City 6 Forest 0: Haaland Cetak Hatrik Kedua Berturut Turut

Erling Haaland menjaringkan hatrik pada separuh masa pertama untuk membantu Manchester City menang ke atas pasukan yang berbelanja besar, Nottingham Forest.

Forest setakat ini sudah menandatangani 19 pemain pada musim ini dalam usaha mereka mencabar pasukan lain dalam EPL, terutama sekali dalam misi untuk terus kekal di EPL.

Haaland sebelum ini mencetak hatrik untuk membantu pasukannya bangkit daripada ketinggalan 2 gol di belakang Crystal Palace untuk menang 4-2.

Dan kali ini pemain antarabangsa Norway itu berjaya menjaringkan hatrik kedua berturut turutnya dalam EPL hanya dalam 38 minit separuh masa pertama untuk membolehkan Man City masuk ke bilik persalinan dengan 3-0 di hadapan.

Bersambung babak kedua, Man City menambah gol keempat mereka menerusi Joao Cancelo pada minit ke-50.

Kira kira 15 minit kemudian, Julian Alvarez menambah satu lagi gol untuk menjadikan kedudukan 5-0.

Hero hatrik Erling Haaland kemudian dikeluarkan untuk digantikan dengan Kevin De Bruyne.

Alvarez memastikan City menang 6-0 dengan gol pada minit ke-81.

Manchester City terus mengukuhkan reputasinya sebagai calon juara bertahan musim ini.