Collina Cadangkan Peraturan Penalti Diubah

Pengadil legenda, Pierluigi Collina mencadangkan agar peraturan penalti diubah.

Pengadil bola sepak legenda Itali dan ketua jawatankuasa pengadil UEFA, Pierluigi Collina, telah mencadangkan perubahan revolusioner dalam cara penalti diambil.

Collina dianggap pengadil bola sepak terbaik dalam sejarah, dan UEFA melantiknya sebagai ketua pengadil pada 2017.

Memandangkan dia masih memegang jawatan itu, cadangannya itu berpotensi untuk diterima pakai.

Kita semua tahu UEFA suka melaksanakan peraturan mereka sendiri kemudian FIFA pun ikut. Sama dengan peraturan VAR sebelum ini, kemudian teknologi garisan gol dan pertukaran 4 atau 5 pemain jika ada kes seperti kepala alami gegaran.

Pengadil asal Itali itu mahu memansuhkan peraturan agar pemain tidak boleh lagi menjaringkan gol daripada lantunan [rebound] selepas sepakan penalti.

Ini bermakna penalti tidak akan ada rebound. Ianya sepakan sekali jalan. Gol atau tidak itu hanya ditentukan pada sepakan tersebut.

Collina juga memberi penjelasan mengapa pandangannya adalah lebih baik untuk menukar peraturan.

“Saya percaya terdapat perbezaan besar antara peluang yang dimiliki oleh penjaga gol dan penyerang.

“Secara purata, 75% daripada penalti ditukar menjadi gol, dan selalunya ini adalah daripada peluang yang lebih besar daripada yang dihalang oleh kesalahan itu.

“Selain itu, penyerang berpeluang menjaringkan gol walaupun selepas penjaga gol melakukan penyelamatan.

“Pada pendapat saya, penjaga gol pastinya mengeluh kerana mereka tidak memiliki peluang yang sama adil dengan pihak yang melakukan sepakan penalti.

“Penyelesaiannya adalah ‘1 sepakan’ sahaja, sama seperti penalti yang diambil pada penentuan sepakan penalti.

“Kamu harus menjaringkan gol, atau bola itu akan menjadi sepakan gol untuk lawan.

“Ini akan membantu mengatasi masalah huru hara ketika sepakan penalti diambil dan tidak ada lagi pemain yang tolak menolak di garisan  belakang titik penalti, dah macam kuda yang nak berlumba.”

Collina telah pun membentangkan pandagannya itu kepada IFAB (Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa), di mana dia meminta peraturan itu dikaji semula.

IFAB bertanggungjawab ke atas sebarang perubahan kepada permainan bola sepak.