Chelsea sedia membayar penalti £5 juta dan memulangkan Jadon Sancho ke Man United.
Dalam kontrak pinjaman Jadon Sancho, Chelsea tertakluk kepada kewajiban membeli pemain itu £25 juta jika menamatkan saingan liga di 14 teratas.
Dan kini skuad Enzo Maresca berada di kedudukan jauh lebih baik daripada paras tersebut.
Namun begitu Maresca dikatakan tidak gembira dengan prestasi Sancho. Pemain itu gagal untuk menyumbang dengan lebih baik secara konsisten.
Walaubagaimanapun, Chelsea masih belum memutuskan lagi perkara itu. Dan Man United masih belum menerima sebarang panggilan daripada Chelsea menyatakan mereka mahu memulangkan Sancho.
Antara sebab lain Chelsea mahu pulangkan Sancho adalah kerana mereka mengurangkan beban gaji £250 ribu untuk Jadon Sancho.
Dari sudut Man United pula, kelab itu pastinya tidak mahu Sancho kembali. Kerana mereka sedang berusaha mengimbangi akaun FFP mereka untuk membolehkan Amorim berbelanja.
Kini Man United sedia untuk menjual Sancho pada harga diskaun £20 juta kepada Chelsea, asalkan mereka membeli pemain itu.
Sancho jelas sekali tidak ada dalam perancangan Ruben Amorim setakat ini. Pemain itu sendiri pernah membayangkan bahawa dia sudah tak ada hati untuk kembali ke Old Trafford.
Dia mahu bermain untuk Chelsea atau pergi kembali ke Dortmund. Tempat di mana dia menjadi bakat elit dan menikmati fasa terbaik dalam kariernya.
Seterusnya, Bayer Leverkusen kini menjadi kelab yang mulai memantau Sancho. Memandangkan bintang mereka, Florian Wirtz mungkin akan menyertai Bayern selepas tamat musim ini.
Leverkusen boleh menggunakan sebahagian wang daripada penjualan Wirtz untuk membeli Jadon Sancho.
Masa depan Sancho di Man United dianggap sudah berakhir apabila pemain itu terlibat dalam konflik dengan Erik Ten Hag. Di mana pemain itu menuduh Ten Hag sebagai penipu dan kerap menjadikannya kambing hitam.
Ten Hag meminta Sancho untuk meminta maaf. Namun sampai ke sudah pemain itu tak mahu melakukannya.
Sebelum ini Sancho muncul kembali dalam skuad Ten Hag, tetapi pengurus itu tidak menyatakan bahawa itu terjadi kerana Sancho sudah meminta maaf. Sebaliknya Ten Hag cuma menegaskan bahawa semua pihak membuang ego demi pasukan.