De Bruyne Setuju Sertai Al Ittihad, Al Nassr Sedia Sailang Untuk Bentuk Gandingan Dengan CR7

De Bruyne dilaporkan sudah mencapai kesepakatan secara peribadi dengan Al Ittihad. Berita itu berlaku setelah kira kira 2 bulan lalu De Bruyne mendedahkan sendiri bahawa ada kelab Arab Saudi mahukan khidmatnya.

Ketika itu De Bruyne menyatakan bahawa, pada usianya yang ada sekarang ini, tidak salah untuk dia mencari duit lebih sikit dengan tawaran yang tidak masuk akal.

Lebih menarik, De Bruyne berkata dia memang tertarik ke sana kerana tawaran gaji yang luar biasa dari Arab Saudi. Di mana dia meraih pendapatan lebih tinggi dalam masa dua tahun sahaja menyamai apa yang dia dapat dalam masa 15 tahun di Eropah.

Michael Emenalo, yang dilantik sebagai Pengarah Sukan di Arab Saudi antara faktor utama yang menarik De Bruyne untuk berminat menyertai kelab Arab Saudi. Emenalo menjadi antara individu yang membantu projek Liga Saudi yang menarik ramai bintang. Projek itu dibiayai oleh kerajaan Saudi yang sumber kewangannya tidak pernah habis.

Emenalo adalah orang yang bertanggungjawab membawa De Bruyne ke Chelsea dari Genk pada satu ketika dahulu. Ada 4 kelab yang boleh menjadi pilihan KDB. Kelab itu ditaja oleh PIF Arab Saudi, dengan kelab kelab tersebut digelar big 4 iaitu, Al-Hilal, Al-Nassr, Al-Ittihad dan Al-Ahly.

De Bruyne sahkan dia turut mendapat tawaran daripada kelab dari Amerika Syarikat. Namun dia lebih tertarik ke Arab Saudi dan menyertai projek Emenalo di sana.

Kelab Saudi tersebut sanggup membayar De Bruyne €70 juta setahun tanpa sebarang cukai. Namun Man City tidak berminat dengan sebarang bidaan dari sana. De Bruyne sudah berbincang dengan pengurusan tertinggi kelab Man City. Namun dia menyatakan dia tidak pernah diberikan lampu hijau untuk meneruskan rundingan dengan kelab di Saudi.

De Bruyne tidak setuju dengan pandangan ramai aktivis di Barat yang mengutuk pemain pemain bola sepak mereka datang ke Arab Saudi yang dianggap negara menindas rakyat sendiri dan tidak mengamalkan kebebasan hak asasi.

De Bruyne berkata: “Setiap negara itu ada baik dan buruknya. Ada sesetengah orang akan berikan alasan kenapa kamu tak patut pergi sana, dan bandingkan negara Arab Saudi dengan Belgium atau England.

“Semua orang ada melihat kekurangan tentang negara lain. Siapa tahu, mereka juga akan memberitahu perkara yang sama tentang dunia Barat.”

Bercakap tentang tawaran dari Arab Saudi, De Bruyne menegaskan dia sentiasa terbuka untuk menerimanya. Dia berkata: “Saya memang tidak pernah menolak peluang dari Arab Saudi. Pada usia saya sekarang, kamu harus membuka diri kamu kepada apa sahaja peluang. Kamu sekarang ini sedang bercakap tentang jumlah wang yang sangat besar.

“Adakalanya saya berfikir: ‘Jika kamu boleh meraih wang sebanyak itu dalam masa dua tahun di Arab Saudi yang bersamaan dengan kamu terpaksa bermain 15 tahun di Eropah untuk mendapatkan jumlah itu, dan kamu terus memikirkannya. Saya tak pernah membuat wang sebanyak itu dalam masa singkat’.”

“Anak anak saya ok sahaja kalau merantau ke tempat yang jauh. Perbualan kami lebih kepada keluarga pada usia saya ni. Saya ada bercakap dengan ramai orang sebenarnya, ye la, kontrak saya masa tu ada baki setahun sahaja. Anak sulung saya kadangkala bertanya: ‘Ayah, berapa lama lagi kamu akan bermain untuk City?’.”

Namun kini, De Bruyne sudah mencapai kesepakatan dengan Al Ittihad. Kelab yang turut diwakili Karim Benzema, N’golo Kante dan Fabinho itu mahu menjadikan pemain City itu sebagai pemain baharu mereka

Walaupun begitu pemain itu masih membuka pintu kepada kelab Arab Saudi lain. Al Nassr juga berminat mahu membentangkan tawaran mereka. Al Nassr dan Al Ittihad adalah dua kelab di bawah pemilikan PIF.

Al Nassr yakin dapat memujuk De Bruyne dengan harapan mahu menggandingkan De Bruyne dengan Cristiano Ronaldo.

Rudy Galetti melaporkan; “Kevin De Bruyne memberikan lampu hijau untuk berjumpa dengan jururunding dari Arab Saudi minggu depan yang akan membentangkan tawaran kontrak kepadnaya. Ketika ini dua kelab iaitu Al Nassr dan Al Ittihad adalah dua kelab yang benar benar berminat mendapatkan De Bruyne.”

Kini terpulang kepada Man City sama ada mereka mahu melepaskan pemain itu ataupun tidak. De Bruyne sudah menyatakan hasratnya bahawa dia mahu ke Arab Saudi.