Dembele Tuduh Barca Kejam Membuangnya Ketika Masih Ada Kontrak

Ousmane Dembele akhirnya bersuara selepas Barcelona mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak mahu melanjutkan kontrak dengan pasukan itu lagi kerana tidak mahu terlibat dalam projek kelab di bawah Xavi Hernandez.

Semalam CEO Barcelona, Mateu Alemany telah mengesahkan bahawa Barca akhirnya menyerah kalah dalam usaha mereka mahu mendapatkan tandatangan Dembele pada kontrak baharu.

Barca menyatakan bahawa Dembele memang sudah tak ada hati mahu bermain untuk mereka lagi.

Dembele membalas kritikan itu dengan menegaskan bahawa dia terkejut kerana dibuang oleh Barcelona ketika dia masih bergelar pemain Barca.

Dembele juga mengakui bahawa ada pihak yang suka memburuk burukkan namanya.

“Selamat pagi semua.”

“Ianya sudah 4 tahun saya sejak kali terakhir saya membaca tentang diri saya tanpa cuba menjelaskan tentang diri saya. Khabar angin tentang saya telah berlegar selama 4 tahun. Sudah 4 tahun orang lain yang bercakap untuk saya, dengan pembohongan memalukan dengan satu tujuan iaitu untuk merosakkan imej saya.”

“Saya sudah 4 tahun berada di tempat saya tanpa menjawab ataupun mempertahankan diri saya. Adakah ianya satu kesilapan? Dah tentu.”

“Dan pada hari ini, saya akan menjawab segalanya dengan jujur tanpa memberikan sebarang ugutan. Saya sudah berusia 24 tahun, sama seperti manusia lain, tak sempurna. Saya melalui kerumitan dan juga kecederaan. Wabak juga memberikan kesan kepada saya.”

“Tanpa latihan yang secukupnya, jurulatih mengarahkan saya bermain, dan saya sentiasa hadir tanpa banyak soal. Beraksi dengan baik dan sentiasa melakukan terbaik untuk benda yang paling saya cintai.”

“Saya sedar nasib saya untuk mendedikasikan diri melakukan perkerjaan paling indah di dunia.”

“Mesej saya juga adalah transparen. Saya melarang sama sekali orang lain bercakap untuk pihak saya kecuali ejen saya yang saya percayai.”

“Saya masih di dalam kontrak dengan Barcelona. Dan saya telah dibuang sepenuhnya oleh kelab dan pengurus saya.”

“Saya sentiasa memberikan yang segalanya untuk rakan rakan sepasukan, dan ianya tidak akan berubah,”

“Saya bukannya orang yang menipu ataupun takut dengan ugutan.”

“Ada rundingan berlaku, dan ejen saya mengendalikannya atas lapangan dia. Lapangan saya pula padang bola sepak, hanya bermain bola sepak, berkongsi momen gembira dengan rakan rakan sepasukan. Ayuh fokus kepada perkara asas iaitu menang.”

Status tersebut kemudian mendapat sokongan daripada Antoine Griezmann yang kini dipinjamkan ke Atletico Madrid dengan adanya klausa pembelian tetap.

Tindakan Griezmann itu benar benar membuatkan ramai peminat marah.

Xavi sudah menyatakan bahawa kelab mengambil tindakan yang mereka rasakan betul dengan menyingkirkan pemain yang mahu pergi. Dan Xavi mempertahankan tindakan kelab ke atas Dembele kerana menurutnya, kelab sudah melayan Dembele ibarat minyak yang penuh walaupun pemain itu sangat sedikit aksi dalam masa 4 tahun di Barca kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Ejen kepada Ousmane Dembele dengan terbuka mengecam Barcelona kerana sikap mereka yang menurutnya menjengkelkan.

Ianya berikutan kenyataaan oleh CEO Barcelona, Mateu Alemany menuduh ejen Dembele sebagai orang yang meracuni pemikiran Dembele.

Menurut Alemany, Dembele mahu terus kekal bersama Barcelona namun rundingan kontak sukar kerana ejennya mempengaruhi pemain tersebut.

Dalam laporan oleh Barca Times menyebut bahawa ibu bapa Dembele menuduh ejennya sebagai seorang yang jahat dan perosak.

Xavi Hernandes sudah menyatakan bahawa beliau tidak akan membekukan Dembele seperti mana yang mereka lakukan kepada Illaix Moriba yang tidak  mahu melanjutkan kontrak.

Dembele akan terus berada dalam pasukan dan Xavi masih cuba meyakinkan Dembele bahawa Barcelona adalah pasukan terbaik untuknya.

Barcelona pada masa yang sama sedia menjual Dembele pada jendela perpindahan kali ini untuk mengosongkan lagi kuota gaji pemain yang dietapkan untuk Barcelona.

Namun ejen kepada Dembele mendengar cerita yang lain. Beliau mendengar bahawa Barcelona sudah berkira kira untuk menyisihkan Dembele daripada bermain untuk enam bulan.

