Daniel Alves Tamatkan Kontrak Dengan Sao Paulo Kerana Gaji Tertunggak

Bintang Brazil yang memiliki sejarah pemain paling banyak piala dalam karier, Daniel Alves rasminya menamatkan kontraknya dengan Sao Paulo.

Daniel Alves baru sahaja menyertai Sao Paulo. Namun sejak beberapa bulan lalu, isu tunggakan gaji membelenggu pemain tersebut dengan kelabnya.

Sao Paulo menyatakan bahawa mereka terpaksa melepaskan Daniel Alves selepas pemain itu menyatakan tidak mahu bermain selagi lagi gajinya tidak dibayar penuh.

Daniel Alves sebelum ini menjadi kapten Brazil dalam kejayaan mereka memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Pengarah Bola Sepak Sao Paulo, Carlos Belmonte dalam sidang medianya pada Jumaat menjelaskan bahawa, Daniel Alves tidak mahu kembali ke pusat latihan selepas tamat minggu antarabangsa pada September.

Belmonte berkata: “Kami dimaklumkan oleh wakil beliau bahawa Daniel Alves tak akan kembali ke Sao Paulo lagi sehingga isu hutang dengan pemain tersebut tidak diselesaikan.”

“Sao Paulo baru sedar akan hutang itu minggu lalu dan kami membuat satu kertas cadangan untuk memperbaiki keadaan. Malangnya, kertas cadangan itu ditolak oleh ejen pemain. Namun rundingan akan diteruskan.”

“Kami sudah mengambil keputusan, memberitahu coach Hernan Crespo bahawa Dani Alves tidak lagi bermain untuk Sao Paulo.”

“Kami semua bekerja untuk institusi ini, dan tidak ada mana mana individidu lebih besar dari kelab bola sepak Sao Paulo.”

Pihak Daniel Alves mendakwa Sao Paulo berhutang R$10 million (£1.37m/$1.9m/RM7.92j) – berkaitan dengan hak imej ketika pemain itu tiba di kelab tersebut.

Daniel Alves sebelum ini menyatakan kekecewaannya kerana kelab gagal menunaikan janji mereka. Dan menjelaskan bahawa gaji beliau sebelum ini turut dibayar lewat daripada tarikh yang dipersetujui.

Daniel Alves masih berharap agar beliau dapat bermain untuk Brazil dalam Piala Dunia Qatar 2022. Beliau sudah terlepas beberapa panggilan daripada Tite.

Jika beliau masih terus berharap akan dapat beraksi di Piala Dunia Qatar, Daniel Alves harus segera mencari kelab barunya.

Daniel Alves kini rasminya bergelar ejen bebas. Ada juga yang mencadangkan agar pemain itu kembali menyertai Barcelona yang ketika ini sedang memburu pemain ejen bebas kerana beban hutang kelab.

Alves adalah pemain legenda Barca yang turut pernah beraksi dengan Juventus dan PSG.