teratas.

Pemain yang banyak menerima kecaman minggu lalu sehingga kelab terpaksa mengeluarkan kenyataan media rasmi, Connor Gallagher meletakkan Chelsea di hadapan seawal minit ke-4.

Gallagher sebelum ini dituduh rasis kerana dianggap telah tidak melayan maskot kanak kanak berkulit hitam. Pemain berkulit hitam pertama Chelsea, Paul Canoville menghangatkan lagi keadaan dengan menuduh pemain itu rasis. Dan kemudian dia meminta maaf di atas tindakan melulunya.

Pada minit ke-18, Chelsea mendapat penalti selepas Antony menjatuhkan Cucurella. Chelsea menjadi pasukan EPL paling banyak diberikan penalti musim ini. Dan mencecah dua angka.

Cole Palmer sekali lagi tenang menyempurnakan penalti untuk meletakkan Chelsea 2-0 di hadapan di Stamford Bridge.

Manchester United cuba memperbaiki rentak permainan mereka. Namun Chelsea berjaya mematahkan beberapa binaan serangan daripada Red Devils.

Kesilapan pertahanan oleh Chelsea membolehkan Alejandro Garnacho seolah olah diberikan hadiah oleh lawannya untuk merapatkan jurang gol. Caicedo bertanggungjawab dalam gol tersebut.

Chelsea hampir menambah gol menerusi Enzo Fernandez namun dinafikan Onana.

Tak lama selepas itu Bruno Fernandes pula menyamakan kedudukan pada minit ke-39.

Pada lewat masa kecederaan separuh masa pertama, Connor Gallagher melakukan rembatan yang terkena tiang gol.

Separuh masa kedua, Man United mendahului menerusi gol oleh Alejandro Garnacho. Namun kredit terbesar pastinya kepada Antony yang melakukan assist trivella berkelas dunia.

Kepada yang bertanya apa itu trivella, ianya satu teknik pemain melakukan sepakan menggunakan bahagian luar kaki. Antony melakukannya dengan sangat baik dan ditanduk oleh Garnacho.

Pada minit ke-86, Erik Ten Hag membawa masuk graduan Chelsea, Mason Mount yang menyertai Red Devils musim ini. Mount diejek setiap kali dia menyentuh bola.

Ketika Man United seolah olah akan menjadi pemenang 3 mata di Stamford Bridge, Dalot memberikan Chelsea satu lagi penalti setelah menjatuhkan Madueke.

Cole Palmer sekali lagi menyudahkan penalti itu dengan bergaya.

Dan ketika perlawanan dilihat bakal seri 3-3, Chelsea merampasnya daripada Man United dengan gol cantik daripada Cole Palmer yang melengkapkan hatriknya. Peminat Manchester United di bangku sekolah, dan kemudian menjadi graduan akademi Man City itu menghukum Red Devils.

Baca yang lain