Ejen kepada pemain itu, Moussa Sissoko berkata: “Barca kehilangan Dembele kerana diri mereka sendiri. Mereka tidak boleh mengancam bahawa Dembele akan meluangkan enam bulan ini tanpa bermain jika dia tak mahu memperbaharui kontrak sekarang.”

“Tekanan seperti ini tak akan berkesan untuk orang macam kami dan orang macam saya.”

Tarik tali dalam rundingan Dembele

Xavi Hernandes sebelum ini menyerahkan perbincangan terma peribadi kontrak baharu Dembele dengan pengurusan tertinggi yang diketuai Laporta.

Bagi pihak Xavi, dia sudah menyatakan sebelum ini bahawa dia mahukan Dembele kekal. Xavi sudah memberitahu sendiri perkara itu kepada Dembele. Xavi dengan tulus ikhlas menyatakan bahawa Dembele di matanya, boleh menjadi pemain terbaik di dunia dalam posisinya.

Laporta sendiri sebelum ini menyatakan bahawa kelab akan cuba memastikan Dembele kekal kerana dia dalam perancangan Xavi.

Sambil Laporta melabel Dembele lebih bagus daripada Mbappe. Namun ayat bodekkan itu masih tidak mampu mengubah fikiran Dembele setakat ini.

Malah rundingan antara Dembele dengan Barcelona menemui kesukaran. Di mana Laporta dikatakan kecewa apabila Dembele enggan menerima pengurangan gaji.

Laporta kemudian merungut dengan kegagalan mendapatkan tandatangan Dembele. Dan mahu pemain itu mengenang budi kelab yang selama ini terus mengekalkannya serta terus yakin dengannya walaupun dia mengalami banyak sekali kecederaan sejak menyertai Barcelona.

Sedangkan sebelum itu Dembele sudah memberikan isyarat positif bahawa beliau akan terus kekal dengan pengurangan gaji. Sebelum itu Dembele mahukan tawaran gaji yang besar daripada Barcelona, kerana dia mendapat beberapa tawaran lumayan daripada kelab lain termasuk kelab di EPL.

Tetapi segalanya berubah apabila Barcelona mendapatkan Ferran Torres. Dembele dilaporkan kecewa kerana dia berpendapat bahawa, pemotongan gaji pada tawaran gajinya telah digunakan Barcelona untuk menampung gaji Ferran Torres.

Kemudian pemain itu mengubah pendiriannya untuk meminta permintaan gaji yang tinggi sekali lagi.

Xavi yang menganggap Dembele sebagai watak penting dalam projek pembinaan semula Barcelona telah terkejut apabila dimaklumkan bahawa Dembele meminta gaji £700,000 seminggu.

Ianya adalah angka gaji yang diterima Griezmann sebelum ini.

Barcelona yang baru sahaja melepaskan Coutinho ke Aston Villa, telah berusaha untuk memenuhi permintaan gaji Dembele. Tetapi angka itu sangat besar. Barcelona cuba mencari solusi agar kedua dua pihak menemui titik pertemuan di tengah tengah gaji Dembele.

Dembele yang kontraknya sedang menuju ke bulan bulan terakhir telah membuat permintaan yang dianggap tidak masuk akal. Xavi dikatakan terdiam membisu mendengar tentang permintaan daripada Dembele itu.

Menurut laporan wartawan Jerman, Florian Plettenberg, winger Perancis itu meminta £36 juta semusim bersamaan dengan €838k / £700,000 seminggu.

Terdapat juga bonus yang diminta Dembele sebanyak £5 juta menjadikan nilai keseluruhan kontraknya mencecah £42 juta ataupun sekitar €50 juta.

Jika Dembele berpegang kepada angka itu, Bayern Munich juga sudah bersedia untuk menarik diri daripada mendapatkan Dembele.

Penerima gaji tertinggi di Bayern ketika ini adalah Robert Lewandowski dengan £325,000 seminggu.

Barcelona sangat pening memikirkan soal Dembele. Kerana sangat sukar untuk mereka melepaskan Dembele ke kelab lain pada ketika ini kerana mereka memang tak merancang untuk melepaskannya.

Barcelona malah dilaporkan sedia melakukan pertukaran pemain dengan Man United, swap antara Dembele dan Martial.

Jika United menerimanya, bil gaji di United juga akan meningkat naik dan rekod kecederaan Dembele mungkin membuatkan kelab tersebut tidak menerimanya.

Xavi masih berharap Dembele akan terus kekal di Barcelona. Dan beliau sudah menasihatkan agar Dembele terus bersama dengan Barcelona untuk bersama sama dengannya membina Barcelona yang baharu dan mengembalikan kelab itu ke kegemilangannya sekali lagi.

Malangnya segalanya sudah berakhir buat Barcelona dan Dembele. Alemany menegaskan bahawa Dembele harus dijual sebelum 31 Januari ini dan kelab akan cuba mengusahakannya.