Chelsea Tawarkan Sterling Kepada Aston Villa, Namun Situasinya Tidak Mudah

Aston Villa dilaporkan telah ditawarkan Chelsea untuk mendapatkan Raheem Sterling sebelum jendela perpindahan ditutup. Situasi semasa di Chelsea telah membuatkan Villa berpeluang mendapatkan bintang England itu.

Baru baru ini Sterling mempertikaikan keputusan pengurusnya, menyisihkannya daripada aksi pertama menentang Man City. Enzo Maresca menegaskan bahawa alasan utama Sterling tidak disenaraikan dalam skuad atas sebab teknikal.

“Saya memang dibayar untuk membuat keputusan sebegini, dan adakalanya ada pemain kurang gembira,” tegas Maresca yang tidak mahu melayan rungutan pemain hanya kerana mereka tidak disertakan atau diturunkan.

Chelsea mendapati diri mereka berada dalam situasi yang tidak dijangka ketika jendela perpindahan hampir berakhir. Dengan perubahan menyeluruh di bawah pengurus baharu Enzo Maresca, telah membuka ruang kepada Aston Villa mendapatkan Raheem Sterling.

Namun, kelab Midlands itu teragak-agak, menyebabkan masa depan pemain itu tidak menentu. Villa mahukan Sterling pada harga rendah. Dan mereka tidak pasti berapa harga yang diminta oleh Chelsea. Raheem Sterling, dibeli Chelsea dengan dana sebesar £47.5 juta, telah diketepikan daripada pasukan utama Chelsea dan Enzo Maresca membayangkan pemain itu kemungkinan besar tiada dalam perancangannya.

Enzo Maresca telah menjelaskan bahawa Sterling tidak sesuai dengan rancangan taktikalnya walaupun dia cemerlang pada pra musim di bawah kendalian pengurus itu. Ianya jelas memberikan isyarat bahawa pemain sayap itu akan menghadapi peluang bermain terhad di Stamford Bridge. Sterling telah berlatih secara berasingan daripada skuad utama. Maresca sendiri mengesahkan bahawa dia hanya bekerja dengan 21 pemain utama. Selebihnya adalah diletakkan berlatih berasingan. Mustahil untuk dia melatih kumpulan pemain lebih 40 orang, katanya.

Jadi Sterling kini dalam kumpulan kedua bukannya kumpulan utama dalam latihan. Maresca berkata tentang Raheem Sterling: “Saya tidak mengatakan Raheem bukan pemain yang bagus tetapi saya lebih suka pemain sayap yang berbeza. Inilah sebabnya. Saya bercakap dengan Raheem, face to face, sehari sebelum lawan City dan saya menerangkan situasinya dengan jujur.

“Saya tidak berjumpa dengan Raheem selepas perlawanan. Pada masa ini, mereka (Sterling dan Ben Chilwell) berlatih berasingan. Situasi untuk mereka berdua cukup jelas.”

Pengecualian Sterling baru baru ini adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas oleh Chelsea, yang ingin menjual sehingga 15 pemain. Kelab itu mahu mengimbangi buku akaun mereka, terutamanya selepas menandatangani Joao Felix baru-baru ini.

Dengan gaji mingguan Sterling yang besar sebanyak £300,000, Chelsea berada di bawah tekanan untuk mencari penyelesaian sebelum jendela perpindahan ditutup pada 30 Ogos.

Aston Villa, diberi peluang untuk menandatangani Raheem Sterling, namun mereka mendapati bahawa diri mereka dalam situasi mencabar untuk memutuskan perkara itu. Beban kewangan dalam pembelian, termasuk gaji tinggi Sterling, telah membuatkan kelab itu tidak terburu buru dalam perkara tersebut. Walaupun perbincangan dilakukan untuk melihat kesediaan Sterling mempertimbangkan pemotongan gaji, Villa nampaknya tidak mungkin meneruskan perpindahan itu menurut wartawan Ben Jacobs.

Hal ini kerana jika Sterling bersetuju menerima pengurangan gaji, ianya masih dijangka pada paras gaji sangat tinggi untuk kelab seperti Villa.

Keraguan Villa bukan sahaja mengenai kewangan; kelab itu juga menimbang potensi kesan ke atas dinamik pasukan. Kemahiran dan pengalaman Sterling amat diperakui oleh mereka, tetapi Villa mesti menilai bagaimana dia akan sesuai dengan skuad mereka sekarang dan sama ada ini sejajar dengan matlamat jangka panjang mereka berdasarkan usianya ketika ini.

Raheem Sterling berazam untuk kekal dalam Liga Perdana Inggeris dan mendapatkan semula tempatnya dalam skuad England, menolak perpindahan ke Arab Saudi dan juga tidak berminat dengan sebarang tawaran daripada Juventus yang turut memantau situasi Sterling.

Perjanjian pertukaran berpotensi dengan Juventus melibatkan Federico Chiesa telah dipertimbangkan tetapi tidak sejajar dengan rancangan strategik Chelsea.

Kekecewaan Sterling dengan kesusahannya ketika ini terbukti apabila dia diketepikan daripada skuad Chelsea untuk perlawanan pembukaan Liga Perdana menentang Manchester City, walaupun mengambil bahagian dalam persiapan pramusim.

Kedua-dua Chelsea dan Raheem Sterling berdepan detik penting. Jika perpindahan yang sesuai tidak diperoleh sebelum 30 Ogos, Sterling mungkin kekal di Chelsea sehingga sekurang-kurangnya Januari, walaupun tidak berada dalam rancangan Maresca.