Dean Henderson Tersenarai Dalam Pasukan Utama Musim Hadapan

Manchester United melaporkan bahawa Dean Henderson dimasukkan dalam senarai pasukan utama Man United bagi menghadapi musim hadapan – musim 2020/21.

Pemain berusia 23 tahun itu menaikkan namanya dengan prestasi cemerlang dalam dua musim pinjamannya di Sheffield United.

Beliau kini sudah bersedia untuk kembali ke Old Trafford selepas konsisten menjadi pesaing anugerah Sarung Tangan Emas EPL pada musim pertamanya di EPL bersama Sheffield.

Sebelum ini nama Dean Henderson hanya disenaraikan dalam senarai B-23 dan membuatkan beliau tersedia untuk dipinjam mana mana pasukan.

Sheffield kemudian datang sekali lagi untuk meminjam pemain itu yang sebelum ini membantu mereka naik ke EPL.

Dengan tersenarainya nama beliau dalam skuad utama, ini bermakna Dean Henderson mungkin akan bermain di United musim hadapan dan mencabar kedudukan De Gea dan Sergio Romero.

Dengan senarai awal ini bermakna United ada 5 penjaga gol dalam pasukan utama termasuk David de Gea, Sergio Romero, Lee Grant dan Joel Pereira.

Sudah tentunya akan ada penjaga gol yang akan dilepaskan selepas ini.

Dean Henderson pernah menyatakan bahawa beliau mahu menjadi penjaga gol utama ataupun dilepaskan ke pasukan lain untuk musim hadapan.

Ini kerana Henderson mahu mencabar tempat dalam skuad utama England dengan Eurio 2020 dianjak ke tahun hadapan.

Chelsea antara pasukan yang berminat mendapatkan Dean Henderson selepas prestasi hambar Kepa Arrizabalaga.

Man United masih berbincang dengan Dean Henderson berkenaan dengan kontrak baharunya.

Dean Henderson sudah menunjukkan isyarat bahawa beliau sedia untuk pergi ke pasukan lain untuk mencari minit perlawanan yang lebih banyak kecuali United memberikannya slot no.1.

Dilema United

Paling tidak United memberikannya jaminan untuk mencabar kedudukan De Gea dan menilai prestasi secara merit.

Situasi di United ketika ini, mereka sudah melanjutkan kontrak De Gea dengan tempoh panjang.

Dan kemudian Sergio Romero biasanya diberikan slot sebagai penjaga gol kejohanan piala terutama sekali domestik. Walaupun musim ini banyak kali De Gea mengambil peranannya.

Sergio Romero antara pemain yang dalam senarai mungkin akan dilepaskan. Dengan Leeds United berminat mendapatkan Romero.

Ole Gunnar Solskjaer sebelum ini masih melabel De Gea sebagai terbaik di dunia dan memberikan jaminan De Gea tetap akan menjadi no.1 dalam pasukannya.

De Gea berdepan dengan isu tidak konsisten dalam dua musim terakhir ini. Musim ini United memperbaiki aspek pertahanan mereka secara mendadak. Namun De Gea terlibat dalam beberapa insiden dengan kesilapan yang mengejutkan.

Ianya adalah keputusan sangat berani untuk Ole menggantikannya dengan Henderson sebagai no.1. De Gea melanjutkan kontrak beliau di Old Trafford pada musim lalu. Dan menjadikan De Gea penjaga gol dengan gaji tertinggi di dunia.

Henderson pula sudah memberitahu bahawa beliau ingin menjadi no.1 di kelab dan pasukan kebangsaan. Ini selepas Jordan Pickford turut melakukan banyak kesilapan musim ini.

Baca yang lain