China Kuatkuasa Undang-Undang Mandatori ‘Facial Recognition’ Bagi Pengguna Telefon Pintar

Korang pernah tak naik Grabcar? Di mana korang diminta berselfie untuk pengecaman wajah.

Dan di China selepas ini, rakyat mereka yang membeli simkad yang baharu, diminta untuk melakukan perkara yang sama.

Para pengguna perlu untuk mendaftkarkan simkad mereka beserta dengan butiran pengenalan diri dan juga gambar wajah mereka yang jelas, paling senang adalah selfie la.

Berdasarkan informasi daripada koresponden The Guardian, peraturan itu akan bermula pada Ahad hadapan.

Semua kedai telefon ataupun simkad kini diminta untuk arif dan cakna ke atas perkara ini kerana mereka yang akan mendaftarkan pengguna yang baharu.

Kerajaan China berbuat demikian selepas Kementerian Industri dan Informasi mahu memastikan mereka ada hak untuk mengawal pengguna telefon pintar di China – dengan lunas perundangan yang sudah diwartakan.

Ia juga akan membantu kerajaan untuk mengesan dengan lebih mudah setiap pengguna telefon pintar yang melakukan kesalahan siber.

Sebelum ini di China sudah mewajibkan setiap pemilik simkad untuk mendaftarkan simkad mereka dengan kad pengenalan ataupun pasport mereka.

Sudah banyak kedai telekomunikasi sudah memulakan langkah untuk mengimbas wajah pelanggan mereka sejak tahun lalu lagi sebagai langkah persediaan.

Seterusnya, setiap pengguna yang menggunakan media sosial perlu menggunakan nama sebenar mereka seperti yang tertera pada kad pengenalan – dan pengesahan dilakukan menerusi nombor telefon.

China juga sudah memperluaskan pengecaman wajah menerusi pengimbasan, misalnya menerusi kamera yang dipasang pada venue konsert, pengangkutan awam dan sebagainya.

https://twitter.com/chengela/status/1201433042943987712

Ramai juga yang merasakan langkah itu merimaskan dan meragukan dari segi keselamatan dan dilakukan tanpa persetujuan.

Pada November lalu, terdapat satu pemfailan saman ke atas kerajaan China bagi menentang amalam facial recognition ini.

Seorang profesor, iaitu Guo Bing – profesor di Zhejiang Sci-Tech University menuduh sebuah taman safari di Hangzhou telah melanggar undang-undang perlindungan hak pengguna dengan mengimbas wajahnya dan mendapatkan butiran peribadinya tanpa kerelaan beliau.

Beliau mendakwa ia telah melanggar privasinya.

Ada juga berlaku kes para pelajar marah setelah mendapat tahu ada kamera dengan perisian pengecaman wajah dipasang tanpa pengetahuan mereka di Universiti Nanjing – bagi merekodkan kehadiran pelajar ke dewan kuliah dan memerhatikan kelakuan mereka di varsiti.

Langkah kerajaan China ini mendapat tentangan daripada ramai pihak yang menganggap mereka sudah melampau.

Namun kerajaan China buat masa ini tidak melayan sebarang rungutan daripada pelbagai pihak ke atasnya.

Baca yang lain