Dapat Kad Kuning Kedua Ketika Penentuan Penalti, Ini Sebab Emi Martinez Terus Kekal Dan Menjadi Wira Aston Villa

Emi Martinez menjadi wira kemenangan Aston Villa dalam penentuan sepakan penalti menentang Lille pada aksi suku akhir UECL.

Emi Martinez telah diiktiraf oleh peminat Perancis sebagai warga Argentina yang paling mereka benci. Ini selepas penjaga gol itu beberapa kali mempersendakan Perancis selepas kejayaan menjulang Piala Dunia 2022.

Semasa keraian Piala Dunia dia sempat mengejek Mbappe dengan membawa patung bayi dengan wajah Mbappe.

Ketika itu Emi Martinez menjadi wira negaranya pada penentuan sepakan penalti. Ketika itu dia juga menggunakan permainan perang saraf ke atas pemain pemain Perancis. Dan itu membuatkan FIFA memperkenalkan peraturan baharu di mana penjaga gol boleh dikenakan kad disiplin jika mereka mengganggu pemain lain dengan aksi provokasi ketika sepakan penalti.

Martinez menegaskan dia sudah tak kisah dengan peraturan itu, kerana dia sudah ‘melakukan tugasnya’ untuk membantu negaranya menjadi juara dunia.

Berdepan dengan Lille, Martinez sekali lagi menjadi watak utama yang membantu skuad bimbingan Unai Emery mara ke separuh akhir.

Namun satu detik yang menjadi perhatian apabila Emi Martinez dilayangkan kad kuning ketika penentuan penalti kerana tindakannya yang melanggar peraturan.

Sebelum itu dia sudah mengutip kad kuning pertama pada minit ke-38 kerana melengahkan permainan.

Ketika dilayangkan kad kuning kedua, pemain Villa, Douglas Luiz membantah kad tersebut namun pengadil memberitahu pemain itu bahawa Emi Martinez masih boleh kekal di depan gawang gol Villa untuk tugasan penalti itu.

Kenapa?

Ini kerana ada satu peraturan yang dianggap langka dalam bola sepak. Kad kuning yang dikutip pemain pada waktu permainan terbuka tidak akan dibawa ke penentuan penalti. Bermakna Emi Martinez hanya akan dibuang padang ketika penentuan penalti jika dia mengutip satu lagi kad kuning ketika penentuan penalti.

Emi Martinez menyelamatkan percubaan Nabil Bentaleb dan mengshuhhh-kan peminat Lille. Ianya membuatkan peminat Lille marah, dan pengadil memberikan amaran kepada pemain itu agar tidak melakukan aksi provokatif lagi.

Martinez kemudian dilayangkan kad kuning kerana tidak menunggu di tempat sepatutnya ketika rakannya mengambil penalti.

Peminat Villa tergamam seketika pada masa itu. Kerana menjangkakan penjaga gol yang paling boleh harap untuk penentuan penalti itu akan diarahkan keluar dari padang.

Namun pengadil Ivan Kruzliak memberitahu bahawa pemain itu masih boleh kekal di padang kerana kad kuning sudah di-reset untuk penentuan penalti.

Martinez kemudian menyelamatkan penalti Benjamin Andre untuk memastikan Villa ke separuh akhir UECL.

Unai Emery kini boleh meneruskan legasinya yang utuh dalam pertandingan Eropah kelas kedua dan ketiga. Sebelum ini dia dikenali sebagai pakar dalam UEL.

Adakah dia akan membantu Aston Villa menjadi juara eropah?