Datuk Razlan Mahu Pelumba Tempatan Wakili Team Petronas Musim 2022

KUALA LUMPUR, 27 Dis — Prinsipal pasukan Petronas Sprinta Racing Datuk Razlan Razali memberi bayangan awal bahawa pasukan berkenaan bakal dibarisi sekurang-kurangnya seorang pelumba tempatan bagi Kejuaraan Dunia Moto3 pada musim 2022.

Razlan memaklumkan bahawa Adam Norrodin atau Syarifuddin Azman berpeluang mengisi salah satu slot untuk pasukan berkenaan dalam saingan Moto3 pada 2022 sekiranya melakar keputusan cemerlang dalam saingan Kejuaraan FIM CEV Eropah pada musim hadapan.

Adam mewakili pasukan LIQUI MOLY Intact SIC Junior Team dalam kategori Moto2, manakala Syariffudin yang mesra dengan panggilan ‘Damok’ beraksi dengan pasukan Monlau Motorsports dalam kategori Moto3 pada Kejuaraan FIM CEV Eropah.

“Kalau (salah seorang) buat yang terbaik pada tahun hadapan, Insya-Allah, tahun 2022 mereka akan diserapkan masuk ke dalam pasukan kita, namun keputusan akhir daripada kita sendiri dan bukannya Petronas yang merupakan penaja utama (title sponsor),” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Razlan menafikan dakwaan bapa Khairul Idham Pawi (KIP) iaitu Pawi Omar bahawa pengurusan pasukan berkenaan mengabaikan kebajikan pelumba Moto3 negara itu sepanjang berada dengan pasukan itu selama dua musim sejak 2018.

Beliau menjelaskan dakwaan berkenaan yang dibuat oleh Pawi Omar menerusi satu temu ramah bersama sebuah blog, baru-baru ini adalah tidak berasas memandangkan pasukan berkenaan sentiasa memberikan bantuan terbaik kepada KIP.

“Kadangkala keputusan yang kita buat kurang popular dan bukan boleh buat semua orang gembira terutamanya pihak KIP dan keluarganya, tapi bagi kita Moto3 ini merupakan kejuaraan dunia dan bukannya kejuaraan kebangsaan dan persembahan (konsisten) adalah keutamaan kita,” kata Razlan.

Kontrak KIP bersama Petronas Sprinta Racing tidak disambung dan tempatnya digantikan oleh pelumba Afrika Selatan, Darryn Binder yang bakal bergandingan bersama pelumba Scotland, John McPhee dalam saingan Moto3 pada musim hadapan.

Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2021 akan membuka tirai saingan menerusi pusingan pertama di Litar Antarabangsa Losail, Qatar dari 16-18 Mac 2021.

— BERNAMA

Baca yang lain