‘Debut’ Puasa Gopi, Akui Hampir Tumbang Dan Kembung Perut

Tahun ini merupakan kali pertama R Gopinathan atau nama Islamnya, Muhammad Gopi Rizqi Bin Rama Chandra menunaikan rukun Islam ketiga iaitu berpuasa.

Bintang Pahang itu berkongsi pengalaman pertamanya dengan portal Arena Metro. Menurutnya, bukan mudah untuk beliau berpuasa. Malah Gopi mengakui beliau sedang belajar dan membiasakan diri.

Malah Gopinathan menyatakan beliau juga hampir ‘tumbang’ kerana menahan lapar dan dahaga. Namun beliau kuatkan hatinya untuk menunaikan rukun Islam yang ketiga itu.

Selain daripada itu, Gopinathan menceritakan perutnya kembung dan menunggu saat berbuka puasa pada hari pertama menunaikan ibadat berkenaan.

Dipetik daripada Harian Metro, Gopi Rizqi berkata: “Awal Ramadan memang perut kembung sebab tak pernah puasa dan rasa dahaga sangat serta lapar.”

“Kali pertama memang mencabar, namun apabila memasuki hari kedua dan ketiga sudah tiada masalah cuma saya kena sahur untuk bertahan tidak makan serta minum hingga maghrib.”

Gopi turut berkongsi cerita di mana menurutnya, benda yang paling menyeronokkan ketika menunaikan ibadah itu adalah menunggu saat berbuka puasa bersama ahli keluarga.

Beliau mengakui gembira dan bersyukur kerana keluarga isterinya dan isteri beliau sendiri banyak membantunya dalam melakukan ‘debut’ puasa dan mengharungi bulan ramadan.

“Keluarga isteri banyak mengajar mengenai beberapa perkara berkaitan Islam dan pada tahun ini saya berpuasa bersama mereka. Sudah tentu begitu seronok apabila dapat berbuka puasa bersama.”

Gopi merupakan pemain penyerang sayap yang lincah. Beliau pernah beraksi dengan pasukan seperti JDT dan Selangor. Namun kariernya pasti lebih sinonim dengan pasukan Pahang.

Puasa tahun ini pasti akan diingati oleh beliau selamanya. Dan beliau akan banyak belajar perkara yang baharu sebagai seorang muslim.

Gopi memeluk agama Islam

Gopi mulai memeluk Islam pada Oktober 2019. Beliau memberitahu, sebenarnya beliau sudah lama tertarik dengan keindahan agama Islam.

Ini kerana beliau ramai rakan-rakan yang beragama Islam dan Gopi seringkali melihat mereka menunaikan ibadat.

“Sudah lama saya tertarik dengan Islam apabila sering melihat rakan-rakan solat dan menjalani kehidupan sebagai seorang muslim.”

“Kira-kira dua tahun saya memendam hasrat untuk memeluk Islam sebelum hari ini hati saya terbuka mengucap kalimah Syahadah secara rasmi.”

Beliau mengambil keputusan untuk mengucap kalimah Syahadah secara rasmi di Pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) Pahang pada tahun lalu.

Ketik melafazkan kalimah Syahadah, Gopi ketika itu ditemani ibu saudaranya di hadapan seorang ustaz.

“Alhamdulillah segalanya berjalan lancar,” sambil menegaskan hasratnya untuk memeluk Islam sudah diketahui keluarganya dan diterima baik.

“Sebelum ini ada tiga empat saudara terdekat saya memeluk Islam, saya banyak perhatikan cara kehidupan mereka selain melihat rakan-rakan Islam lain. Bagaimana mereka solat dan menjalani ibadah membuatkan saya tertarik,” katanya.

Selamat berpuasa kepada Gopi dan isterinya, serta seluruh umat Islam.

Jangan korang tumbang pulak ye.

Baca yang lain