Conte Tembak Kelemahan Levy Dan Spurs Dalam Rekrut Pemain

Antonio Conte menyatakan bahawa Tottenham Hotspur masih jauh daripada apa yang beliau mahukan. Sambil sekali lagi menembak kelemahan kelab dalam jendela perpindahan.

Ini bukan pertama kali Conte menyindir bos besarnya tentang kelemahan sistem dan polisi rekrut pemain di Spurs.

Conte cuma berasa lega apabila berjaya mendapatkan penandatanganan hari terakhir dengan mendapatkan Dejan Kulusevski dan Rodrigo Bentancur dari Juventus yang menurutnya akan menambahkan kekuatan di tengah.

Namun Conte tidak gembira dengan keputusan kelab yang terpaksa memilih untuk meminjamkan 3 pemain mereka keluar iaitu Bryan Gil, yang menyertai mereka Julai lalu dari Sevilla dengan harga £21.6 juta, dengan Érik Lamela disertakan dalam pakej tersebut. Seterusnya Spurs turut meminjamkan Giovani Lo Celso dan Tanguy Ndombele. Kesemua pemain itu adalah baru mereka beli dalam beberapa musim terakhir ini.

Seterusnya Conte juga sedih dengan penjualan Dele Alli ke Everton. Kerana menurutnya, semua ini menggambarkan tentang kegagalan scouting kelab di masa lampau. Kerana kesemua mereka adalah pemain yang hebat tetapi tidak membangun dengan lebih baik kerana banyak faktor.

“Dah tentu, memang pelik apabila kelab meminjamkan 3 pemain dan menjual seorang permain pada Januari kerana kesilapan yang mereka lakukan di masa lalu.”

“Kebiasaannya, kamu membeli pemain untuk menguatkan lagi pasukan. Namun jika kamu meminjamkan mereka keluar, untuk pemain yang kamu baru beli dalam 2-3 musim sebelum ini, bermakna ada sesuatu yang tak kena. Adalah sangat penting untuk tidak melakukan kesilapan lagi di masa akan datang kerana dah banyak pasukan yang berada lebih tinggi daripada kita pada masa ini.”

“Sebelum tiba di Spurs pada November, saya menganggap semua pemain adalah penting. Kami membayar harga yang tinggi untuk Ndombele, sama juga untuk Lo Celso dan Gil. Kemudian kamu berada dalam situasi ini, dan kamu faham dengan jelas mana satu penyelesaian terbaik untuk kelab dan pemain buat masa ini.”

Gil dikatakan bergelut untuk beadaptasi dengan permainan fizikal di EPL.  Situasi itu pastinya sangat memalukan Paratici yang menjadikan pemain berusia 20 tahun itu sebagai pembelian pertama eranya sebagai pengarah bola sepak di Spurs.

Conte berkata: “Liga ini sangat keras dan lasak. Jika kamu bandingkan dengan liga lain, kamu ibarat bermain sukan lain di sini.”

“Kita sekarang bercakap tentang pemain bernama Gil yang sangat bagus dan ada kualiti, dia memahami bola sepak dengan cepat. Buat masa ini, liga ini terlalu keras untuk dia.”

“Untuk alasan ini, apabila kamu menandatangani pemain baharu, kamu kena mengambil kira banyak aspek. Pemain itu boleh jadi pemain yang kreatif, berkualiti, namaun pada masa yang sama, kamu harus kuat secara fizikal untuk bermain di sini. Kamu harus banyak berlari untuk menjadi gagah. Impak daripada liga ini tidak mudah. Kamu harus menyemak banyak aspek dan jangan menandatangani pemain atas dasar emosional.”

Selain itu Conte memberikan amaran kepada Paratici bahawa Spurs harus lebih cakna dan memberikan lebih perhatian kepada bursa perpindahan kerana ianya penting untuk membawa pemain terbaik ke kelab. Ini selepas Spurs terlepas beberapa sasaran penting mereka termasuk Luis Diaz.

Conte menyifatkan Kulesevski, 21, dan Bentancur, 24, sebagai pemain yang sesuai dengan falsafah kelab yang akan berkembang dan bertambah baik, tetapi menegaskan mereka memerlukan masa. Kedua-duanya cergas untuk perlawanan Piala FA pada Sabtu di tempat sendiri menentang Brighton, walaupun kedua-duanya tidak dijangka untuk menjadi kesebelasan utama.

“Laluan di hadapan kami adalah panjang,” kata Conte. “Adalah penting untuk memahami perkara ini … bahawa kita mahu mula menempuh jalan ini. Saya tidak suka jika anda bertanya kepada saya tentang perlumbaan untuk Liga Juara-Juara Eropah. Cita-cita saya adalah untuk memenangi liga, bukannya sekadar untuk ke Liga Juara-Juara Eropah. Cita-cita saya adalah untuk berdaya saing, berjuang untuk menang.”

“Pada masa ini saya sangat faham bahawa situasinya berbeza. Kami bekerja keras untuk cuba memperbaiki keadaan, mengurangkan jurang dan juga kesilapan masa lalu … untuk cuba membuat penyelesaian yang baik [untuk mereka]. Adalah penting untuk mengetahui bahawa ini adalah titik permulaan. Sejujurnya. Dan sekarang adalah masanya untuk kita perlu mulai bergerak jika kita mahu bergerak. Jika tidak ada penyelesaian lain untuk mereka.”

Conte berkata langkah untuk menjual Alli adalah bagus untuk semua pihak kerana pemain itu memerlukan cabaran baharu. Ditanya sama ada dia berpuas hati dengan urusan kelab pada Januari, dia berkata mereka telah mencuba yang terbaik dan ia bukan jendela mudah.