Dell Akhbar Khan: Sumareh Tolak Main Piala AFF 2020

Seperti yang kita ketahui, Datuk Dell Akhbar Khan mengetuai bedah siasat ke atas kegagalan Malaysia dalam Piala Suzuki AFF 2020.

Dalam kenyataan medianya sebelum ini, FAM berkata: “Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menubuhkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang dianggotai individu-individu di luar Persatuan ini bagi mengetuai bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, bulan lalu.

Sehubungan itu, FAM melantik bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan, untuk mengetuai badan siasatan bebas ini.

Datuk Dell Akbar diberi mandat untuk melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan siasatan bebas ini terdiri daripada mereka yang pernah memegang jawatan dalam bola sepak, termasuk bekas pemain serta jurulatih, tetapi tidak memegang sebarang jawatan mahupun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.

Tugas utama badan bebas ini adalah untuk melakukan bedah siasat terlebih dahulu terhadap laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura, tempoh hari yang telah pun siap dan diserahkan kepada Sekretariat FAM, baru-baru ini.

Hasil bedah siasat daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya ini seterusnya akan dibentangkan oleh Datuk Dell Akbar bersama langkah-langkah penambah baikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan.

Pada kempen Piala Suzuki AFF 2020 bulan lalu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas baki dua perlawanan Kumpulan B selepas itu kepada Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir. ” – Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin (Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia FAM)

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui bahawa mereka menerima tanggungjawab sepenuhnya kegagalan pasukan kebangsaan mara ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, mengarahkan pengurusan pasukan kebangsaan untuk mengemukakan laporan bedah siasat dan analisis lengkap mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dalam masa terdekat.

Pasukan kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe mencatat dua kemenangan – ke atas Laos dan Kemboja tetapi tewas kepada Vietnam dan Indonesia yang menafikan mereka tempat ke separuh akhir.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, berkata laporan bedah siasat itu akan diteliti oleh Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan sebelum dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kelak.

Sebelum ini juga, B Sathianathan meminta siasatan bedah siasat itu turut merungkai tentang kenapa ramai pemain yang menjadi bintang utama skuad Malaysia sebelum ini tidak dipanggil ke dalam tugasan Piala AFF 2020.

Coach Satia mahu siasatan jelaskan ketidakberadaan beberapa pemain

Bekas Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya B. Sathianathan berkata terdapat kebarangkalian ketiadaan barisan pemain berkenaan dan kemerosotan prestasi pasukan negara pada kejohanan dwitahunan itu sating berkorelasi.

Katanya, misteri itu harus diterangkan secara terperinci dalam laporan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya memandangkan kontroversi melanda skuad kebangsaan telah membawa kepada peletakan jawatan Tan Cheng Hoe sebagai pengendali pasukan.

“Pemain yang sepatutnya ada dalam pasukan negara tetapi mereka tiada. Adakah pemain-pemain ini seperti apa Tan (Cheng Hoe) kata mereka keletihan dan cedera? Pemain kali ini berbeza dan ramai (muka lama) tidak main, jadi mengapa pemain-pemain ini hilang?

“Itu apa yang saya hendak tahu dari siasatan ini, jadi kita semua boleh nilai punca kemerosotan pasukan negara. Tiba-tiba pemain yang kita harapkan tidak ada,” kata Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) itu ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Lebih menggusarkan, peletakan jawatan jurulatih berusia 53 tahun itu ketika Malaysia hanya memiliki enam bulan untuk melakukan persediaan menghadapi saingan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan.

Sathianathan menyebut dua pemain pertahanan, Matthew Davies dan La’Vere Corbin-Ong serta dua pemain tengah Muhamad Nor Azam Abdul Azih dan Mohammad Syamer Kutty Abba antara nama yang sepatutnya memperkuatkan pasukan negara di Piala AFF 2020, Disember lepas.

“Mereka ini adalah pemain-pemain yang telah beri sumbangan besar kepada pasukan negara pada awal kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023,” katanya.

Selain empat pemain itu, turut diketepikan adalah pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh, penjaga gol Mohd Farizal Marlias dan beberapa pemain berpotensi dengan tahap kecergasan serta minit permainan yang cukup di peringkat domestik.

KELANA JAYA 12 NOVEMBER 2019. Pemain Malaysia, Mohamadou Sumareh berlatih menjelang perlawanan menentang pasukan Thailand dan Indonesia dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 ketika sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Justeru, Sathianathan berharap isu ‘kehilangan’ pemain tidak akan berulang pada masa hadapan terutama menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 dengan setiap jurulatih wajar diberikan kuasa menentukan barisan pemain dikehendaki.

Pada saingan Piala AFF 2020 berlangsung di Singapura, Malaysia yang menyasarkan ke final kali kedua berturut-turut selepas edisi 2018 dengan hanya membawa keseluruhan 24 pemain berbanding 30 yang dibenarkan, terkandas di peringkat kumpulan.

Berikutan kegagalan itu, Cheng Hoe mengambil keputusan melepaskan jawatan disandang sejak 2017, namun terdapat desakan supaya barisan kepimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut mengambil tanggungjawab dengan melepaskan jawatan masing-masing.

Sabtu lepas, Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilaporkan berkata calon menggantikan Cheng Hoe akan diputuskan selepas menerima laporan daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya berhubung punca kegagalan skuad kebangsaan pada kempen Piala AFF 2020.

Sumareh enggan bermain

Menurut laporan oleh Astro Awani, Mohamadou Sumareh menolak untuk mewakili Malaysia dalam tugasan Piala AFF 2020 kali ini.

Sumareh merupakan pemain naturalisasi Malaysia yang pertama di dalam sejarah. Telah menjadi nadi penting skuad Malaysia dalam edisi 2018 yang lalu ketika membantu Malaysia mara sehingga ke final.

Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Dell Akhbar Khan dalam sidang media pada Jumaat (21 Januari 2022).

Laporan awal bedah siasat melibatkan Sumareh itu benar benar membuatkan ramai peminat yang kecewa. Namun pastinya kita harus menunggu penjelasan daripada Mohamadou Sumareh sendiri dalam hal ini.

Beliau mungkin ada alasan tersendiri kenapa dia berbuat demikian.

 

Baca yang lain