Covid-19: Neville Dan Giggs Tawarkan Hotel Percuma Kepada Para Petugas Kesihatan

Bekas pemain pertahanan Manchester United dan England, Gary Neville akan memberi kemudahan hotelnya secara percuma kepada para pekerja kesihatan untuk membantu menangani krisis coronavirus di negara tersebut.

Operasi 2 Hotel milik Neville di Manchester akan ditutup kepada orang ramai. Hotel ini mempunyai 176 katil dan akan diberikan kepada NHS dan kakitangan perubatan lain.

Hotel mewah ini mempunyai 40 bilik dan suite penthouse

 

Disamping itu, bekas ketua pasukan itu berkata, tiada seorang pun kakitangan hotel tersebut akan dipecat atau diminta untuk mengambil cuti tanpa gaji.

“Ia adalah sesuatu yang kami gembira untuk lakukan selepas mendapat persetujuan bersama,” kata Neville.

“Pada masa ini, seluruh perniagaan kami perlu menunjukkan solidariti.

“Bukan hanya untuk kakitangan kami dalam masa-masa yang tidak menentu ini, tetapi bagi mereka yang memerlukan penginapan dalam beberapa bulan akan datang.”

Neville dan Giggs menghabiskan masa 6 tahun untuk memulihkan bagunan tersebut sebelum dibuka kepada orang ramai

Neville bersama Ryan Giggs memiliki 2 hotel di bandar Manchester. Hotel Stock Exchange dan Hotel Football di Old Trafford.

Kedua-duanya akan ditutup kepada orang ramai pada Ahad dan pekerja kesihatan akan mendapat bilik secara percuma bermula Jumaat ini selepas berunding dengan pihak kesihatan di Greater Manchester.

“Kakitangan kami akan mengendalikan hotel seperti biasa apabila pekerja kesihatan dibenarkan tinggal di sana.

“Mereka akan tinggal di sana tanpa apa-apa kos jika mereka diperlukan mengasingkan diri daripada ahli keluarga yang mungkin terjejas,” jelas Neville.

Terdahulu pada Isnin lepas, Chelsea mengumumkan satu langkah yang sama untuk membuka hotel yang dimiliki oleh kelab itu kepada kakitangan NHS.

Pada November 2019, lagenda Manchester United Gary Neville dan Ryan Giggs secara rasminya membuka operasi hotel baru mereka, Hotel Stock Exchange di Manchester.

Rekabentuk mewah

Mereka bekerjasama dengan pemain industri ini, Winston Zahra. Hotel tersebut dilengkapi dengan suite yang mewah dan reka bentuk kontemporari.

Mempunyai bilik mandi yang bergaya dan mempunyai sebuah restoran yang dikendalikan oleh chef selebriti Tom Kerridge.

Bangunan tersebut sebelum ini ditutup selama 50 tahun kepada orang ramai sebelum ia dipulihkan kembali oleh Neville dan Giggs.

Harga penginapan di hotel bermula dari £200. Bagi suite penthouse pula berharga £1,750 bagi setiap malam.

Ia termasuk kemudahan mewah seperti pengawal peribadi 24 jam, parkir valet dan pelanggan juga boleh menggunakan kereta hotel iaitu Lexus RXL.

Sehingga semalam United Kingdom telah mencatat 2,626 kes dan telah menyebabkan 104 kematian. United Kingdom juga menjadi negara ke-6 tertinggi di eropah dengan mencatat kematian tambahan 33 pada semalam.