Nampaknya terdapat kemas kini penting dalam hasil pertempuran undang-undang Manchester City menentang Liga Perdana berhubung Peraturan Transaksi Pihak Bersekutu [APT], menurut laporan baharu dari UK.
Kejayaan Man City menjuarai EPL musim lalu dibayangi dengan 115 pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka berkaitan dakwaan pelanggaran peraturan keuntungan dan kemampanan Liga Perdana [PSR].
Pertuduhan ini dikaitkan dengan kesalahan dalam tempoh masa antara 2009 dan 2018, dan sebahagian besarnya berkaitan dengan ‘kegagalan untuk memberikan maklumat kewangan yang tepat dan terkini’, serta ‘kegagalan untuk bekerjasama dengan penyiasatan audit Liga Perdana’.
City menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat berkaitan penyelewengan kewangan dan telah berikrar untuk membersihkan nama mereka. Kelab itu juga percaya Liga Perdana telah ‘melayan mereka secara tidak adil’ dalam menilai pendapatan komersial mereka dengan bergantung kepada analisis syarikat data Nielsen, yang dianggap syarikat yang bekerja untuk pesaing mereka.
Selain 115 pelanggaran yang disebut sebelum ini, City telah mengambil tindakan terhadap Liga Perdana dalam perbalahan berasingan mengenai peraturan APT. Ini bukan kes berkaitan dengan PSR. Tetapi jika City menang dalam pertelingkahan melibatkan APT ianya menjadi langkah besar untuk mereka membersihkan nama mereka daripada kes PSR yang melibatkan 115 pertuduhan.
Peraturan APT diperkenalkan pada 2021 selepas Dana Pelaburan Awam Arab Saudi membeli Newcastle United, dan bertujuan untuk menghalang kelab daripada menaikkan tawaran penajaan dengan syarikat yang dikaitkan dengan pemiliknya, memastikan persaingan yang adil.
Undian mengenai kemungkinan pindaan peraturan melibatkan kesemua 20 kelab ditetapkan pada mesyuarat pada Khamis.
Tetapi ia ditarik pada saat-saat akhir, menurut wartawan Daily Mail Mike Keegan menegaskan bahawa undian untuk mencari kata sepakat tentang peraturan itu telah ditarik balik. Tiada usul yang berkaitan dibangkitkan.
Perkembangan ini dikatakan menunjukkan bahaw Man City digambarkan sedang dalam landasan kemenangan untuk mencabar peraturan berkaitan dengan APT.
Keegan menulis: “Manchester City nampaknya telah menjaringkan gol kemenangan ke atas Liga Perdana menerusi APT selepas undian untuk meminda peraturan ditarik pada saat akhir dari mesyuarat kelab pagi ini.”
Dia menambah: “[Ia] mungkin menunjukkan City telah berjaya dalam cabaran undang-undang mereka berkaitan dengan APT. Perkembangan besar sedang berlaku,” tegasn Keegan yang merujuk kepada perkembangan ini mungkin akan membantu Man City dalam membersihkan nama mereka berkaitan dengan 115 salah laku kewangan yang dituduh ke atas mereka.
City juga sedia untuk menuntut ganti rugi untuk “kerugian yang ditanggungnya akibat pelanggaran peraturan”, telah menggelar peraturan APT sebagai “kezaliman majoriti” dan “diskriminasi”.
Ia masih harus dilihat bagaimana perubahan kepada peraturan APT boleh memberi kesan kepada kes berkenaan 115 dakwaan pelanggaran peraturan kewangan.